in , ,

Bulan Bintang Promosikan Baju Melayu Di Starhill, Netizen Pula Nampak Berhala?!

Jenama baju melayu terkemuka, Bulan Bintang, mencuri perhatian ramai dengan kempen ‘Bulan Bintang Sedekad Menyinar Takluk The Starhill’ yang berlangsung dari 12 hingga 23 Mac 2025.

Bertempat di lokasi ikonik Bukit Bintang, kempen ini turut mempersembahkan pop-up store dan pameran khas bagi menyambut ulang tahun ke-10 jenama tersebut.

Tumpuan utama acara ini adalah sebuah replika gergasi Baju Melayu setinggi 12 kaki yang dipamerkan di hadapan The Starhill, menjadi simbol ikonik yang menonjolkan komitmen Bulan Bintang dalam mempromosikan warisan tradisional Melayu.

Replika ini, yang pertama seumpamanya di Malaysia, telah menarik perhatian ramai, dengan pengunjung mengambil peluang untuk bergambar dan mengenali lebih lanjut tentang pakaian kebangsaan Malaysia ini.

Timbul Kontroversi Berhala!

Namun, kehadiran replika tersebut menimbulkan pelbagai reaksi di media sosial. Sesetengah netizen menyamakan patung tersebut dengan patung berhala dan menuduhnya sebagai amalan yang tidak sesuai dengan budaya tempatan.

Mengulas hal ini, pengasas Bulan Bintang, Azzim Zahid Azmi, berkata bahawa sebahagian besar maklum balas yang diterima adalah positif, dengan ramai yang memuji usaha jenama itu dalam mengangkat budaya Melayu di tengah-tengah kawasan pelancongan.

“Berhubung dengan replika gergasi itu, saya menerima dua jenis reaksi. Ada yang mengecam, tetapi kebanyakan orang menyambut baik inisiatif ini dan menghargai usaha kami untuk mempromosikan budaya Melayu dan Malaysia di tempat tumpuan pelancong,” ujar Azzim.

Azzim turut mendedahkan bahawa idea untuk mencipta replika tersebut datang daripada dirinya sendiri, dengan tujuan untuk memperkenalkan Baju Melayu kepada masyarakat tempatan serta pelancong antarabangsa.

“Sama seperti jenama luar negara yang mempamerkan replika produk mereka seperti beg tangan atau kasut, kami rasa tidak ada salahnya jenama tempatan seperti Bulan Bintang turut melakukannya,”
– Azzim Zahid Azmi

Duta Bulan Bintang Turut Meriahkan Pop Up Store

Azzim ditemui pada majlis bertemu peminat sempena kempen tersebut, yang turut dihadiri oleh selebriti dan duta jenama seperti Shukri Yahaya, Nadhir Nassar, Mierul Aiman, dan Syafiq Kyle, yang meriahkan acara tersebut.

Azzim juga menjelaskan bahawa tujuan utama replika itu bukan hanya untuk mengiklan jenama Bulan Bintang, tetapi lebih kepada mengangkat Baju Melayu sebagai pakaian kebangsaan yang dihormati oleh rakyat Malaysia.

“Dalam penerangan di hadapan replika itu, saya tidak hanya mempromosikan jenama kami. Sebaliknya, saya ingin menekankan bahawa Baju Melayu adalah pakaian kebangsaan yang sering dipakai ketika menyambut perayaan,” jelasnya.

Setakat ini, kempen yang telah berjalan selama tiga hari mendapat sambutan yang amat positif, dengan ramai pelancong dan pengunjung mengambil peluang bergambar dengan replika tersebut.

“Saya sendiri melihat pengunjung yang bergambar dengan replika itu. Dari jauh, saya sempat merakamkan momen mereka, dan saya berbangga melihat orang ramai menghargai budaya kita,” kata Azzim dengan penuh rasa syukur.

Bulan Bintang turut menunjukkan komitmennya terhadap tanggungjawab sosial melalui program CSR mereka, Sinar Ramadhan Bulan Bintang. Kini memasuki tahun kedua, program ini dilaksanakan dengan kerjasama Muslim Volunteer Malaysia (MVM), dengan peruntukan lebih setengah juta ringgit untuk membantu komuniti Orang Asli di Sabah dan golongan Asnaf di Semenyih.

“Program ini adalah cara kami memberi kembali kepada masyarakat, terutamanya pada bulan yang penuh keberkatan ini,”
– Azzim Zahid Azmi

Kempen ‘Bulan Bintang Sedekad Menyinar Takluk The Starhill’ turut memperkenalkan koleksi eksklusif Baju Melayu Bulan Bintang dan rangkaian pakaian wanita di bawah label Bulan Bintang Sisters.

Ditulis oleh The Buzzer/Editor

Kadang-kadang lelaki. Kadang-kadang perempuan. Mengumpul berita dari serata ceruk alam maya atau melaporkan secara eksklusif.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

Amber Tembusi Singapura Dengan Sokongan Selebriti di CelebFest

Rosyam Nor Buka Kompleks Beli Belah, Tawar Hadiah Bernilai RM1.5 Juta di ST Rosyam Mall