Sebanyak 11 tayangan umum bagi Tayangan Khas Filem Aksi dan Kung Fu Tempatan & Luar Negara 2026 habis ditempah dalam tempoh seminggu selepas pengumumannya, sekali gus memperlihatkan sambutan penonton terhadap karya seni bela diri dari Malaysia dan China.
Program yang berlangsung pada 14 dan 15 November di GSC Mid Valley Megamall itu dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS) dengan kerjasama Southern Film Culture Foundation dan Persatuan Filem Cina Malaysia (CFAM), bersempena Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35).
Mengangkat tema “Aksi Kungfu Merentas Budaya”, program berkenaan menghimpunkan 12 filem dari kedua-dua negara bagi memberi peluang kepada penonton menghayati seni bela diri, koreografi aksi serta penceritaan filem di layar lebar.
FINAS, Southern Film Culture Foundation dan Persatuan Filem Cina Malaysia (CFAM), bersama penggiat industri perfileman Malaysia dan China.
APA
Tayangan Khas Filem Aksi dan Kung Fu Tempatan & Luar Negara 2026 yang menghimpunkan 12 filem dari Malaysia dan China.
BILA
Berlangsung pada 14 dan 15 November 2026 sempena Festival Filem Malaysia ke-35.
DI MANA
GSC Mid Valley Megamall, Kuala Lumpur.
MENGAPA
Meraikan seni bela diri dalam perfileman, memperkenalkan teknik penerbitan filem aksi serta menggalakkan pertukaran budaya dan kerjasama antara industri Malaysia dan China.
BAGAIMANA
Menerusi tayangan 12 filem, sesi ucapan dan pertemuan penggiat industri, termasuk tayangan khas filem klasik The Way of the Dragon lakonan Bruce Lee.

Himpunkan 12 Filem Malaysia Dan China
Program selama dua hari itu menampilkan enam filem dari China yang merangkumi pelbagai genre, termasuk kung fu klasik, wuxia, aksi kontemporari dan animasi.
Antara judul yang dipilih ialah Shaolin Temple (1982), The Way of the Dragon (1972), Ip Man 4: The Finale (2019), Blades of the Guardians (2026), The Shadow’s Edge (2025) dan I Am What I Am 2 (2024).
Malaysia pula diwakili enam karya tempatan iaitu Gayong 1 (2025), Mat Kilau (2022), The Assistant (2022), Kahar: Kapla High Council (2024), Tarung: Unforgiven (2026) dan Takluk: Lahad Datu (2024).
Kepelbagaian filem yang dipilih memperlihatkan pendekatan berbeza dalam mengangkat seni bela diri dan aksi, selain membuka ruang kepada penonton serta penggiat industri untuk bertukar pandangan mengenai penghasilan karya dalam genre berkenaan.

FINAS Mahu Perluas Pertukaran Teknik Perfileman
Pengarah FFM35, Yang Mulia Raja Mohammad Adhzim Raja Ahmad berkata, program tersebut memberi peluang kepada penggiat filem tempatan untuk mengenali teknik penggambaran aksi serta kaedah penerbitan dari pelbagai rantau.
Pada masa sama, beliau melihat penganjuran itu sebagai ruang untuk memperkenalkan seni bela diri tradisional Malaysia dan berkongsi pengalaman menghasilkan filem aksi dengan khalayak antarabangsa.
Program berkenaan turut dihadiri Pengerusi Sil-Metropole Organisation Ltd. merangkap Pengerusi Southern Film Culture Foundation, Ding Kai, serta Pengerusi CFAM, Leonard Tee, bersama Naib Pengerusi Keoh Chee Ang dan Tong Bing Yu.
Hadir sama ialah wakil GSC, Marvelous Culture & Film, Primeworks Studios, Astro Shaw, Skop Productions dan beberapa organisasi lain.

Festival Kung Fu Bakal Diteruskan Ke Indonesia
Menurut Ding Kai, edisi Malaysia meneruskan usaha Southern Film Culture Foundation untuk menggalakkan pertukaran budaya menerusi filem dengan mempertemukan karya kung fu China dan filem aksi Malaysia dalam satu program.
Beliau turut menghargai kerjasama FINAS yang memberi peluang kepada festival berkenaan dianjurkan sempena FFM35, selain menyambut baik kehadiran penonton daripada pelbagai kaum sepanjang dua hari penganjuran.
Sejak dilancarkan di London pada 2024, festival tersebut telah berlangsung di beberapa bandar termasuk Toronto, New York dan Copenhagen, Denmark.
Ding Kai turut mengumumkan bahawa festival berkenaan dijadualkan diteruskan di Indonesia pada penghujung November ini.

Sementara itu, Naib Pengerusi CFAM, Tong Bing Yu berkata, sambutan terhadap program tersebut amat menggalakkan apabila kesemua 11 tayangan umum habis ditempah dalam masa seminggu selepas senarai filem diumumkan.
Beliau berharap festival itu dapat kembali pada tahun hadapan dengan lebih banyak pilihan filem kung fu berkualiti untuk peminat filem aksi serta penggiat industri tempatan.

Tayangan Khas The Way Of The Dragon
Selepas sesi ucapan, tetamu yang hadir turut menyaksikan tayangan khas The Way of the Dragon, filem seni bela diri klasik arahan dan lakonan legenda seni bela diri, Bruce Lee.
Selain wakil organisasi penganjur dan industri perfileman, program itu turut menghimpunkan beberapa artis serta penggiat seni tempatan, antaranya Andy Teh, Qi Razali, Theebaan G, Nadia Brian dan Ammar Alfian.
Turut hadir ialah pengarah filem Ernest Chong, koreografer aksi dan pelakon lagak ngeri dari Hong Kong, SuperKen, Ribbon Wong, Sandra Lim serta Aries Kwan.
Kehadiran barisan penggiat industri tersebut memperlihatkan sokongan terhadap usaha mempromosikan filem aksi dan kung fu, selain menggalakkan hubungan lebih erat antara penggiat perfileman dari pelbagai latar budaya.

Buka Peluang Kerjasama Filem Rentas Negara
Penganjuran program ini turut melibatkan Sil-Metropole Organisation Ltd. yang mempersembahkan program filem antarabangsa, manakala CFAM menyelaras pemilihan filem Malaysia.
Festival berkenaan mendapat sokongan Bauhinia Culture Group, Marvelous Culture & Film dan Multimedia Entertainment, dengan GSC Mid Valley Megamall sebagai penaja lokasi.
Menerusi tayangan dan pertemuan sepanjang dua hari, penganjur berharap program itu dapat mendekatkan penonton dengan tradisi seni bela diri serta proses kreatif di sebalik babak aksi, di samping membuka lebih banyak peluang kerjasama perfileman antara Malaysia dan negara lain pada masa hadapan.



GIPHY App Key not set. Please check settings