Kumpulan muzik, Masdo mengakui usaha menembusi pasaran Indonesia bukan sesuatu yang mudah memandangkan negara itu mempunyai jumlah artis dan kumpulan muzik yang jauh lebih besar, selain memerlukan komitmen berterusan untuk memastikan nama mereka terus dikenali.
Bagaimanapun, kumpulan yang dianggotai Ali Sariah, Putu Ceri dan Asmawi itu bersyukur apabila karya mereka mula mendapat tempat dalam kalangan pendengar di negara jiran, malah ada lagu mereka dimainkan pemuzik jalanan atau pengamen di sana.
Ali berkata, kunjungan Masdo ke Indonesia bukan sekadar untuk membuat persembahan, sebaliknya menjadi peluang memperkenalkan identiti mereka sebagai kumpulan muzik dari Malaysia.
Menurutnya, masih terdapat segelintir pendengar yang keliru mengenai asal-usul Masdo, memandangkan terdapat sebuah kumpulan lain di Indonesia yang mempunyai nama hampir sama.
“Kita datang ke sana untuk tunjuk siapa Masdo sebab ada pertikaian sama ada Masdo ini daripada Indonesia. Jadi, kita perkenalkan diri sebagai Masdo dari Malaysia dan karya ini adalah hasil kami.
“Alhamdulillah, lagu-lagu kami di sana sangat diterima. Ramai pendengar dan kita dapat lihat sendiri apabila jumlah penstriman di platform digital meningkat dengan luar biasa di wilayah sana,” katanya.
BUZZ RingKAS
SIAPA: Kugiran Masdo, dianggotai Ali Sariah, Putu Ceri dan Asmawi.
APA: Berkongsi pengalaman dan cabaran mengembangkan pengaruh muzik di Indonesia.
BILA: Dalam temu bual sempena sidang media Konsert Sooka dan Konsert Vaganza.
DI MANA: Seri Pacific Hotel, Kuala Lumpur.
MENGAPA: Pasaran Indonesia mempunyai persaingan artis yang besar, selain memerlukan komitmen dan kos untuk membina kehadiran secara konsisten.
BAGAIMANA: Masdo terus membuat persembahan, memperkenalkan identiti sebagai band Malaysia dan menghasilkan karya yang mampu diterima pendengar luar negara.

Lagu Masdo Sudah Dimainkan Pengamen Di Indonesia
Antara perkembangan yang cukup menggembirakan buat Masdo ialah apabila lagu mereka bukan sahaja mendapat sambutan menerusi platform digital, malah turut dimainkan pemuzik jalanan di Indonesia.
Ali menyifatkan perkara itu sebagai petanda bahawa karya mereka sudah mula diterima oleh pendengar daripada pelbagai lapisan masyarakat, meskipun tidak semua mengetahui identiti kumpulan berkenaan.
“Kalau di sana, antara petunjuk lagu itu sudah diterima adalah apabila pengamen mula memainkan lagu kita. Alhamdulillah, itu bermakna lagu tersebut sudah sampai kepada masyarakat biasa.
“Kita pernah sedang makan atau melepak di sebuah kedai di sana, tiba-tiba ada orang datang dan memainkan lagu kita. Tetapi mereka tidak tahu pun siapa kita. Kita gembira sebab lagu itu berjaya diterima di sana,” katanya.
Tambahnya, lagu Dinda merupakan antara karya Masdo yang paling mendapat sambutan di Indonesia, diikuti beberapa lagu lain seperti Janji Manis, Berduka-Lara dan Pujaanku.
Malah, Ali berseloroh kumpulan itu seolah-olah wajib membawakan lagu-lagu berkenaan setiap kali mengadakan persembahan di negara tersebut kerana ia sudah menjadi antara karya yang dinantikan peminat.
Masdo Akui Sukar Kekalkan Kehadiran Di Indonesia
Dalam pada itu, Putu Ceri menjelaskan usaha membina nama di Indonesia memerlukan kehadiran yang konsisten kerana pasaran muzik di negara itu jauh lebih besar berbanding Malaysia.
Katanya, Masdo perlu kerap berada di sana untuk meninggalkan kesan dalam kalangan pendengar, namun komitmen kerja serta kos perjalanan menjadi antara faktor yang perlu dipertimbangkan.
“Memang susah sebab Indonesia sebuah negara yang besar, sedangkan kita sangat kecil. Keberadaan kita di sana bukanlah sentiasa ada.
“Untuk meninggalkan kesan, kita perlu selalu berada di sana. Tetapi komitmen untuk berada di sana dengan kerap agak susah. Jadi, kalau kita dapat pergi sekurang-kurangnya dua atau tiga kali setahun pun, itu sudah memadai dan Alhamdulillah buat kami,” katanya.
Menurut Putu Ceri, jumlah band dan artis yang ramai di Indonesia turut menjadikan persaingan lebih mencabar.
Justeru, Masdo perlu memilih tawaran persembahan yang bersesuaian dengan kemampuan serta berbaloi dari segi kos dan kualiti acara.
Ali turut berkongsi bahawa mereka baru sahaja berpeluang membuat persembahan di Surabaya menerusi acara Sound of Downtown, sekali gus menjadi ruang untuk memperkenalkan muzik Masdo kepada pendengar di kawasan berkenaan.
Pernah Terima Tawaran Label Indonesia, Namun Belum Sesuai
Mengulas kemungkinan bekerjasama dengan syarikat rakaman di Indonesia, Putu Ceri mendedahkan Masdo pernah menerima beberapa tawaran sebelum ini.
Bagaimanapun, mereka masih belum menemui tawaran yang benar-benar sesuai dengan keperluan kumpulan itu sebagai sebuah band.
“Dulu memang ada beberapa tawaran, cuma kami belum jumpa tawaran yang sesuai untuk kami sebagai sebuah band. Kami mempunyai ramai anggota, jadi kekangan itu berbeza berbanding penyanyi solo.
“Kalau penyanyi solo, hanya seorang individu yang perlu pergi. Tetapi untuk kami, perlu ada satu tawaran yang sesuai untuk semua anggota sebelum bersetuju menandatangani kontrak di sana,” jelasnya.
Ali pula menambah, sebarang tawaran perlu diteliti dengan lebih mendalam, terutama membabitkan urusan kontrak dan aspek perundangan.
Katanya, walaupun mereka bergerak sebagai band indie, perkara berkaitan pengurusan serta perjanjian tetap perlu diberikan perhatian supaya tidak timbul masalah pada masa hadapan.
Masdo Pilih Perbaiki Diri Daripada Menyalahkan Penganjur Festival
Dalam perkembangan lain, Masdo turut ditanya mengenai situasi festival muzik tempatan yang dilihat kerap menampilkan artis luar negara, sedangkan peluang buat kumpulan tempatan dikatakan masih terhad.
Putu Ceri memilih untuk melihat perkara itu daripada sudut berbeza dengan berpendapat setiap artis perlu menilai apa yang boleh ditawarkan kepada penganjur dan pihak penganjur acara.
Baginya, kumpulan muzik tempatan perlu terus meningkatkan mutu persembahan serta memberikan sesuatu yang mampu menarik perhatian pihak penganjur.
“Saya fikir apabila keadaan sudah jadi begitu, perkara itu berbalik kepada kita sebagai sebuah band atau artis. Apa yang boleh kita berikan kepada pihak penganjur dan promoter supaya kita layak berada di situ?
“Saya rasa kita perlu buat lebih banyak kerja untuk mendapatkan perhatian dan peluang menyertai festival besar yang akan datang. Lebih baik kita fikir bagaimana untuk memperbaiki sesuatu daripada menyalahkan pihak lain,” katanya.
Percaya Karya Muzik Mampu Merentas Sempadan
Bagi Masdo, kekuatan sesebuah karya merupakan antara faktor utama yang membolehkan muzik mereka diterima di luar negara.
Putu Ceri menyifatkan lagu sebagai produk yang boleh dibawa ke mana-mana pasaran, manakala platform digital pula membuka ruang lebih luas untuk karya tempatan didengari pendengar dari pelbagai negara.
Katanya, penerimaan muzik tidak semestinya bergantung kepada bahasa kerana melodi yang dekat dengan jiwa pendengar juga mampu memainkan peranan besar.
“Karya kita sebenarnya barang jualan. Lagu dan karya inilah yang boleh membawa kita ke mana-mana serta menarik perhatian pendengar.
“Sekarang dunia tanpa sempadan kerana kita sudah ada platform digital. Muzik bukan hanya tentang bahasa. Kita sendiri boleh menerima K-pop walaupun tidak semestinya memahami bahasa yang digunakan. Jadi, saya tidak rasa orang luar tidak boleh menerima bahasa Melayu. Mungkin melodi itu yang boleh kena dengan jiwa mereka,” katanya.
Untuk rekod, Masdo dikenali menerusi beberapa lagu popular termasuk Dinda, Pujaanku, Inilah JalanNya, Bunga, Berduka-Lara dan Perih Jerih.
Masdo Bakal Meriahkan Konsert Sooka Sempena 30 Tahun Astro
Dalam perkembangan lain, Masdo bakal menjadi antara kumpulan yang membuat persembahan menerusi Konsert Sooka pada 5 Disember 2026 di Idea Live Arena, 3 Damansara.
Konsert itu merupakan sebahagian daripada sambutan ulang tahun ke-30 Astro yang turut menampilkan The Lantis, Insomniacks, Bunkface dan Kudrat Boys.
Sementara itu, Konsert Vaganza akan berlangsung pada 6 Disember 2026 dengan barisan artis daripada pelbagai generasi serta kolaborasi istimewa.
Kedua-dua konsert membawa tema One Stage, Three Decades, Endless Memories, dengan tiket boleh didapati menerusi Ticketmelon.



GIPHY App Key not set. Please check settings