in , ,

Asyraf Khalid Mengaku Khilaf, Kecewa Kawan Lama, Caprice Serang Tanpa Henti

ASYRAF KHALID BUAT LAPORAN POLIS SELEPAS DISERANG CAPRICE DI MEDIA SOSIAL

Kuala Lumpur, 1 Ogos 2025 – Personaliti media dan usahawan Asyraf Khalid tampil mempertahankan dirinya dan keluarga selepas menjadi sasaran siri serangan terbuka di media sosial oleh pempengaruh Caprice berhubung satu episod podcast terbitan beliau.

Dalam satu sidang media penuh emosi semalam, Asyraf menegaskan kenyataan beliau bukan dibuat atas kapasiti sebagai selebriti atau ahli perniagaan, tetapi sebagai seorang suami, bapa dan anak yang ingin mempertahankan maruah keluarga dan menegakkan kebenaran.

“Saya tidak pernah berniat mencetuskan kontroversi, apatah lagi mencabar mana-mana pihak. Tapi apabila maruah saya dan keluarga dicemari dengan tohmahan, saya tidak boleh terus berdiam diri,” tegas Asyraf.

Asyraf menjelaskan bahawa sejak Januari 2024, beliau bersama seorang rakan telah mengasaskan podcast “Apa Cerita”, sebuah platform mingguan yang menampilkan tokoh-tokoh perniagaan dan individu berpengaruh untuk memberi inspirasi kepada generasi muda.

Kontroversi tercetus beberapa hari lalu apabila pihak produksi memuat naik video teaser untuk episod baharu tanpa mendedahkan identiti tetamu jemputan. Bagaimanapun, Caprice mendakwa individu tersebut terlibat dalam pelbagai tuduhan kekerasan dan terus melancarkan siri hantaran media sosial yang menyerang Asyraf secara peribadi.

“Saya cuba hubungi Caprice secara peribadi untuk menjelaskan keadaan sebenar. Tapi hantaran-hantaran serangan tetap diteruskan dan ia menjejaskan saya bukan sahaja sebagai individu, malah sebagai ketua keluarga,” kata Asyraf.

Menurut Asyraf, pasukannya telah membuat keputusan untuk tidak memuat naik episod tersebut demi menghormati sensitiviti semua pihak. Namun tindakan itu tidak menghalang Caprice daripada terus membuat hantaran bernada serangan dan kecaman.

Buat Laporan Polis, Pertimbang Ambil Tindakan Undang-Undang

Asyraf turut mendedahkan bahawa beliau telah membuat laporan polis berhubung perkara ini. Bagaimanapun, kandungan laporan itu tidak boleh didedahkan buat masa ini atas nasihat peguam. Beliau juga sedang mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap mana-mana individu yang terlibat.

“Saya percaya pada proses undang-undang. Bukan tugas saya untuk menghukum sesiapa. Malaysia ada sistem kehakiman dan penguatkuasaan yang berfungsi,” katanya.

Asyraf menegaskan tindakan yang diambil bukan kerana dendam, sebaliknya untuk mempertahankan reputasi beliau, keluarga dan pasukannya di Larenme, yang telah bekerja keras membangunkan platform “Apa Cerita”.

Ucapan Terima Kasih & Seruan Kepada Masyarakat

Dalam kenyataan penuh, Asyraf turut merakamkan penghargaan kepada ibu bapa, isteri dan abang-abangnya, khususnya Abang Adib yang bersama beliau sepanjang krisis ini. Beliau juga berterima kasih kepada pasukan Larenme atas sokongan berterusan.

“Saya percaya rakyat Malaysia masih punya hati nurani untuk menilai mana yang benar dan mana yang salah. Saya juga menyeru agar kita semua menjadi pengguna media sosial yang lebih beradab, matang dan bertanggungjawab,” kata beliau menutup kenyataan.

Latar Belakang Kontroversi

Caprice sebelum ini dikenali sebagai figura kontroversial yang lantang menyuarakan pendapatnya di media sosial. Beliau pernah dikritik kerana menyiarkan pendedahan terbuka bersama individu seperti Mondy Tatto yang melibatkan tokoh agama terkenal. Dalam kes terdahulu, pihak polis turut menasihati Caprice agar tidak menyiarkan kandungan tersebut bagi mengelakkan mengganggu siasatan, namun beliau tetap memuat naik teaser dan membuat kenyataan umum.

Tindakan terbaru terhadap Asyraf sekali lagi menimbulkan persoalan dalam kalangan masyarakat tentang batasan kebebasan bersuara dan tanggungjawab sebagai pengguna media sosial. Forum atas talian dan komen netizen juga menunjukkan sentimen bercampur, dengan sebahagian besar menyokong langkah Asyraf untuk bertindak secara profesional dan menghormati proses undang-undang.

Ditulis oleh The Buzzer/Editor

Kadang-kadang lelaki. Kadang-kadang perempuan. Mengumpul berita dari serata ceruk alam maya atau melaporkan secara eksklusif.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

8 Sebab Anda Tak Boleh Lepaskan Selangor Travel Fair 2025

SLAMFEST 2025: Malaysia Cipta Sejarah Gusti Antarabangsa Bersama Bintang WWE!