Kalau anda sudah menonton “Khadam”, pasti rumah yang didiami Melor antara elemen yang paling meninggalkan kesan sepanjang filem tersebut.
Namun ramai tidak mengetahui bahawa rumah yang menjadi latar utama dalam filem seram arahan Shamyl Othman itu sebenarnya mempunyai kisah luar biasa di sebalik pembikinannya.
Rumah tersebut bukan dibina di studio dan bukan juga sekadar lokasi penggambaran biasa. Sebaliknya, ia dipindahkan dari Raub, Pahang ke Perak demi memastikan visi kreatif filem itu dapat direalisasikan dengan sempurna.
Menariknya, usaha luar biasa itu selari dengan matlamat produksi “Khadam” yang sejak awal lagi mahu menghasilkan sebuah filem seram bertaraf antarabangsa tanpa mengorbankan identiti budaya Melayu yang menjadi teras penceritaannya.
Pasukan produksi filem Khadam.
APA
Memindahkan sebuah rumah kampung dari Pahang ke Perak.
BILA
Semasa persiapan penggambaran filem Khadam.
DI MANA
Dari Raub, Pahang ke lokasi penggambaran di Perak.
MENGAPA
Untuk mendapatkan visual rumah yang tepat seperti dalam skrip.
BAGAIMANA
Rumah dibuka satu persatu sebelum dipasang semula di lokasi baharu.

Rumah Yang Menjadi Sebahagian Daripada Cerita
Dalam “Khadam”, rumah Melor bukan sekadar tempat tinggal.
Ia menjadi simbol kepada warisan keluarga, rahsia yang disimpan turun-temurun dan beban yang menghantui kehidupan watak-watak dalam filem tersebut.
Filem yang dibintangi Aghniny Haque sebagai Melor dan Datuk Remy Ishak sebagai Awang itu mengisahkan perjuangan sebuah keluarga berdepan saka warisan yang mengancam kehidupan mereka.
Disebabkan kepentingan rumah tersebut dalam penceritaan, pasukan produksi mengambil masa yang panjang untuk mencari lokasi yang benar-benar menepati gambaran dalam skrip.

Pencarian Berakhir Di Raub
Menurut pasukan produksi, pelbagai lokasi di sekitar Kuala Lumpur dan Selangor telah diteroka bagi mencari rumah yang sesuai.
Rumah tersebut perlu menampilkan seni bina rumah Melayu sekitar tahun 1950-an serta mempunyai karakter visual yang mampu menyokong suasana filem.
Pencarian itu akhirnya menemukan mereka dengan sebuah rumah lama di Raub, Pahang.
Namun walaupun rumah tersebut memenuhi hampir semua keperluan produksi, keadaan persekitarannya pula tidak sesuai dengan dunia yang ingin dibangunkan dalam “Khadam”.

Dibuka, Dilabel Dan Dipasang Semula
Daripada mengubah konsep yang telah dirancang, produksi memilih jalan yang jauh lebih mencabar.
Rumah tersebut dibuka satu persatu dengan setiap bahagian dilabel secara teliti sebelum dibawa ke Perak.
Selepas proses pemindahan selesai, rumah berkenaan dipasang semula dan beberapa penyesuaian dilakukan bagi memenuhi keperluan penggambaran serta pergerakan kamera.
Walaupun beberapa bahagian perlu diperbaharui demi keselamatan dan ketahanan struktur, identiti asal rumah tersebut tetap dikekalkan.
Hasilnya, rumah Melor berjaya dibangunkan semula seperti yang dibayangkan dalam skrip dan menjadi antara elemen visual paling ikonik dalam filem tersebut.

Khadam Masih Ditayangkan Di Pawagam
Usaha luar biasa memindahkan rumah Melor dari Pahang ke Perak membuktikan kesungguhan pasukan produksi dalam menghasilkan pengalaman sinematik yang terbaik buat penonton.
Dibintangi Aghniny Haque, Datuk Remy Ishak, Siti Khadijah Halim, Karl’ El, Zarra Zhaff dan Jun Lojong, “Khadam” mengangkat kisah seram yang berakar daripada budaya Melayu menerusi tema keluarga, pengorbanan dan warisan saka.
Filem arahan Shamyl Othman itu masih lagi ditayangkan di pawagam seluruh negara. Jadi bagi yang masih belum menontonnya, inilah peluang untuk menyaksikan sendiri kisah di sebalik rumah Melor yang kini menjadi antara elemen paling ikonik dalam “Khadam”.


GIPHY App Key not set. Please check settings