Jenama fesyen tempatan Dr. Cardin meneruskan kempen The Overlooked Malaysia dengan acara The Overlooked Malaysia: Beyond The Screen yang akan berlangsung selama lima hari di IOI City Mall Putrajaya, bermula 7 hingga 11 Oktober 2026.
Seiring perkembangan rekaan yang semakin mengikuti trend semasa, Dr. Cardin turut tampil dengan pendekatan kempen yang berbeza menerusi tema pengembaraan untuk mengetengahkan keindahan lokasi menarik di Malaysia.
Kempen berkenaan hadir dalam bentuk filem pendek, dokumentari road trip bersama barisan selebriti dan pencipta kandungan serta sesi siaran langsung yang dilakukan di lokasi terbuka.
BUZZ RINGKAS
SIAPA:
Dr. Cardin
APA:
Kempen The Overlooked Malaysia by Dr. Cardin dan acara The Overlooked Malaysia: Beyond The Screen
BILA:
Acara berlangsung pada 7 hingga 11 Oktober 2026
DI MANA:
IOI City Mall Putrajaya
MENGAPA:
Membawa kempen bertemakan pengembaraan kepada orang ramai secara lebih dekat selain mengetengahkan lokasi menarik di Malaysia
BAGAIMANA:
Menerusi filem pendek, dokumentari road trip, sesi siaran langsung dan acara secara bersemuka bersama barisan selebriti serta pencipta kandungan
Cetus Idea Daripada Pengalaman Bercuti Dalam Negara

Menurut Ketua Penjenamaan Dr. Cardin, Chong Charl Yee, idea kempen tersebut tercetus selepas adiknya memilih untuk bercuti di dalam negara meskipun sebelum ini lebih kerap melancong ke luar negara.
“Sebenarnya negara kita mempunyai banyak tempat menarik yang kita sendiri belum pernah lawati. Adik saya mahu bercuti tetapi dia tidak mempunyai waktu yang banyak. Kebiasaan dia bercuti di luar negara, tetapi kali ini dia memilih bercuti di dalam negara.
“Apabila dia pulang, dia mencadangkan agar kami melakukan kempen ini kerana dia jatuh cinta dengan keindahan di bumi Malaysia.
“Kami melihat idea ini sebagai sesuatu yang menarik dalam masa yang sama kami ingin memberi pendedahan kepada rakyat Malaysia bahawa negara kita kaya dengan tempat-tempat menarik untuk dilawati,” katanya.
Menerusi kempen ini, Dr. Cardin menjelajah empat negeri di Semenanjung Malaysia iaitu Kedah, Kelantan, Terengganu dan Johor.
Kempen berkenaan bermula pada 25 Ogos menerusi tayangan filem pendek arahan Mshaffuan yang dibahagikan kepada beberapa bahagian.
Libatkan Selebriti Dan Pencipta Kandungan

Pada September, kempen tersebut diteruskan menerusi sesi siaran langsung dari Kedah bersama pasangan selebriti Bella Astillah dan YB Syed Saddiq.
Kempen kemudian beralih ke Kelantan bersama sembilan pencipta kandungan serta pempengaruh media sosial, termasuk pelakon Mierul Aiman yang menyertai ekspedisi The Explorer Trip ke Dabong.
Perjalanan serta aktiviti mereka sepanjang berada di Dabong turut dirakamkan dalam sebuah dokumentari.
Pendekatan tersebut memberi kelainan kepada kempen Dr. Cardin yang sebelum ini lebih bersifat konvensional, selain membawa penonton melihat lokasi dan pengalaman pengembaraan yang diketengahkan secara lebih dekat.
Kempen Diteruskan Secara Bersemuka Di IOI City Mall

Selepas beberapa siri kandungan secara dalam talian, kempen The Overlooked Malaysia kini diteruskan secara bersemuka menerusi acara The Overlooked Malaysia: Beyond The Screen.
Acara yang berlangsung selama lima hari di IOI City Mall Putrajaya dari 7 hingga 11 Oktober 2026 itu memberi peluang kepada orang ramai untuk merasai sendiri pengalaman kempen yang sebelum ini diketengahkan menerusi skrin.
Pengunjung juga berpeluang menyertai sesi bertemu dan beramah mesra bersama barisan pelakon serta pencipta kandungan seperti Mierul Aiman, Ain Ramli, Zakuan Zainal, Farah Hamdan, Fikri Zamri, Merantau Dunia dan Sya Azhar.
Selain itu, episod akhir filem pendek kempen tersebut turut akan ditayangkan sepanjang acara bersama pengarahnya, Mshaffuan.
Sambutan Positif Buka Peluang Ke Negeri Lain

Bercerita mengenai penerimaan kempen berkenaan, Charl Yee berkata maklum balas positif daripada orang ramai menunjukkan pendekatan berbeza yang dibawa Dr. Cardin mendapat perhatian.
“Kami mendapat maklum balas yang sangat positif daripada netizen. Mereka sukakan kelainan yang ditampilkan dan rasa lebih dekat dengan diri mereka.
“Engagement yang diterima untuk kempen kali ini juga lebih hebat berbanding kempen-kempen sebelum ini.
“Netizen terkejut apabila menonton sesi live kami yang dilakukan di tempat-tempat yang ‘rare’ seperti di atas batu besar dan di dalam air sungai.
“Melihatkan sambutan hangat yang diberikan, Dr. Cardin mungkin akan meneruskan kempen ini di negeri lain pula. Mungkin kami akan menjelajah bumi Borneo pula selepas ini,” kongsinya.
Kempen The Overlooked Malaysia bukan sahaja mengetengahkan pendekatan pemasaran yang berbeza untuk Dr. Cardin, malah membawa mesej bahawa masih banyak lokasi menarik di Malaysia yang boleh diterokai.
Dengan acara secara bersemuka di IOI City Mall Putrajaya, orang ramai kini berpeluang melihat sendiri kesinambungan kempen tersebut serta mengikuti perjalanan yang dibawa Dr. Cardin menerusi gabungan fesyen, pengembaraan dan kandungan digital.



GIPHY App Key not set. Please check settings