Home Berita Kak ‘Ros’ Upin Dan Ipin Di Eksploitasi Seksi Melampau

Kak ‘Ros’ Upin Dan Ipin Di Eksploitasi Seksi Melampau

0
Kak ‘Ros’ Upin Dan Ipin Di Eksploitasi Seksi Melampau

KUALA LUMPUR – Watak ‘Ros’ kakak garang dalam siri animasi Upin dan Ipin dikesan menjadi mangsa eksploitasi pihak tidak bertanggungjawab yang memaparkan watak itu dengan ilustrasi seksi melampau.

Tujuh keping karikatur Kak Ros dimuat naik ke sebuah laman web perkongsian seni reka grafik yang diubah dan dilukis semula secara digital dengan menggambarkan wataknya berpakaian seksi, malah ada yang seolah-olah tidak mengenakan sebarang pakaian dan disertakan keterangan tidak senonoh.

Sejak dimuat naik 3 Julai lalu, gambar itu yang sudah diakses lebih 4,000 pengunjung laman sesawang berkenaan dikhuatiri boleh ‘meracuni’ pemikiran kanak-kanak melalui penerapan unsur lucah pada watak animasi kegemaran mereka itu.

Ketua Media Baru dan Perhubungan Awam Les’ Copaque Production Sdn Bhd, Mohd Zarin Abdul Karim berkata, syarikatnya tidak terlibat dengan sebarang penghasilan karikatur mahupun video Upin dan Ipin yang menyalahi undang-undang.

“Kami tiada kaitan dengan penghasilan sebarang siri animasi yang mempunyai kesan negatif terhadap masyarakat, khususnya kanak-kanak.

“Namun, pemantauan di Internet terutamanya laman sosial sentiasa kami lakukan dari semasa ke semasa bagi mengesan mereka yang tidak bertanggungjawab ini daripada terus menyebarkan perkara negatif,” katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Timbalan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (Siasatan/Perundangan) Bukit Aman, Datuk Law Hong Soon berkata, tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang dilihat cuba merosakkan masyarakat, terutamanya kanak-kanak melalui penyebaran bahan pornografi.

Bagaimanapun, katanya, polis akan melihat dahulu sama ada kandungan karikatur itu mempunyai unsur negatif terhadap masyarakat, sebelum mengambil sebarang tindakan lanjut.

hey_there_____by_princepervian-da8rio8shhhh__3_by_princepervian-da8swmx

via deviant art

“Mereka yang bersalah akan disiasat di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan kerana memiliki atau menyebarkan bahan lucah,” katanya.

Di bawah Seksyen 292 Kanun Keseksaan, mana-mana pihak yang disabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga tiga tahun atau denda atau kedua-duanya.

Upin dan Ipin adalah sebuah siri animasi tempatan yang melonjakkan nama negara di pentas animasi antarabangsa kerana penghasilannya berjaya menembusi negara seperti Turki, Korea Selatan dan Hong Kong.

Siri animasi itu mengisahkan sepasang kembar berusia lima tahun yang menjalani kehidupan seharian bersama kakak (Kak Ros), nenek dan rakan mereka di sebuah kampung.

Tinggalkan Pendapat Anda Untuk Semua Dengari