in ,

Kedah, Johor Ungguli Pertandingan Memasak Sekolah Menengah MAGGI® 2026

Kedah dan Johor muncul Johan Kebangsaan Pertandingan Memasak Sekolah Menengah MAGGI® 2026 selepas pertandingan itu mencatat rekod penyertaan seramai 4,606 pelajar dari 16 negeri dan Wilayah Persekutuan.

Buat julung kalinya tahun ini, pertandingan tersebut memperkenalkan dua kategori iaitu Menengah Rendah dan Menengah Atas, sekali gus membuka peluang penyertaan lebih luas kepada pelajar sekolah menengah.

Peringkat kebangsaan yang berlangsung di Melaka menyaksikan Muhammad Ammaruddin bin Jasni dan Aidil Zikry bin Mohd Noor Izhham dari SMK Mahsuri, Kedah dinobatkan sebagai Johan kategori Menengah Rendah.

Bagi kategori Menengah Atas pula, gelaran Johan diraih Hannah Jasmine binti Zakaria dan Nur Ellisa Balqis binti Saiful dari SMK Mutiara Rini, Johor.

BUZZ RINGKAS


SIAPA:
Pelajar dari seluruh Malaysia menerusi Pertandingan Memasak Sekolah Menengah MAGGI® 2026.

APA:
Kedah dan Johor masing-masing dinobatkan sebagai Johan Kebangsaan bagi kategori Menengah Rendah dan Menengah Atas.

BILA:
Peringkat Kebangsaan Pertandingan Memasak Sekolah Menengah MAGGI® 2026.

DI MANA:
Melaka.

MENGAPA:
Pertandingan ini memberi ruang kepada pelajar membina keyakinan, kreativiti dan kemahiran praktikal menerusi aktiviti memasak.

BAGAIMANA:
Seramai 4,606 pelajar dari 16 negeri dan Wilayah Persekutuan menyertai pertandingan sebelum finalis terbaik berentap di peringkat kebangsaan dalam dua kategori.

Rekod 4,606 Pelajar Sertai Pertandingan

Pertandingan Memasak Sekolah Menengah MAGGI® telah dianjurkan selama hampir tiga dekad sebagai salah satu platform untuk membimbing generasi muda Malaysia menerusi kemahiran memasak.

Selain mengasah kemahiran memasak, pertandingan ini memberi ruang kepada pelajar untuk membina keyakinan diri, mengembangkan kreativiti serta mempraktikkan kemahiran yang boleh digunakan dalam kehidupan seharian.

Tahun ini menyaksikan jumlah penyertaan meningkat lebih dua kali ganda berbanding 2,088 pelajar pada 2025 kepada 4,606 pelajar pada 2026.

“Selama 29 tahun, MAGGI® telah membuka ruang kepada generasi muda Malaysia untuk belajar, mencuba dan mengekspresikan kreativiti mereka melalui masakan,” kata Ivy Tan Link Cheh, Pegawai Eksekutif Perniagaan MAGGI® Malaysia dan Singapura.

“Tahun ini membuka lembaran baharu yang penting apabila kami menjalinkan kerjasama strategik bersama Kementerian Pendidikan Malaysia dan memperluaskan komitmen ini ke seluruh negara,” katanya.

Menurut beliau, peningkatan penyertaan tersebut turut memperlihatkan kreativiti, keyakinan serta kebanggaan peserta terhadap cita rasa yang dekat dengan keluarga dan komuniti mereka.

Dua Kategori Diperkenalkan Tahun Ini

Pengenalan kategori Menengah Rendah dan Menengah Atas menjadi antara perubahan utama dalam pertandingan tahun ini.

Perjalanan pertandingan bermula di peringkat negeri dengan pelajar dari seluruh pelosok Malaysia diberi peluang untuk menunjukkan kemahiran memasak, pemahaman tentang pemakanan seimbang serta kreativiti dalam menghasilkan hidangan.

Peserta terbaik dari setiap negeri kemudiannya dipilih untuk membawa nama negeri masing-masing ke peringkat kebangsaan di Melaka.

Di peringkat kebangsaan, seramai 16 finalis negeri berentap dalam dua kategori dengan hidangan dinilai berdasarkan kreativiti dan inovasi, rasa, persembahan serta penerapan konsep Suku-Suku-Separuh oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Elemen Literasi Kewangan Turut Diperkenalkan

Pertandingan tahun ini turut mencatat satu lagi perkembangan menerusi kerjasama strategik pertama antara MAGGI® dan Kementerian Pendidikan Malaysia.

Selain kemahiran memasak dan pemahaman mengenai pemakanan, elemen literasi kewangan diperkenalkan sebagai sebahagian daripada pertandingan.

Peserta perlu merancang hidangan berdasarkan bajet yang ditetapkan, sekali gus memberi peluang kepada mereka mengaplikasikan kemahiran seperti perancangan, pengurusan sumber dan membuat keputusan secara bertanggungjawab.

Elemen tersebut turut menyokong aspirasi Strategi Literasi Kewangan Kebangsaan 2.0 (2026–2030).

“Menerusi kerjasama strategik bersama MAGGI®, kami dapat membuka lebih banyak peluang kepada murid untuk belajar melalui pengalaman secara langsung,” kata Ahmad Haridan bin Mohammed, Timbalan Pengarah, Sektor Pengurusan Sukan, Bahagian Sukan, Kokurikulum dan Kesenian, Kementerian Pendidikan Malaysia.

“Dengan menggabungkan kemahiran memasak, kreativiti dan literasi kewangan, pertandingan ini bukan sahaja membantu murid membina kemahiran kehidupan yang penting, malah memberi pendedahan kepada bidang kulinari dan vokasional yang dapat membantu mereka membuat pilihan pendidikan dan kerjaya pada masa hadapan,” katanya.

Kedah Dan Johor Raih Gelaran Johan

Peringkat kebangsaan di Melaka akhirnya menyaksikan Kedah dan Johor muncul sebagai negeri yang meraih gelaran Johan dalam dua kategori yang dipertandingkan.

Bagi kategori Menengah Rendah, Muhammad Ammaruddin bin Jasni dan Aidil Zikry bin Mohd Noor Izhham dari SMK Mahsuri, Kedah membawa pulang gelaran Johan.

Zahira Maisara binti Mohd Rosaidy dan Liyana Rasyiqah binti Mohd Shahrul Kamal dari SMK Taman Medan, Selangor pula meraih Naib Johan, manakala Nur Zara Alisha binti Abdul Rahman dan Siti Nurdiyana binti Rosdi dari SMK Bentong, Pahang menduduki tempat ketiga.

Tempat keempat diraih Nurul Zahida binti Mohamad Nazwawi dan Auni binti Ayub dari SMK Tunku Kurshiah, Negeri Sembilan, manakala Farhan Nasruddin b Jainudin dan Muhammad Afif Ishraf bin Ahmad Khalid dari SMK Segambut Jaya, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur berada di tempat kelima.

Bagi kategori Menengah Atas, Hannah Jasmine binti Zakaria dan Nur Ellisa Balqis binti Saiful dari SMK Mutiara Rini, Johor dinobatkan sebagai Johan.

Nur Musliha Najwa binti Hamiza dan Muhammad Adiy Naufal bin Muhammad Hazrul dari SMK Seri Bemban, Melaka meraih Naib Johan, diikuti Muhammad Shafawie Imran bin Shafereenoor dan Ali Imran bin Hafidz dari Sekolah Sultan Alam Shah Putrajaya di tempat ketiga.

Tempat keempat pula diraih Mohammad Amirul dan Nur Hamdan Shah dari SMK Elopura II, Sabah, manakala Muhammad Aniq Syahmi bin Mohd Mahazir dan Amzar ‘Uqail bin Azmi dari SMK Raja Permaisuri Bainun, Perak berada di tempat kelima.

Bawa Cita Rasa Malaysia Ke Generasi Seterusnya

Lebih daripada sekadar pertandingan memasak, program ini memberi peluang kepada pelajar untuk mencabar kemampuan diri, membawa nama negeri masing-masing serta mengetengahkan kreativiti melalui hidangan yang dekat dengan cita rasa dan warisan makanan Malaysia.

Bagi MAGGI®, usaha memperkasa generasi muda turut melibatkan usaha membantu mereka menghargai cita rasa dan tradisi makanan yang membentuk identiti masakan Malaysia.

Menerusi Pertandingan Memasak Sekolah Menengah MAGGI®, pelajar diberi ruang untuk membina kemahiran dan keyakinan sambil meneroka idea baharu serta pendekatan moden dalam menghasilkan hidangan.

Dengan peningkatan penyertaan kepada 4,606 pelajar dan pengenalan dua kategori baharu, edisi 2026 memperluas lagi ruang untuk bakat muda Malaysia mengembangkan kemahiran memasak, kreativiti dan pengetahuan praktikal.

Ditulis oleh Cema Cempaka

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

Top 6 Purina Felix Cat Fashion Week Sertai Masterclass ‘Up Skill’ Bersama Pakar