in

“Jangan Melampau!”, Aaron Aziz Lapor Polis Isu Ugutan Akaun Palsu

Screenshot

Pelakon tersohor Datuk Aaron Aziz mengesahkan dirinya telah membuat laporan polis berhubung ugutan serta hinaan yang diterima menerusi media sosial, dipercayai dilakukan oleh individu sama yang menggunakan beberapa akaun palsu.

Menurut Aaron, tindakan tersebut bukan dibuat secara terburu-buru, sebaliknya selepas menyedari tahap gangguan yang diterima semakin serius dan sukar untuk dijejaki.

🔥 Ringkasan Isu Aaron Aziz
  • Aaron Aziz buat laporan polis berkaitan ugutan dan hinaan di media sosial
  • Individu disyaki menggunakan beberapa akaun palsu
  • Kesukaran mengesan identiti sebenar jadi faktor laporan dibuat
  • Aaron tegur sikap pengguna media sosial yang melampaui batas
  • Kebiasaan sebelum ini hanya ‘block’ atau padam komen
  • Berpendapat individu sama boleh cipta persepsi serangan ramai orang
  • Aaron muncul dalam filem aksi rentas negara, Black Ops
  • Filem ini gabungkan produksi Malaysia dan Hong Kong

“Apabila guna akaun palsu, proses nak kenal pasti siapa di sebalik komen itu memang rumit. Identiti sebenar tak jelas, lokasi pun susah dikesan,” – Datuk Aaron Aziz.

Aaron berkata demikian ketika ditemui pada majlis pelancaran filem aksi terbaharu, Black Ops, yang berlangsung di Wisma Ekran, baru-baru ini.

Dalam pada itu, pelakon berusia 49 tahun berkenaan turut menyeru pengguna media sosial supaya lebih beretika dan memahami batas dalam meninggalkan komen, terutama melibatkan isu peribadi atau penghinaan melampau.

“Media sosial ini ada hadnya. Bukan semua benda boleh ditulis sesuka hati. Kalau komen mengarut, selalunya saya padam atau sekat sahaja. Tapi yang ini lain,” jelasnya.

Aaron turut mendedahkan wujud kemungkinan individu sama menggunakan lebih daripada satu akaun untuk meninggalkan komen negatif, sekali gus mewujudkan persepsi seolah-olah serangan datang daripada ramai pihak.

“Kita tak tahu, mungkin orang yang sama tapi dengan banyak akaun. Itu yang buat keadaan jadi lebih rumit,” tambahnya.

Sementara itu, dalam perkembangan kerjaya, Aaron bakal muncul dalam filem Black Ops, sebuah projek aksi berskala besar hasil kerjasama syarikat produksi tempatan termasuk Skop Productions, Enotech, Astro Shaw, Komet Studios, Marvelous Culture & Film serta GSC, bersama syarikat produksi terkenal Hong Kong, One Cool Films milik bintang antarabangsa, Louis Koo.

Filem tersebut turut menampilkan barisan pelakon ternama seperti Sharnaaz Ahmad, Benjamin Yuen, Hisyam Hamid, Andy Teh, Fauzi Nawawi, Elizabeth Tan, MK K-Clique, Raja Afiq dan ramai lagi.

Black Ops mengisahkan seorang anggota pasukan khas, Johan, yang dituduh terlibat dalam pembunuhan isterinya serta kehilangan anak perempuan, sebelum terpaksa menentang organisasinya sendiri demi membongkar konspirasi besar dan membersihkan namanya.

Dengan gabungan aksi intensif, sentuhan kreatif antarabangsa dan jalan cerita penuh konflik emosi, Black Ops dijangka menjadi antara filem tempatan paling dinantikan tahun ini.

Ditulis oleh Ezza Azira

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

“Jangan Terjebak Cinta Lokasi”, Pesan Nasha Aziz Kepada Zairi

Radhi OAG Pilih Tenang, Anggap Episod Mahkamah Sebagai Proses Tuhan Mendidik