Maestro muzik, Datuk Ramli MS kurang bersetuju dengan tindakan Mawi menyelitkan elemen selawat ketika menyampaikan lagu Intifada pada konsert minggu ketiga Gegar Vaganza Fantasia (GVF), malam tadi, kerana berpendapat ia kurang sesuai digabungkan dengan susunan muzik yang terlalu keras.
Menurut Ramli, sekiranya perkara itu dimaklumkan lebih awal, pihak muzik boleh menyediakan susunan berbeza yang lebih sesuai dengan elemen sufi atau Islamik.
Malah, beliau mendedahkan markah Mawi turut dipotong pada bahagian berkenaan sehingga penyanyi itu berada di kedudukan keenam pada konsert tersebut.
“Kami banyak potong markah di bahagian selawat. Ketika rehearsal, bahagian itu tiada. Kalau saya tahu, saya tidak akan bagi muzik yang terlalu bising.
“Intifada memang sebuah lagu tentang melawan keadilan. Kalau Mawi maklumkan lebih awal, kita akan asingkan muzik asal dan masuk elemen sufi atau yang lebih Islamik,” katanya.
Ramli berkata demikian ketika ditemui selepas tamat konsert minggu ketiga GVF yang berlangsung di Auditorium MBSA, Shah Alam pada Ahad.

BUZZ RINGKAS
SIAPA: Mawi dan Datuk Ramli MS
APA: Ramli menjelaskan markah Mawi dipotong selepas menyelitkan elemen selawat dalam lagu Intifada.
BILA: Konsert minggu ketiga GVF.
DI MANA: Auditorium MBSA, Shah Alam.
MENGAPA: Ramli berpendapat elemen selawat kurang sesuai digabungkan dengan susunan muzik yang terlalu keras.
BAGAIMANA: Ramli mendedahkan markah dipotong pada bahagian selawat kerana elemen tersebut tidak terdapat ketika sesi latihan.
Ramli Nafi Tidak Berani Kritik Persembahan Mawi

Dalam masa sama, Ramli menepis dakwaan kononnya barisan juri tidak berani memberikan kritikan terhadap Mawi susulan persembahan penyanyi itu yang didakwa melakukan kesilapan ketika menyampaikan lagu berkenaan.
Jelasnya, beliau tidak pernah teragak-agak untuk memberikan komen sekiranya terdapat kekurangan dalam persembahan mana-mana peserta.
“Siapa kata saya tak berani? Siapa sahaja yang buat silap, saya akan komen. Netizen boleh bercakap apa sahaja. Kita lihat persembahannya malam tadi, Mawi berada di kedudukan keenam,” katanya.

Ramli Gembira Prestasi Peserta Semakin Meningkat
Beralih kepada perkembangan keseluruhan pertandingan, Ramli meluahkan rasa gembira melihat peningkatan prestasi peserta yang disifatkan semakin memberangsangkan.
Menurutnya, persaingan pada minggu ketiga semakin sengit, terutama dengan kehadiran peserta yang diserap masuk sehingga mewujudkan persaingan lebih kompetitif.
“Saya sangat gembira dengan prestasi para peserta malam tadi. Saya sudah boleh rasa semangat pertandingan itu lebih-lebih lagi dengan kehadiran peserta yang diserap masuk.
“Ia menunjukkan persaingan yang sihat. Peserta yang duduk di kelompok bawahan selama dua minggu ini telah menunjukkan peningkatan ketara.
“Saya gembira dengan proses peningkatan mereka. Kita baru selesai minggu ketiga, perubahan ketara pasti akan berlaku pada minggu-minggu berikutnya,” kongsinya.

Zahid Raih Markah Tertinggi, Ramli Puji Pendekatan Persembahan
Mengulas kejayaan Zahid meraih markah tertinggi pada konsert minggu ketiga, Ramli menyifatkan penyanyi itu mempunyai pendekatan intelektual yang berbeza ketika menyampaikan lagu Biarlah Bulan Bicara.
Meskipun persembahan Zahid dilakukan dalam keadaan menyanyi di tepi tiang, Ramli tetap menganggap penyampaian tersebut mempunyai gaya tersendiri.
“Saya mengikut keputusan majoriti juri. Walaupun Zahid hanya menyanyi di tepi tiang, persembahannya sangat ‘stylo’.
“Dia menyanyi dalam keadaan intelektual yang berbeza,” katanya.
Untuk rekod, GVF berlangsung selama 11 minggu secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam bermula 9 November, setiap Sabtu pada pukul 9 malam menerusi Astro Ria (104).
Program itu turut boleh distrim menerusi On Demand, Astro GO dan Sooka.



GIPHY App Key not set. Please check settings