in

Resorts World Genting Sambut Tahun Baharu Dengan Hello 2027 Countdown Festival

Resorts World Genting (RWG) bakal menghangatkan sambutan tahun baharu menerusi Hello 2027 Countdown Festival, sebuah festival muzik selama tiga malam yang berlangsung di Arena of Stars dari 31 Disember 2026 hingga 2 Januari 2027.

Menghimpunkan barisan DJ antarabangsa, penyanyi Mandopop dan artis Malaysia, festival itu menjanjikan pelbagai persembahan muzik serta hiburan bagi meraikan ketibaan tahun 2027. Lebih menarik, kemasukan adalah percuma dengan tiket untuk semua pengunjung.

Persembahan pada 31 Disember akan berlangsung dari jam 9 malam hingga 12.30 tengah malam, manakala acara pada 1 dan 2 Januari dijadualkan bermula jam 8.30 malam hingga 11 malam.

BUZZ RINGKAS


SIAPA: Resorts World Genting bersama barisan DJ antarabangsa, penyanyi Mandopop dan artis Malaysia.

APA: Hello 2027 Countdown Festival, festival muzik selama tiga malam bagi meraikan ketibaan tahun baharu.

BILA: 31 Disember 2026 hingga 2 Januari 2027.

DI MANA: Arena of Stars, Resorts World Genting.

MENGAPA: Meraikan ketibaan tahun 2027 dengan persembahan muzik dan hiburan untuk peminat pelbagai generasi.

BAGAIMANA: Menerusi persembahan Paul van Dyk, Deng Yichen, Jenna Chew, Danny Koo, Daniel Cheah, DJ Casper Yu dan NICKTHEREAL. Kemasukan percuma dengan tiket.

Paul van Dyk Meriahkan Malam Ambang Tahun Baharu

Malam terakhir 2026 bakal dimeriahkan dengan persembahan peneraju muzik trance antarabangsa, Paul van Dyk, yang akan mengetuai acara kira detik menjelang tahun baharu.

Dikenali menerusi lagu ikonik For An Angel yang terus mendapat tempat dalam kalangan peminat muzik elektronik sejak lebih tiga dekad lalu, DJ yang pernah dua kali dinobatkan sebagai DJ nombor satu dunia itu bakal membawa set muzik bertenaga ke Arena of Stars.

Turut memeriahkan malam tersebut ialah Deng Yichen (邓伊辰), yang mesra dikenali sebagai “Little G.E.M.” menerusi persembahan lagu-lagu popular G.E.M. (邓紫棋).

Antara lagu yang sering dipersembahkan termasuk 光年之外 (Beyond Light Years), 泡沫 (Bubble) dan 句号 (Full Stop).

Gabungan melodi yang dekat dengan peminat serta irama elektronik dijangka menjadikan malam terakhir 2026 lebih meriah menjelang detik pertukaran tahun.

Jenna Chew, Danny Koo Dan Daniel Cheah Sambung Kemuncak Sambutan

Sambutan diteruskan pada 1 Januari dengan persembahan DJ Jenna Chew yang bakal membawa tenaga serta muzik elektronik dinamik ke pentas Arena of Stars.

Diiktiraf sebagai antara 10 DJ wanita terbaik Malaysia oleh DJANE Malaysia, Jenna telah membuat persembahan di pelbagai festival muzik dan acara hiburan utama di Malaysia serta rantau ini.

Malam itu turut menampilkan dua nama yang cukup dikenali peminat muzik tempatan, iaitu Danny Koo (许佳麟) dan Daniel Cheah (车志立).

Danny Koo bakal menghiburkan penonton menerusi lagu seperti 我的青春是周杰伦 (My Youth Is Jay Chou) dan 对岸 (Shore), manakala Daniel Cheah pula dikenali menerusi lagu I Still Think of You.

Persembahan mereka dijangka membawa suasana lebih dekat dengan peminat menerusi lagu-lagu yang pernah menjadi pilihan pendengar tempatan.

DJ Casper Yu Dan NICKTHEREAL Tutup Festival Dengan Persembahan Bertenaga

Pada 2 Januari, festival berkenaan bakal menutup tirainya dengan persembahan DJ Casper Yu dan penyanyi Taiwan, NICKTHEREAL (周汤豪).

Sebagai antara nama yang semakin mendapat perhatian dalam arena muzik elektronik China, DJ Casper Yu pernah membuat persembahan di pentas antarabangsa termasuk Ultra Music Festival, Amsterdam Dance Event dan Waterbomb Festival.

Turut berkongsi pentas ialah NICKTHEREAL, penyanyi, penulis lagu dan penerbit muzik dari Taiwan yang terkenal dengan gabungan muzik hip-hop, pop, R&B serta elektronik.

Antara lagu popularnya termasuk 帅到分手 (Too Hot To Handle), 骂醒我 (Wake Me Up) dan REAL LIFE.

Lebih istimewa, NICKTHEREAL bakal membuat kemunculan bersama kumpulan muzik langsung rasminya, sekali gus menampilkan gabungan tenaga muzik rock dan karisma pentas yang menjadi identiti persembahannya.

Gabungan kedua-dua persembahan itu dijangka menjadi penutup bertenaga buat festival selama tiga hari berkenaan.

Kemasukan Percuma, Tiket Boleh Ditebus Pada Hari Persembahan

Bagi peminat yang ingin menyertai sambutan tersebut, kemasukan ke Hello 2027 Countdown Festival adalah percuma dengan tiket.

Tiket boleh ditebus bermula jam 4 petang pada hari setiap persembahan di kawasan Arena of Stars Courtyard.

Pengunjung boleh memilih kemasukan secara berdiri atau tempat duduk percuma, bergantung kepada ketersediaan. Setiap tiket hanya sah untuk seorang pengunjung dan hanya boleh digunakan pada hari penebusan yang sama.

Ahli Genting Rewards pula layak menebus maksimum satu tiket bagi setiap hari persembahan.

Dengan gabungan muzik elektronik antarabangsa, lagu popular Mandopop dan persembahan artis tempatan, Hello 2027 Countdown Festival menawarkan pilihan hiburan untuk peminat pelbagai generasi. Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut menerusi laman web rasmi rwgenting.com atau platform media sosial Resorts World Genting.

Ditulis oleh Cema Cempaka

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

“Saya Tak Sangka Mampu Tewaskan Mereka” – Zarra Zhaff Terkejut Raih Trofi FFM35

Ara Johari Pasang Impian Tarik 50,000 Penonton Suatu Hari Nanti