Penyanyi Mawi tampil menjelaskan tindakannya menyelitkan alunan selawat ketika menyampaikan lagu Intifada pada konsert minggu ketiga Gegar Vaganza Fantasia (GVF), dengan menegaskan perkara itu berlaku secara spontan dan bukannya dirancang lebih awal.
Menurut Mawi, bahagian berkenaan sememangnya dibiarkan kosong sejak awal kerana dia mahu menunggu ilham yang mungkin hadir ketika berada di atas pentas.
“Dia macam mana nak cakap? Bahagian itu memang dibiarkan kosong. Dari awal lagi saya rancang, cuma saya tunggu apa yang terilham waktu di atas pentas.
“Jadi atas pentas terkeluar itu. Itu yang terpacul. Dia spontan keluar selawat itu. Jadi itulah keluar,” katanya.
Mawi berkata demikian ketika ditemui selepas konsert minggu ketiga GVF.

BUZZ RINGKAS
SIAPA: Mawi
APA: Menjelaskan alunan selawat yang diselitkan ketika menyampaikan lagu Intifada.
BILA: Konsert minggu ketiga GVF.
DI MANA: Auditorium MBSA, Shah Alam.
MENGAPA: Bahagian tersebut dibiarkan kosong sejak awal dan Mawi menunggu ilham ketika membuat persembahan.
BAGAIMANA: Selawat tercetus secara spontan ketika berada di atas pentas, bukan berdasarkan skrip atau perancangan awal.
Pernah Lakukan Perkara Sama Ketika Nyanyi Aduh Saliha
Tambah penyanyi itu, situasi serupa pernah berlaku ketika dia menyampaikan lagu Aduh Saliha apabila ungkapan ‘hayya ‘alal falah’ turut disebut secara spontan tanpa perancangan awal.
“Sebab masa Aduh Saliha, saya pun tak rancang juga belakang itu nak sebut apa, tapi tersebut hayya ‘alal falah. Ha, itu. Dia keluar itu.
“Saya tengok waktu atas pentas itu apa yang keluar. Maksudnya saya tak rancang benda itu. Saya tak nak cakap macam skrip. Scripted kan,” ujarnya.
Tidak Pertikai Hak Juri Potong Markah

Dalam pada itu, Mawi tidak mempertikaikan hak barisan juri untuk memotong markah persembahannya, namun mengakui lebih selesa memberikan persembahan secara bebas tanpa terlalu terikat dengan perancangan.
Katanya, pendekatan tersebut juga pernah ditunjukkan ketika sesi uji bakat apabila dia menyampaikan sesuatu yang terlintas secara spontan.
“Itu juri punya hak. Macam yang saya cakap, waktu buat persembahan, saya lebih suka bebas atas pentas.
“Masa waktu uji bakat pun, juri minta saya menyanyi lagu yang saya tak menyanyi dekat pentas sebelah. Apa yang terlintas, saya terus baca selawat.
“Sama juga, benda itu pun berlaku pada malam ini,” katanya lagi.
Tok Ram Sebelum Ini Tegur Penggunaan Selawat Dalam Intifada
Terdahulu, ketua juri GVF, Datuk Ramli MS atau lebih mesra disapa Tok Ram menegur tindakan Mawi menyelitkan alunan selawat di pertengahan persembahan lagu Intifada pada konsert minggu ketiga.
Ramli berkata, perkara tersebut tidak dimaklumkan kepadanya ketika sesi raptai sehingga susunan muzik yang disediakan tidak bersesuaian dengan elemen kerohanian yang diketengahkan menerusi selawat berkenaan.
Situasi itu menyebabkan barisan juri memotong banyak markah persembahan Mawi, sekali gus menyaksikan penyanyi itu berada di tangga keenam pada minggu tersebut.
Bagaimanapun, Mawi turut menerima anugerah Bintang Paling Power CelcomDigi dan membawa pulang wang tunai berjumlah RM2,500.
Untuk rekod, GVF berlangsung selama 11 minggu secara langsung dari Auditorium MBSA, Shah Alam bermula 9 November, setiap Sabtu pada pukul 9 malam menerusi Astro Ria (104).
Program berkenaan turut boleh distrim menerusi On Demand, Astro GO dan Sooka.


GIPHY App Key not set. Please check settings