KLANG, 5 Sept – Syarikat perancang perkahwinan, Zurin Jundi akan membayar ganti rugi kepada pelanggannya yang tidak menerima perkhidmatan memuaskan atas faktor kecuaian, kata peguamnya Muhamad Akmal Arif Shamsul Kahar.

Beliau berkata anak guamnya yang menjalankan perniagaan selama 10 tahun akan menyusun jadual pembayaran secara berkala kepada 91 pelanggan terlibat, rata-ratanya bakal pengantin.

“Kami sekali lagi meminta maaf di atas kesalahan yang tidak disengajakan dan berjanji untuk membayar setiap ganti rugi kes-kes kecuaian yang telah berlaku,” katanya pada sidang media yang turut dihadiri pengasas syarikat perancang perkahwinan itu di sini hari ini.

Muhamad Akmal Arif mengulas laporan media berhubung puluhan bakal pengantin mendakwa diperdaya menerusi pakej perkahwinan ditawarkan syarikat berkenaan, yang melibatkan kerugian hampir RM500,000.

Kejadian mereka ‘menyerang’ perancang perkahwinan itu tular di media sosial berikutan dakwaan kegagalan syarikat perancang perkahwinan itu memenuhi tawaran pakej dijanjikan termasuk sajian makanan, pelamin dan gambar perkahwinan.

Laporan sebelum ini mengenai perancang perkahwinan ‘diserang’ pelanggan di pautan ini.

Turut hadir, Zurina dan tiga peguam lain yang mewakili syarikat Zurin Jundi.

Isnin lepas hampir 100 pengantin dan bakal pengantin yang mendakwa terpedaya dengan tawaran syarikat di Seksyen 7, Shah Alam, dengan anggaran kerugian mencecah RM500,000.

Syarikat itu juga mempunyai butik lain di Pulau Pinang, Perak, Kuala Lumpur dan Johor.

Kebanyakan bakal pengantin yang menjadi mangsa mendesak syarikat perancang perkahwinan itu memulangkan semula duit yang dibayar antara RM2,000 dan RM10,000.

Bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan, pemilik butik itu ditahan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Selatan dan Shah Alam namun kemudian dibebaskan dengan jaminan polis.

Muhamad Akmal berkata, pemerhatian awal pihaknya mendapati syarikat yang beroperasi sejak 2007 dengan reputasi baik itu disabotaj beberapa individu sehingga turut menyebabkan perkara itu menjadi tular.

“Terdapat lima hingga enam individu yang mempunyai kaitan dengan Zurin Jundi dikesan menyeleweng wang dan memalukan syarikat termasuk menyebabkan beberapa majlis pelanggan kami terjejas.

“Berikutan itu, kami akan memfailkan saman sivil terhadap mereka dalam tempoh terdekat,” katanya.

Menurutnya, dia berharap semua pihak tidak lagi membuat sebarang spekulasi negatif dan meminta pelanggan berbincang lebih lanjut dengan anak guamnya.

Tinggalkan Pendapat Anda Untuk Semua Dengari