in ,

“Saya Tak Sangka Mampu Tewaskan Mereka” – Zarra Zhaff Terkejut Raih Trofi FFM35

Pelakon remaja, Zarra Zhaff tidak menyangka mampu membawa pulang trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) menerusi lakonannya dalam filem Khadam.

Pada usia 14 tahun, Zarra atau nama sebenarnya Ezarra Nurzhaffira mengakui terkejut apabila namanya diumumkan sebagai pemenang, lebih-lebih lagi apabila perlu bersaing dengan barisan pelakon yang lebih berpengalaman.

Kemenangan itu menyaksikan Zarra mengetepikan Datin Sofia Jane menerusi Malam Terlarang, Sara Ali (Libang Libu), Pearlly Chua (Mother Bhumi) dan Azira Shafinaz (Tarung: Unforgiven).

“Saya tidak sangka mampu menewaskan mereka. Malah, saya sendiri tidak tahu ada bakat sebesar itu.

“Namun, Alhamdulillah, ini rezeki saya malam ini (tadi) apabila dapat membawa pulang trofi pertama… Saya sangat gembira,” katanya.

Zarra berkongsi perkara itu ketika ditemui media pada malam kemuncak FFM35 yang berlangsung di Istana Budaya.

BUZZ RINGKAS


SIAPA: Zarra Zhaff atau Ezarra Nurzhaffira, 14 tahun.

APA: Memenangi trofi Pelakon Pembantu Wanita Terbaik FFM35.

BILA: Malam kemuncak FFM35.

DI MANA: Istana Budaya, Kuala Lumpur.

MENGAPA: Kemenangan menerusi lakonannya dalam filem Khadam.

BAGAIMANA: Menewaskan empat calon lain termasuk Datin Sofia Jane, Sara Ali, Pearlly Chua dan Azira Shafinaz.

Populariti Bukan Penentu Kemenangan

Dalam pada itu, Zarra menyifatkan kejayaan berkenaan sebagai bukti bahawa populariti bukanlah faktor utama seseorang pelakon untuk mendapat pengiktirafan dalam industri perfileman.

Malah, dia mengakui sebelum ini beranggapan pelakon yang sudah mempunyai nama dan lebih lama berkecimpung dalam industri seni mempunyai peluang lebih besar untuk memenangi anugerah.

“Saya sangat gembira kerana dapat membuka mata juri bahawa populariti bukan kunci kemenangan.

“Sebelum ini, saya beranggapan pelakon yang popular dan sudah mempunyai nama, terutama pelakon ‘senior’, lebih berpeluang menang kerana mereka sudah lama dalam industri seni,” katanya.

Mahu Cuba Genre Aksi, Shah Rukh Khan Jadi Idola

Bercerita mengenai perancangan kerjaya selepas ini, Zarra mengakui perjalanan seninya masih panjang memandangkan usianya baru 14 tahun.

Dia berharap dapat diberikan lebih banyak peluang untuk membintangi drama dan filem, selain berhasrat meraih pengiktirafan menerusi lakonan pada masa akan datang.

“Saya fikir perjalanan masih panjang kerana baru berusia 14 tahun. Saya berharap dapat berlakon dalam lebih banyak cerita dan filem, selain memenangi anugerah lain.

“Saya sudah pernah membintangi filem seram dan drama. Jadi, selepas ini saya mahu mencuba genre aksi pula,” katanya.

Menariknya, pelakon muda itu turut mendedahkan aktor Bollywood, Shah Rukh Khan sebagai individu yang menjadi idolanya.

Ditulis oleh Cema Cempaka

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

Mawi Tak Rancang Selit Selawat Dalam Intifada