in ,

Terima Ugutan Serangan Parang, Mierul Aiman Pilih Maafkan Individu Terbabit

Pelakon Mierul Aiman mengesahkan individu yang sebelum ini mengeluarkan ancaman mahu menyerangnya menggunakan parang menerusi media sosial sudah menghubunginya secara peribadi untuk memohon maaf.

Mierul berkata, dia menerima permohonan maaf tersebut kerana merasakan individu berkenaan benar-benar ikhlas dan jujur mengakui kesilapannya.

Malah, pelakon itu melihat insiden berkenaan sebagai satu peringatan serta pengajaran bukan sahaja buat dirinya, malah orang lain.

BUZZ RINGKAS


SIAPA: Mierul Aiman dan individu yang mengeluarkan ancaman terhadapnya.

APA: Mierul menganggap isu ugutan serangan parang sudah selesai selepas menerima permohonan maaf.

BILA: Dikongsikan ketika malam anugerah FFM35.

DI MANA: Istana Budaya, Kuala Lumpur.

MENGAPA: Individu terbabit mengakui kenyataannya yang dianggap gurauan itu keterlaluan dan melampaui batas.

BAGAIMANA: Permohonan maaf disampaikan menerusi mesej peribadi (DM) di media sosial dan diterima oleh Mierul serta pihak pengurusannya.

“Alhamdulillah, pihak yang mengeluarkan kenyataan tersebut telah pun memohon maaf secara peribadi kepada saya. Malah, saya juga merasakan ia merupakan permohonan maaf yang ikhlas dan jujur.

“Dia sangka, hal itu hanyalah gurauan dan tidak mengetahui ia keterlaluan dan melampaui batas. Saya anggap hal ini sebagai satu peringatan untuk diri dan orang lain juga,” katanya.

Mierul berkongsi perkara itu ketika ditemui pada malam anugerah Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) yang berlangsung di Istana Budaya, Kuala Lumpur, pada Sabtu.

Pada majlis sama, Mierul turut dinobatkan sebagai penerima anugerah Pelakon Lelaki Harapan menerusi lakonannya dalam filem Tarung: Unforgiven.

Ibu Antara Individu Terawal Mengetahui Ancaman

Dalam pada itu, Mierul mengakui terkejut apabila mengetahui mengenai ancaman berkenaan, lebih-lebih lagi apabila ibunya terlebih dahulu mendapat tahu tentang perkara tersebut.

Situasi itu turut membuatkan pelakon berkenaan memikirkan kesan insiden berkenaan terhadap perasaan ibu bapa dan ahli keluarganya.

“Pada mulanya, saya memang agak terkejut. Hal itu sebenarnya diketahui dahulu oleh ibu saya.

“Jadi, bila isu ini telah melibatkan kegusaran dan kerisauan bagi pihak ibu bapa dan keluarga, saya rasa seperti telah membuat satu kesalahan kepada pihak-pihak yang tidak bersetuju dengan tindakan saya sebelum ini.

“Disebabkan hal itu, saya merasakan yang saya perlu membuat permohonan maaf. Mungkin ada silap daripada saya atau mereka tidak bersetuju dengan apa yang telah saya lakukan sepanjang siri jelajah filem ini,” katanya lagi.

Pilih Selesaikan Isu Secara Baik

Mengulas keputusannya untuk tidak mengambil tindakan lanjut, Mierul berpendapat sesuatu perselisihan boleh diselesaikan menerusi pendekatan saling menghormati dan berkasih sayang.

Katanya, dia bersyukur kerana perjalanan siri jelajah filem ke beberapa negeri sebelum ini berjalan lancar, selain pihak pengurusan turut mengambil langkah menjaga aspek keselamatan.

“Setiap perkara yang kita lalui, kita boleh selesaikannya dengan cara saling menghormati dan berkasih sayang.

“Alhamdulillah perjalanan saya ke beberapa buah negeri untuk siri jelajah ini telah dipermudahkan.

“Pihak pengurusan juga mengambil berat tentang keselamatan. Bagi saya, hal ini sudah selesai,” kongsinya.

Permohonan Maaf Dihantar Menerusi DM

Mierul turut menjelaskan individu terbabit menghubunginya melalui mesej peribadi atau DM di media sosial untuk menyampaikan permohonan maaf.

Perkara itu juga sudah dimaklumkan kepada pihak pengurusannya sebelum mereka bersetuju menerima permohonan maaf berkenaan.

“Individu itu memohon maaf menerusi mesej peribadi (DM) di media sosial. Saya pun telah berkongsikan perkara itu kepada pihak pengurusan. Kita pun bersetuju untuk menerima permohonan maaf itu,” katanya.

Terdahulu, Mierul menjadi perhatian selepas menerima komen berunsur ugutan daripada seorang pengguna media sosial yang mendakwa mahu menyerangnya menggunakan parang.

Ditulis oleh Cema Cempaka

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

Menang Pelakon Wanita Harapan FFM35, Aila Azizul Tak Lupa Jasa Arwah Bapa

Khadam Ungguli FFM35 Dengan 10 Kemenangan, Raih Dana RM1 Juta