Indonesia pernah digegarkan dengan satu kes keganasan yang mencetuskan kemarahan nasional apabila seorang remaja, David Ozora, menjadi mangsa serangan kejam sehingga koma berpanjangan, dipercayai dilakukan oleh individu yang dilindungi pengaruh dan kedudukan.

Insiden yang berlaku pada tahun 2023 itu tidak sekadar mengorbankan masa depan seorang anak muda, malah membuka perbincangan besar tentang keadilan yang timpang, kuasa yang disalah guna dan keberanian masyarakat untuk bersuara.
- Diadaptasi daripada kes sebenar David Ozora (2023)
- Mengangkat isu keadilan, kuasa & keberanian bersuara
- Diarahkan Anggy Umbara & Bounty Umbara
- Fokus pada sudut pandang keluarga mangsa
- Menelusuri kesan psikologi & spiritual seorang bapa
- Dibintangi Chicco Jerikho & barisan pelakon ternama
- Kolaborasi pelbagai studio produksi Indonesia
- Tayangan di pawagam Malaysia bermula 22 Jan 2026
Berpaksikan tragedi sebenar itu, sebuah karya sinematik berjudul Ozora: Penganiayaan Brutal Penguasa Jaksel diterbitkan bagi mengangkat kisah ini dari sudut yang lebih mendalam bukan sekadar jenayah, tetapi perjalanan emosi, psikologi dan spiritual sebuah keluarga yang diuji dengan ketidakadilan sistem.
Filem ini diarahkan oleh Anggy Umbara dan Bounty Umbara di bawah produksi Umbara Brothers Film, dengan sokongan kerjasama pelbagai produksi termasuk VMS Studio, 786 Entertainment, Rumpi Entertainment, Makara Production, A&Z Films dan Dbay Film Factory.

Projek ini turut menandakan penyatuan semula Anggy dan Bounty sebagai pengarah selepas sekian lama bergerak secara berasingan.
Menurut Anggy, idea penceritaan ini lahir daripada keinginan untuk melihat tragedi Ozora bukan hanya sebagai berita sensasi, tetapi sebagai kisah kemanusiaan yang jarang difahami secara mendalam.
“Ramai tahu tentang kes itu, tapi tidak ramai menyelami apa yang dilalui oleh seorang bapa apabila melihat anaknya terbaring dengan peluang hidup yang terlalu tipis,” – Anggy Umbara.

Naratif filem memfokuskan perjuangan Jonathan Latumahina, seorang bapa yang berusaha menuntut keadilan selepas anaknya koma akibat keganasan, dalam keadaan pelaku menerima layanan istimewa kerana latar belakang keluarganya yang berpengaruh.
Barisan pelakon yang menghidupkan kisah ini terdiri daripada Chicco Jerikho, Muzakki Ramdhan, Erdin Werdrayana, Tika Bravani, Donny Damara, Annisa Kaila dan Mathias Muchus.

Chicco Jerikho mengakui wataknya sebagai Jonathan merupakan antara karakter paling mencabar yang pernah dibawanya.
“Ia bukan filem aksi, tetapi tekanan emosi dan psikologi sangat berat. Saya perlu menahan perasaan agar tidak melampaui realiti sebenar,” – Chicco Jerikho.
Selain menelusuri penderitaan sebuah keluarga, filem ini turut menekankan peranan solidariti rakyat dan kekuatan suara awam dalam menentang ketidakadilan, terutamanya apabila kuasa disalahgunakan.
Dijadualkan menemui penonton di pawagam seluruh Malaysia bermula 22 Januari 2026, Ozora: Penganiayaan Brutal Penguasa Jaksel hadir sebagai sebuah peringatan bahawa diam bukan lagi pilihan apabila keadilan diinjak-injak.



GIPHY App Key not set. Please check settings