in ,

SukaSuka MehMeh LOLLOL OMGOMG SedihSedih

Plot Twist dan Visual Menakjubkan dalam Ejen Ali The Movie 2 • Ulasan Tanpa Spoiler

Sabtu lalu, saya dan rakan dijemput menghadiri tayangan perdana tertutup filem Ejen Ali The Movie 2: Misi Satria. Lebih istimewa, tayangan ini turut dihadiri oleh pengarahnya sendiri, Usamah Zaid Yasin. Bayangkan perasaan saya – dapat menonton lebih awal daripada orang lain! Jangan risau, tiada spoiler. Oh ya, masuk-masuk pawagam, semua telefon bimbit kena seal! Tak boleh langsung rakam – walaupun satu lagi telefon dalam poket.

Apa yang saya boleh cakap – Filem Malaysia ini gempak habis! Begitu cukup serba serbi dan mendebarkan dari awal hingga akhir. Animasinya tak kalah dengan produksi luar. Bak kata Aziz M. Osman yang turut sama menonton ketika itu, pembikin filem ini ada OCD, visualnya detail-sedetailnya. Dua jam menonton, tak rasa buang masa – filem ni memang berbaloi!


Mula-mula Nampak Biasa, Tapi Lepas Tu… Boom!

Jujur saya katakan, 10 minit pertama filem ini agak biasa bagi saya. Bukan kerana jalan ceritanya, tetapi ada sesuatu yang terasa tidak cukup menarik perhatian. Mungkin kerana aksi, lagu dan sound effect macam tak kena, tak cukup gah. Mungkin juga kerana saya sudah menjangkakan permulaan yang lebih mendebarkan, tetapi ia terasa sedikit perlahan dan seperti tidak begitu mencuri fokus. Namun, sebaik sahaja filem ini masuk ke babak seterusnya, segala berubah! Dari situ, cerita terus meluncur lebih baik.

Satria beraksi

Cerita yang Penuh Kejutan

Dalam sekuel kali ini, Ejen Ali kembali dengan tanggungjawab baru. Dia kini diberi peranan sebagai pengendali bagi Projek Satria – sut perisai berteknologi tinggi yang dibangunkan oleh MATA. Sut ini dikuasakan oleh kecerdasan buatan (AI) yang boleh mengoptimumkan prestasi fizikal dan mental ejen. Reka bentuknya bukan calang-calang, ada sentuhan tradisional Melayu – helmatnya menyerupai tengkolok, dan logo di dada seperti butang baju Melayu. Memang ada identiti tempatan walaupun dalam dunia futuristik Cyberaya.

Selepas IRISnya di ambil, Ali berusaha untuk menjadi Super Ejen, namun sukar baginya sehingga Alicia membantu. Walaupun selalu kelihatan persaingan antara mereka berdua, filem kali ini menyelami lebih dalam perhubungan mereka. Eksplorasi watak ini penting terutamanya menuju ke apa yang akan berlaku seterusnya dalam filem ini. Ancaman baru bernama Neonimus – seorang penggodam genius yang tidak hanya berbahaya, tetapi juga punya kaitan rapat dengan MATA turut menjadi sesuatu yang cukup mengejutkan di babak-babak seterusnya.

Neonimus ancaman terbaharu Cyberaya

Plot Twist yang Tak Disangka!

Kalau ada satu benda yang saya perlu beri pujian, sudah tentu plot twist dalam filem ni. Satu dua perkara boleh dijangka, namun tetap ada yang bakal mengejutkan penonton. Neonimus bukan musuh sembarangan. Rahsia besar yang terungkap bukan sahaja buat Ali terkejut, malah saya yang menonton pun terpaku! Memang bijak cara mereka susun plot, penuh dengan kejutan yang tak dijangka.

Ada satu babak yang paling mendebarkan, iaitu apabila sut Satria mengalami kegagalan fungsi ketika Ali sedang bertempur. Masa tu, Ali terpaksa bergantung sepenuhnya pada kecekalan peribadi tanpa bantuan teknologi. Babak ni betul-betul mencabar emosi saya – terasa sekali konflik dalaman Ali yang perlu mencari kekuatan dalam diri sendiri.


Visual yang Mengagumkan

Dari segi visual, saya memang terpegun. WAU Animation nampaknya benar-benar menaikkan standard animasi tempatan. Tekstur kulit, rambut, bulu mata dan bulu roma pada setiap watak nampak lebih halus dan realistik berbanding filem pertama. Terutama watak yang lebih matang seperti Dato’ Othman dan Ejen Dayang – kedutan wajah mereka sangat jelas, seolah-olah benar-benar hidup.

Adegan melibatkan air juga memang epik. Bagi yang biasa membuat animasi, pasti tahu air satu benda yang susah untuk dibuat. Air berombak, percikan air, dan pergerakan sut Satria yang beradaptasi dalam air nampak sangat realistik. Kalau tengok dalam format Dolby Atmos, pasti lagi padu! Teknologi Unreal Engine yang digunakan memang memberi impak besar dari segi pergerakan dan pencahayaan.

Adegan dasar laut

Humor dan Emosi Terbaik

Walaupun penuh aksi, filem ini tidak melupakan sentuhan humor. Tengah serius-serius pun, tiba-tiba keluar lawak spontan yang buat satu panggung gelak besar. Ejen Bakar kali ini seperti biasa mencuri perhatian, selamba tapi menghiburkan. Babak emosi pun tak kurang hebatnya. Ketika Ali berada dalam dilema, hati saya pun terasa berat sama. Cuma mungkin jika ditambah sedikit lagi kehalusan emosi seperti filem pertama, pasti lebih menyentuh perasaan.

Sebut fasal perasaan, bawa tisu, tak boleh cerita banyak, tetapi, bawa tisu. Filem kali ini lebih berat, lebih banyak bermain emosi. Bahagian ini tak mampu diceritakan di sini tanpa menjadi spoiler, jadi kena tonton sendiri.


Lagu yang Membakar Semangat

Tiga lagu utama dalam filem ini memang kena pada tempatnya:

  • Hanya Kamu oleh Dato’ M. Nasir – penuh motivasi, sesuai dengan semangat perjuangan.
  • Teman Sejati oleh Nidji – melambangkan persahabatan sejati, memang menyentuh hati.
  • Penjuara oleh Hael Husaini – penuh semangat dan catchy.

Setiap kali lagu dimainkan, terasa emosi filem bertambah kuat. Lagu “Hanya Kamu” memang memikat, walaupun tidak digunakan seperti dalam trailer.

Tidak pasti jika ini boleh dikira spoiler, tetapi salah seorang penyanyi dalam filem ini akan membuat kemunculan cameo!

Ketua Teras M.A.T.A

Eksplorasi Dunia Cyberaya

Tidak seperti filem pertama yang lebih memfokuskan kawasan Pinggiran, kali ini kita dibawa menjelajah lebih banyak lokasi baharu. Salah satunya ialah Teras Tekno – tempat di mana semua ejen Tekno berkumpul mencipta gajet dan teknologi. Saya rasa dunia Cyberaya kali ini nampak lebih berlapis dan dinamik. Bukan sekadar bandar futuristik biasa, tetapi ada intrik politik dan konspirasi teknologi yang lebih mendalam.

Hab Tekno

Kesimpulan: Filem yang Wajib Tonton!

Filem kali ini lebih berat, lebih peribadi daripada yang sebelumnya. Nampaknya, ia mahu menarik lebih ramai penonton dewasa dengan jalan cerita yang boleh dikaitkan dengan sosio-politik kehidupan sebenar. Jangan salah faham, kanak-kanak masih akan menyukainya. Ada cukup elemen magis untuk membuatkan sesiapa pun gembira.

Penerapan nilai-nilai murni tu ada, persahabatan, jati diri dan sifat saling bantu membantu memang antara tema besar filem ini. Akan tetapi jika dilihat lebih mendalam, ianya lebih dari itu. Konflik 2 kumpulan yang mempunyai ideologi berbeza mengenai kebebasan dan keadilan, memilih antara yang lebih baik antara dua keburukan (the lesser of the two evil), memerlukan seorang dewasa untuk membimbing anak-anak tentang apa yang cuba disampaikan.

Ejen Alicia

Pendek kata, Ejen Ali The Movie 2: Misi Satria memang tak menghampakan, tak kira bagi penonton muda ataupun tua. Setiap aspek – dari cerita, visual, muzik, hingga karakter – semua kena dengan jiwa filem ini. Kalau nak rasa pengalaman terbaik, wajib tengok di pawagam. Visual dia bukan biasa-biasa, patut dibanggakan hasil anak tempatan.

Oh ya, jangan balik awal! Ada dua post-credit scene – satu masa kredit tengah berjalan dan satu lagi di penghujung.

Saya tak akan menolak untuk menontonnya untuk kali kedua, satu yang kiranya cukup bagus kerana banyak filem lain yang sekali sahaja cukuplah bagi saya. Buat anda yang belum tonton, jangan lepaskan peluang – filem ini bukan sekadar animasi biasa, tetapi satu pengalaman sinematik yang penuh emosi dan semangat!

Satria, Bangkit! Bertindak Segera!

🌟 Penilaian Berdasarkan Kategori

  1. Jalan Cerita/Plot: 5/5
  2. Lakonan Suara: 4/5
  3. Pengarahan: 4/5
  4. Sinematografi (Reka Bentuk Visual): 3/5
  5. Muzik/Skor: 4/5
  6. Animasi: 5/5
  7. Penyuntingan: 4/5
  8. Nilai Hiburan: 4/5
  9. Daya Tarikan Komersil: 5/5
  10. Tema & Nilai Murni: 5/5

4.5 bintang 🌟🌟🌟🌟✨

Ejen Ali The Movie 2 ini mendapat penilaian keseluruhan 4.5 bintang, mencerminkan kualiti yang sangat baik dalam pelbagai aspek termasuk jalan cerita, animasi, dan tema.

🎬 Maklumat Umum Filem

  • Tajuk: Ejen Ali The Movie 2: Misi Satria
  • Tarikh Tayangan: 22 Mei 2025 (Malaysia)
  • Genre: Animasi, Aksi, Perisikan
  • Durasi: 120 minit (2 jam)
  • Bahasa: Bahasa Melayu
  • Sarikata: Bahasa Inggeris
  • Pengarah: Usamah Zaid Yasin
  • Studio: WAU Animation, Komet Productions
  • Pengedar: Primeworks Studios
  • Format Tayangan: 2D, 2D ATMOS
  • Klasifikasi: P12

🎤 Barisan Pelakon Suara

  • Ida Rahayu Yusoff sebagai Ali Ghazali
  • Noorhayati Maslini Omar sebagai Alicia Kheng
  • Shafiq Isa sebagai Bakar
  • Azman Zulkiply sebagai Rizwan / General Rama
  • Megat Zahrin Megat Hisham sebagai Trez / Fit
  • Abu Shafian Abd Hamid sebagai Dato’ Othman
  • Nurul Radhiah Ibrahim sebagai Dos

Ditulis oleh The Buzzer/Editor

Kadang-kadang lelaki. Kadang-kadang perempuan. Mengumpul berita dari serata ceruk alam maya atau melaporkan secara eksklusif.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

Dua Usahawan Wanita Failkan Saman Fitnah Terhadap Pempengaruh TikTok ‘Anarchy Sky’

EE Clinic Ampang: Pusat Estetik Terbaharu untuk Wanita Moden yang Mahukan Kecantikan Selamat & Berkesan