in ,

“Saya Selalu Positif”, Remy Ishak Tetap Bangkit Walau Masih Diganggu

Pelakon Datuk Remy Ishak mendedahkan dirinya masih berdepan gangguan misteri yang dipercayai berpunca daripada perbuatan sihir meskipun perkara itu mula berlaku kira-kira lima tahun lalu.

Menurut Remy, kesan gangguan tersebut masih dirasainya sehingga hari ini dan ada ketika memberi kesan kepada keyakinan diri serta cara dia berinteraksi dengan orang lain.

BUZZ RINGKAS
SIAPA
Datuk Remy Ishak.

APA
Mengakui masih berdepan gangguan misteri.

BILA
Ketika promosi filem Khadam.

DI MANA
Kuala Lumpur.

MENGAPA
Gangguan yang dipercayai akibat sihir sejak beberapa tahun lalu.

BAGAIMANA
Memberi kesan kepada keyakinan diri dan emosi.

Hilang Keyakinan Ketika Berbual

Remy berkata ada masanya dia tiba-tiba hilang fokus dan keyakinan ketika bercakap dengan seseorang sehingga menyukarkan dirinya untuk berfikir dengan baik.

“Sehingga hari ini pun masih berlaku.

“Kadang-kala apabila bercakap dengan orang, saya hilang keyakinan. Otak jadi tak boleh nak berfikir,” katanya.

Tambah Remy, situasi tersebut membuatkan dia seolah-olah kehilangan arah dan tidak mampu berfungsi seperti biasa.

“Laluan saya seperti ditutup. Apa yang boleh saya buat hanya bertenang sahaja,” katanya.

Tak Pernah Fikir Nak Mengalah

Walaupun berdepan pengalaman yang mencabar, Remy menegaskan dia tidak pernah berniat meninggalkan dunia seni yang telah dibinanya selama ini.

“Saya ini pejuang! Memang ada rasa nak putus asa, tetapi dah masuk dua kaki dalam dunia ini, takkan nak tinggalkan begitu sahaja.

“Nak ‘come back’ mungkin ambil masa sedikit. Saya tidak akan biarkan diri terus ditanam,” katanya.

Menurut pelakon berusia 44 tahun itu, dia memilih untuk melihat apa yang berlaku sebagai satu ujian dan sentiasa cuba berfikiran positif dalam meneruskan kehidupan.

“Saya selalu positif. Ada perkara yang saya tidak jaga sehingga mungkin Allah izinkan ini berlaku kepada saya.

“Semuanya berbalik kepada diri sendiri,” katanya.

Watak Awang Dalam Khadam Bukan Mudah

Dalam masa sama, Remy turut berkongsi cabaran membawakan watak Awang dalam filem terbaharu lakonannya berjudul Khadam.

Menurutnya, watak tersebut merupakan antara karakter paling berat pernah dilakonkan kerana memerlukan dirinya menyelami emosi seorang lelaki era 40-an dan 50-an yang sukar meluahkan kasih sayang kepada keluarga.

“Bermain itu saya seronok, tapi proses shooting itu saya sendiri stres.

“Karakternya berat. Banyak benda yang saya kena jaga dan kalau boleh saya nak cepat habis,” katanya.

Sukar Keluar Daripada Karakter

Lebih mencabar, Remy mengakui dia bukan jenis pelakon yang mudah keluar masuk watak sepanjang penggambaran berlangsung.

Remy berkata dia memilih untuk kekal sebagai Awang sepanjang tempoh penggambaran supaya emosi karakter tersebut tidak hilang.

“Dalam tempoh penggambaran, saya menjadi Awang.

“Tak boleh nak lepaskan. Kalau lepas, susah nak cari semula. Jadi saya bertahan dalam watak itu sepanjang penggambaran,” katanya.

Harap Mesej Filem Sampai Kepada Penonton

Meskipun tidak berani menjangka penerimaan penonton terhadap Khadam, Remy berharap mesej yang ingin disampaikan menerusi filem tersebut dapat menyentuh hati masyarakat.

Selain Remy, filem arahan Shamyl Othman itu turut dibintangi Siti Khadijah Halim, Zarra Zhaff, Karl El dan pelakon Indonesia, Aghniny Haque.

Khadam mula menemui penonton di pawagam seluruh negara bermula 11 Jun.

Ditulis oleh Cema Cempaka

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

Lewat 2 Abad, Evanescence Masih Bertaring Dengan ‘Sanctuary’