Sebanyak tujuh filem cereka bolos dalam kategori Filem Terbaik, Festival Filem Malaysia (FFM) Ke-33 adalah karya berkualiti dan memenuhi kriteria dicari barisan juri, tahun ini.
Tujuh filem berjaya bolos dalam kategori Filem Terbaik FFM 33 ialah Imaginur, Abang Adik, Sheriff: Narko Integriti, Rain Town, Duan Nago Bogho, Mechamato Movie dan Hungry Ghost Diner.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS), Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berkata, persaingan dalam kategori Filem Terbaik adalah sangat sengit dan pihak penjurian bersetuju mengumumkan tujuh filem cereka bertanding kerana setiap karya memiliki kekuatan tersendiri.

“Sepatutnya hanya lima filem dipilih dalam senarai Top 5 bagi kategori Filem Terbaik, tetapi barisan juri buat keputusan pilih tujuh filem. Kami menerimanya kerana sudah mendapat penjelasan mengenai banyak saingan tahun ini.
“Melihat senarai tujuh filem yang bolos dalam kategori Filem Terbaik, kami nampak ada peningkatan dari segi kualiti dan saingan.”
Datuk Azmir
“Ini kerana ada filem sudah memenangi banyak festival antarabangsa dan mendapat kutipan pecah panggung.
“ Selain itu, bukan sahaja filem bahasa Melayu, tetapi bahasa Cina dan ada juga filem berlainan genre seperti aksi, drama dan sains fiksyen,” katanya.
Mengenai proses penjurian, Azmir berkata, barisan juri FFM berdepan cabaran memilih filem yang layak untuk ke peringkat akhir, setiap tahun.
“ Pada tahun ini, kami menerima lebih daripada 100 pencalonan filem mungkin disebabkan sudah dua tahun FFM tidak dianjurkan. Filem dihantar juga melebihi daripada jumlah sebelum ini kerana banyak terkumpul,” katanya.
Malam kemuncak Anugerah FFM 33 bakal berlangsung di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri Kota Media, Kuala Lumpur, Sabtu ini, jam 8.30 malam.
FFM 33 akan disiarkan secara langsung dari TV2 dan YouTube FINAS.
GIPHY App Key not set. Please check settings