Bola sepak mungkin sekadar sukan bagi sesetengah orang. Namun bagi Hafiz, bola sepak adalah sebahagian daripada hidupnya.
Itulah konflik utama yang diketengahkan menerusi drama komedi romantik terbaharu, “Offside Husband”, yang membawa penonton menyelami cabaran rumah tangga moden apabila minat dan cita-cita mula mengganggu kebahagiaan sebuah keluarga.
Dibintangi Imran Aqil dan Elfira Loy, drama ini menggabungkan elemen cinta, kerjaya, persahabatan dan pengorbanan dalam sebuah penceritaan yang dekat dengan realiti kehidupan ramai pasangan hari ini.
Imran Aqil dan Elfira Loy.
APA
Drama komedi romantik “Offside Husband”.
BILA
Kini ditayangkan setiap hari.
DI MANA
TikTok Drama Sangat dan Tonton.
MENGAPA
Mengangkat konflik rumah tangga akibat obsesi terhadap bola sepak dan kerjaya.
BAGAIMANA
Melalui kisah pasangan suami isteri yang cuba mencari keseimbangan antara impian dan keluarga.
Antara Impian Keluarga Dan Kerjaya
Hafiz merupakan seorang editor sukan yang terlalu mencintai dunia bola sepak.
Ketika seluruh dunia sedang meraikan kemeriahan Piala Dunia 2026, Hafiz melihat peluang tersebut sebagai batu loncatan terbesar dalam kerjayanya.
Namun dalam keghairahan mengejar cita-cita, dia tanpa sedar mula mengabaikan perkara yang paling penting dalam hidupnya iaitu keluarga.
Isterinya, Alya pula menyimpan impian yang jauh berbeza.
Selepas empat tahun mendirikan rumah tangga, Alya berharap mereka dapat menimang cahaya mata dan membina keluarga yang lebih sempurna.
Keadaan menjadi semakin sukar apabila tekanan daripada keluarga mula mempengaruhi hubungan mereka.
Bila Orang Ketiga Bukan Skandal
Konflik bertambah rumit apabila Hafiz perlu bersaing dengan seorang editor baharu bernama Elin yang turut memburu jawatan Ketua Editor.
Walaupun hubungan mereka hanya berkisar soal kerja, keserasian dan masa yang dihabiskan bersama mula menimbulkan salah faham dalam diri Alya.
Namun sebenarnya, orang ketiga terbesar dalam hubungan mereka bukanlah Elin.
Sebaliknya, obsesi Hafiz terhadap bola sepak dan kerjayanya yang menjadi punca utama keretakan hubungan tersebut.
Apabila Alya disahkan hamil pada saat hubungan mereka berada dalam keadaan rapuh, Hafiz berdepan cabaran terbesar dalam hidupnya.
Dia perlu memilih sama ada terus mengejar impian atau memberi keutamaan kepada keluarga yang semakin memerlukan kehadirannya.

Kisah Yang Dekat Dengan Realiti
Walaupun dibalut dengan elemen komedi dan romantik, “Offside Husband” membawa mesej yang cukup dekat dengan masyarakat.
Drama ini mengingatkan bahawa dalam sesebuah hubungan, kasih sayang sahaja tidak mencukupi tanpa komitmen, komunikasi dan pengorbanan.
Ia juga memperlihatkan bagaimana sesuatu yang kita cintai boleh menjadi punca masalah apabila gagal diseimbangkan dengan tanggungjawab terhadap insan tersayang.
Dibintangi Barisan Pelakon Popular
Selain Imran Aqil dan Elfira Loy, drama ini turut menampilkan Adzim Hariz, Ariana Yusof dan beberapa lagi pelakon yang menghidupkan perjalanan emosi pasangan Hafiz dan Alya.
“Offside Husband” kini boleh ditonton setiap hari pada jam 12 tengah hari dan 8 malam secara eksklusif menerusi TikTok Drama Sangat dan Tonton.



GIPHY App Key not set. Please check settings