in ,

“Tsunami Nasyid” Setiap Hari Jumaat?

Nasyid Friday bakal menjadi sebuah gerakan baharu dalam menghidupkan kembali seni dakwah moden menerusi penghasilan karya-karya kerohanian yang dekat dengan jiwa anak muda masa kini.

Diasaskan oleh founder Tarbiah Sentap merangkap Pengarah dan Penerbit Nasyid Friday, Adnin Roslan, projek ini akan bergerak setiap Jumaat bermula Jun 2026 sehingga Januari 2027 dengan gabungan muzik, video muzik dan kandungan dakwah kreatif.

Menurut Adnin, projek ini diwujudkan bagi menawarkan alternatif hiburan yang bukan sahaja menghiburkan tetapi turut membawa manusia kembali mengingati Tuhan.

BUZZ RINGKAS
SIAPA
Tarbiah Sentap bersama lapan penyanyi dan kumpulan nasyid.

APA
Projek “Nasyid Friday”.

BILA
Jun 2026 hingga Januari 2027.

DI MANA
Platform digital dan media sosial.

MENGAPA
Menghidupkan kembali seni dakwah moden untuk generasi muda.

BAGAIMANA
Melalui karya nasyid mingguan, video muzik dan konten dakwah kreatif.
Adnin Roslan

Dakwah Melalui Seni Yang Dekat Dengan Anak Muda

Adnin berkata pemilihan hari Jumaat dibuat kerana ia merupakan penghulu segala hari dan simbolik kepada usaha menyebarkan karya yang membawa nilai positif dan ketenangan.

“Kami memilih hari Jumaat kerana ia adalah penghulu segala hari dan kami mahu menjadikan setiap Jumaat sebagai hari untuk menyebarkan karya yang membawa nilai positif, ketenangan dan dakwah melalui seni.

Fetya

“Visi utama saya adalah untuk memberi alternatif hiburan kepada anak muda. Hari ini, anak muda sangat dekat dengan muzik, media sosial dan visual. Jadi saya percaya dakwah juga perlu hadir dalam bentuk yang dekat dengan jiwa mereka,” katanya.

Beliau turut percaya masyarakat masih dahagakan karya yang mempunyai roh dan makna, namun memerlukan pendekatan yang lebih segar serta relevan dengan generasi hari ini.

Aswan Anwar

Gabungan Lapan Penyanyi & Kumpulan Nasyid

Nasyid Friday akan digerakkan menerusi pembabitan lapan penyanyi dan kumpulan nasyid termasuk Adnin Roslan, Aniq Muhai, Aswan Anwar, One Path, Rabithah, Fetya, The Truth dan Autotune Band.

Selain karya kerohanian, projek ini turut memberi fokus kepada isu remaja dan anak muda menerusi pendekatan muzik yang lebih moden dan visual berkualiti tinggi.

Lebih menarik, projek ini turut melibatkan penampilan istimewa beberapa selebriti dan penyanyi tempatan seperti Saiful Apek, Anas Tahir dan Alif Azhari dalam tiga daripada lapan album yang sedang dalam proses produksi.

Aniq Muhai

Bawa Isu Palestin Dalam Karya Nasyid

Bilal yang mewakili kumpulan Fetya berkata lagu-lagu yang dihasilkan kumpulan mereka dalam projek ini banyak memberi fokus kepada perjuangan Palestin.

“Palestin adalah simbol kebebasan dan kemerdekaan. Banyak perkara kita belajar dari mereka; kekuatan iman, tarbiyah jihadiyah dan kesatuan politik,” katanya.

Sementara itu, Ridwan yang mewakili kumpulan Rabithah berharap masyarakat dapat terus menyokong karya dakwah yang dihasilkan semua artis Tarbiah Sentap Records.

“Karya-karya yang kami hasilkan ini bukan dibuat sekadar untuk hiburan semata-mata, tetapi sebagai satu alternatif hiburan yang mendidik jiwa, menenangkan hati dan mengajak manusia kembali dekat kepada Allah dan Islam,” katanya.

Autotune Band

Perancangan Besar Tarbiah Sentap

Selain penerbitan karya nasyid setiap Jumaat, Tarbiah Sentap turut merancang penghasilan sekitar 200 video dan konten dakwah setiap bulan.

Adnin berkata projek tersebut juga akan disertai penerbitan lapan sketsa dakwah setiap bulan selain penghasilan buku dakwah dan jelajah dakwah di seluruh Malaysia.

“Saya mahu buktikan bahawa karya yang mengingatkan kepada Tuhan juga boleh dihasilkan dengan kualiti yang tinggi, visual yang cantik, susunan muzik yang moden dan mesej yang menyentuh hati,” katanya.

The Truth

Projek Bermula Jun 2026

Nasyid Friday akan berlangsung bermula Jun 2026 sehingga Januari 2027 menerusi pembabitan lapan penyanyi dan kumpulan nasyid bersama pelbagai karya kerohanian serta video muzik dakwah moden.

Rabithah

Ditulis oleh Cema Cempaka

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

Cari Bomoh Sebab Anak Tak Dapat A Dalam SPM?