in ,

Lewat 2 Abad, Evanescence Masih Bertaring Dengan ‘Sanctuary’

Selepas lebih dua dekad mencipta fenomena dalam dunia rock alternatif, Evanescence kembali dengan album studio keenam berjudul Sanctuary.

Dilancarkan pada 5 Jun 2026, album yang memuatkan 12 lagu itu menjadi bukti bahawa kumpulan yang diterajui oleh Amy Lee masih mampu menghasilkan karya yang relevan, moden dan penuh emosi.

Lebih menarik, Sanctuary menerima pujian daripada media antarabangsa termasuk Kerrang dan Metal Hammer yang menyifatkannya sebagai antara karya terbaik Evanescence dalam tempoh beberapa tahun kebelakangan ini.

BUZZ RINGKAS
SIAPA
Evanescence.

APA
Pelancaran album studio keenam “Sanctuary”.

BILA
5 Jun 2026.

DI MANA
Semua platform digital dan fizikal.

MENGAPA
Menandakan kemunculan album penuh pertama selepas beberapa tahun.

BAGAIMANA
Dengan 12 lagu yang menggabungkan elemen rock moden dan identiti sinematik Evanescence.

“Who Will You Follow” Jadi Taruhan Utama

Antara lagu yang paling mencuri perhatian dalam album ini ialah Who Will You Follow yang kini menduduki tangga pertama carta Billboard Rock & Alternative Airplay.

Lagu tersebut turut hadir dengan muzik video arahan Jensen Noen yang membawa mesej mengenai kepentingan mencari kebenaran dan keaslian dalam dunia yang semakin dipenuhi maklumat mengelirukan.

Selain itu, album ini turut menampilkan Afterlife yang sebelum ini menjadi lagu tema siri animasi popular Netflix, Devil May Cry.

Kejayaan Afterlife turut mencatat sejarah apabila memberikan Evanescence kedudukan nombor satu pertama mereka dalam carta Hard Rock Songs Billboard.

Tiga Tahun Untuk Siapkan Album Ini

Menurut Amy Lee, Sanctuary merupakan hasil kerja yang mengambil masa lebih tiga tahun untuk disiapkan.

“Album ini mengambil masa lebih tiga tahun untuk dihasilkan dan saya sangat bangga dengan setiap detiknya,” kata Amy Lee.

“Ia menjadi ruang untuk saya meluahkan segala perkara yang dirasakan tidak terkawal serta mencari harapan menerusi kuasa muzik dan hubungan sesama manusia,” katanya.

Album ini diterbitkan oleh Zakk Cervini, Jordan Fish dan Nick Raskulinecz yang sebelum ini pernah bekerjasama dengan nama besar seperti Bring Me The Horizon, Spiritbox, Deftones dan Korn.

Dari “Bring Me To Life” Hingga “Sanctuary”

Ditubuhkan pada awal tahun 2000-an, Evanescence menjadi fenomena global menerusi album debut Fallen yang melahirkan lagu ikonik seperti Bring Me To Life dan My Immortal.

Album tersebut meraih pelbagai anugerah termasuk dua Grammy Awards serta menjadi antara album rock paling berjaya pada abad ke-21.

Lebih 20 tahun kemudian, Evanescence masih mengekalkan pengaruh mereka dalam dunia rock moden sambil terus menarik generasi peminat baharu.

Kuala Lumpur Termasuk Dalam Jelajah Dunia

Berita baik buat peminat tempatan, Evanescence turut mengumumkan konsert di Malaysia sebagai sebahagian daripada jelajah dunia mereka.

Kumpulan tersebut dijadual membuat persembahan di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 28 November 2026.

Jelajah berkenaan akan membawa Evanescence ke Amerika Utara, United Kingdom, Eropah, Australia, New Zealand serta beberapa destinasi lain sebelum berakhir pada tahun hadapan.

Kehadiran mereka ke Kuala Lumpur dijangka menjadi antara acara rock antarabangsa paling dinantikan oleh peminat muzik tempatan tahun ini.

Evanescence Terus Melangkah Ke Hadapan

Dengan Sanctuary, Evanescence membuktikan bahawa mereka bukan sekadar bergantung kepada nostalgia.

Sebaliknya, kumpulan itu terus berevolusi dengan menghasilkan muzik yang lebih segar tanpa mengorbankan identiti sinematik dan emosional yang menjadikan mereka terkenal sejak dahulu.

Album Sanctuary kini boleh didengari di semua platform penstriman digital utama seluruh dunia.

Ditulis oleh Cema Cempaka

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

Tak Payah Pergi New York, Genting Cruise Dah Ada Broadway!

“Saya Selalu Positif”, Remy Ishak Tetap Bangkit Walau Masih Diganggu