KLANG, 3 Jan – Keputusan siasatan berhubung insiden bunga api meletup dan mencederakan 14 orang semasa sambutan tahun baharu 2017 di padang Kompleks Sukan Pandamaran akan diketahui kira-kira dua minggu lagi.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang Datuk Mohamad Yasid Bidin berkata siasatan yang dijalankan empat pegawai MPK itu antara lain akan menentukan sama ada prosedur operasi standard (SOP) telah dipatuhi.

“MPK memberi jaminan sekiranya siasatan mendapati terdapat pelanggaran SOP atau kecuaian, kakitangan yang bertanggungjawab akan dikenakan tindakan disiplin yang tegas,” katanya dalam sidang akhbar di sini hari ini.

Terdahulu beliau hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Klang Selatan bagi memberi keterangan berhubung insiden berkenaan.

Turut dipanggil memberi keterangan ialah Ketua Jabatan Kemasyarakat MPK Zaireezal Ahmad Zainuddin.

Dalam insiden pukul 12.05 tengah malam itu, 10 orang dewasa dan empat kanak-kanak cedera apabila bunga api yang dipasang bagi meraikan kedatangan tahun baharu 2017 menuju ke arah penonton dan meletup.

Pertunjukan bunga api itu adalah acara kemuncak bagi Fiesta Gegar Klang 2016 yang berlangsung dari 30 Dis hingga 1 Jan.

Ditanya mengenai laporan bahawa kontraktor yang dilantik bagi mengendalikan pertunjukan bunga api itu tidak mempunyai lesen, Mohamad Yasid berkata: “Itu saya akan dedahkan setelah siasatan selesai”.

Untuk laporan & video kejadian, sila klik di sini.

TINGGALKAN MAKLUM BALAS

Sila masukkan ulasan anda!
Sila masukkan nama anda di sini