KUALA KANGSAR, 8 Okt- Seorang remaja perempuan maut selepas dirempuh kereta dari belakang.

Kejadian berlaku di Kilometer 78 Jalan Kuala Kangsar-Lenggong, dekat Kampung Jenalik Hilir, Sauk pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7 pagi itu, Nur Syaznieza Abdullah, 14, yang menunggang motosikal maut di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala.

Difahamkan, mangsa pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultan Azlan Shah, Lenggong baru selesai menghantar adiknya di Sekolah Kebangsaan (SK) Jenalik, Sauk, di sini.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Ahmad Termizi Abd Haq mengesahkan kejadian itu, berkata kedua-dua pemandu dan penumpang kereta yang merempuh mangsa tidak mengalami kecederaan.

“Siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa cuba membelok ke simpang menghala rumahnya, sebelum dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta dari arah Ipoh menghala Gerik ketika motosikal mangsa berada di tengah-tengah jalan.

“Pemandu dan seorang penumpang kereta berkenaan yang kedua-duanya rakyat Thailand, mendakwa tidak menyedari motosikal ditunggang mangsa berada di tengah jalan lantas merempuh mangsa dari arah belakang,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Termizi berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Kuala Kangsar untuk bedah siasat.

Subscribe untuk lebih banyak video http://www.youtube.com/f8buzz

Like kami di Facebook http://www.facebook.com/f8buzz
Follow kami di Twitter http://twitter.com/f8buzz
Follow kami di Instagram http://instagram.com/f8buzz

Tinggalkan Pendapat Anda Untuk Semua Dengari