Sembilan kumpulan nasyid terkenal tanah air bakal berkongsi pentas menerusi Konsert Lagenda Nasyid Malaysia pada 29 Mei 2027 di Setia City Convention Centre (SCCC), Setia City, Selangor bagi meraikan tiga dekad perjalanan muzik nasyid di Malaysia.
Dianjurkan oleh Rabbani Empire Resources dengan kerjasama Emas Sri Semantan, konsert istimewa itu menghimpunkan kumpulan daripada generasi berbeza, sekali gus memberi penghormatan kepada penggiat seni yang telah menyumbang kepada perkembangan genre muzik berkenaan.
Antara kumpulan yang bakal membuat persembahan ialah Raihan, Rabbani, Hijjaz, Brothers, Saujana, Inteam, UNIC, Aeydan dan NowSeeHeart.
Raihan, Rabbani, Hijjaz, Brothers, Saujana, Inteam, UNIC, Aeydan dan NowSeeHeart.
APA
Konsert Lagenda Nasyid Malaysia yang meraikan tiga dekad perjalanan muzik nasyid tanah air.
BILA
Sabtu, 29 Mei 2027, jam 8 malam.
DI MANA
Setia City Convention Centre (SCCC), Setia City, Selangor.
MENGAPA
Mengiktiraf sumbangan penggiat seni nasyid serta memperkenalkan keunikan genre muzik tersebut kepada generasi baharu.
BAGAIMANA
Menerusi persembahan sembilan kumpulan nasyid daripada generasi berbeza. Tiket berharga RM99, RM199 dan RM299 mula dijual pada 15 Disember 2026 menerusi Ticket2U.
Raikan Tiga Dekad Perjalanan Muzik Nasyid

Penganjuran Konsert Lagenda Nasyid Malaysia merupakan usaha untuk mengiktiraf perjalanan panjang muzik nasyid serta sumbangan penggiat seni yang membentuk identiti genre tersebut dalam industri muzik tempatan.
Kejayaan kumpulan seperti Rabbani, Raihan dan Inteam menembusi pasaran antarabangsa turut membuktikan bahawa karya nasyid Malaysia mempunyai daya tarikan tersendiri dan berpotensi berkembang melangkaui sempadan negara.
Penganjur melihat pencapaian itu sebagai antara asas untuk terus mengangkat martabat muzik nasyid, selain memastikan genre berkenaan kekal dihargai oleh pelbagai lapisan pendengar.
Menurut wakil penganjur, konsert ini bukan sekadar sebuah persembahan hiburan, sebaliknya menjadi ruang untuk mempertemukan penggiat seni dengan peminat yang telah menyokong perjalanan muzik nasyid selama ini.
“Selama tiga dekad, muzik nasyid telah melalui pelbagai fasa perkembangan dan berjaya meninggalkan kesan tersendiri dalam industri muzik tanah air. Kami mahu konsert ini menjadi sebuah pertemuan istimewa antara penggiat seni dengan peminat yang telah bersama-sama menyokong perjalanan muzik nasyid selama ini.
“Kami juga berharap penganjuran ini dapat memperkenalkan keunikan muzik nasyid kepada generasi muda dan memastikan legasi seni ini terus dihargai serta diwarisi,” katanya.

Sembilan Kumpulan Nasyid Merentasi Generasi
Konsert ini bakal menghimpunkan sembilan kumpulan yang mempunyai tempat tersendiri dalam perkembangan muzik nasyid Malaysia.
Barisan kumpulan yang terlibat ialah:
- Rabbani – Ahmad Shafie, Azadan Abdul Aziz, Mohamad Afandi Shahbudin, Mohd Asri Baidul, Muhammad Loqman Abdul Aziz, Mohammad Rithauddeen Yaakob dan Zulkiflee Azman.
- Raihan – Che Amran Idris, Abu Bakar Md Yatim dan Ahmad Ridhuan Idris.
- Hijjaz – Ismen Nadim Isam, Munif Ahmad, Mohd Faizal Osman dan Muhammad Ariffin Ahmad Rahim.
- Brothers – Muhammad Yasin Sulaiman, Syah Rizal Mohamed dan Abdullah Faiz Mohamad.
- Saujana – Mohammad Suffian Amrin, Azalinor Abd Rahman dan Ahmad Zuhaidi Abd Aziz.
- Inteam – Mohd Syahril Ab Khalid, Muhammad Hazamin Harun, Abdul Rahim Osman dan Hisyam Ahmad.
- UNIC – Bazli Hazwan Che Osman, Fakhrulradhi Khamarudin dan Mohamad Fitri Mohamad Haris.
- Aeydan – Muhammad Ilham Fikri Mohamad Asri, Mohd Izwan Izzuddin Azadan, Mohammad Fardeen Imran Mohammad Rithauddeen, Muhammad Arif Haikal Ahmad dan Muhammad Farhan Islah Mohamad Rithauddeen.
- NowSeeHeart – Idzhar Jumali, Muhammad Sariman Abd Manap, Mohd Huzaimi Mohd Zaini dan Azahari Abdul Rahman.
Gabungan kumpulan daripada generasi berbeza ini turut membuka ruang kepada kesinambungan legasi muzik nasyid, selain memperkenalkan karya serta keunikan genre tersebut kepada pendengar lebih muda.

Emas Sri Semantan Turut Sokong Perkembangan Nasyid Tempatan
Bagi Emas Sri Semantan, penglibatan sebagai penganjur bersama mencerminkan penghargaan terhadap perjuangan penggiat seni nasyid dan komuniti peminatnya yang merangkumi pelbagai peringkat usia, termasuk ibu bapa serta keluarga.
Sebagai jenama produk tempatan, Emas Sri Semantan berkongsi aspirasi untuk menyokong bakat dan hasil karya anak tempatan, selain melihat potensi kejayaan di peringkat nasional dan antarabangsa.
Kerjasama kedua-dua pihak ini turut memperlihatkan usaha berterusan dalam menyokong perkembangan industri nasyid Malaysia agar terus mendapat tempat dalam landskap muzik tanah air.

Tiket Konsert Lagenda Nasyid Malaysia Bermula RM99
Konsert Lagenda Nasyid Malaysia dijadualkan berlangsung pada Sabtu, 29 Mei 2027, jam 8 malam di Setia City Convention Centre (SCCC), Setia City, Selangor.
Tiket ditawarkan pada tiga kategori harga iaitu RM99, RM199 dan RM299. Jualan rasmi akan bermula pada 15 Disember 2026 menerusi platform Ticket2U.
Menerusi gabungan sembilan kumpulan nasyid dan perjalanan seni selama tiga dekad, konsert ini diharap menjadi sebuah pertemuan bermakna buat peminat lama, selain membuka peluang kepada generasi baharu untuk mengenali karya serta sumbangan muzik nasyid Malaysia.


GIPHY App Key not set. Please check settings