Selangor Travel Fair (STF) 2026 menutup tirainya dengan kejayaan apabila berjaya menarik lebih 50,000 pengunjung serta menjana nilai jualan melebihi RM150,000 sepanjang penganjurannya pada 25 dan 26 Julai lalu di Pasar Seni, Kuala Lumpur.
Penganjuran oleh Tourism Selangor itu sekali lagi membuktikan keberkesanannya sebagai platform mempromosikan Negeri Selangor sebagai destinasi pelancongan utama negara, selain menyokong momentum kempen Tahun Melawat Selangor 2026 (VSY2026).
Tourism Selangor.
APA
Selangor Travel Fair (STF) 2026 berjaya mencatat lebih 50,000 pengunjung dan jualan melebihi RM150,000.
BILA
25 hingga 26 Julai 2026.
DI MANA
Pasar Seni, Kuala Lumpur.
KENAPA
Memperkukuh promosi Tahun Melawat Selangor 2026 dan merancakkan industri pelancongan negeri.

Platform Sehenti Industri Pelancongan
Selangor Travel Fair 2026 menghimpunkan kira-kira 40 pempamer daripada pelbagai segmen pelancongan termasuk taman tema, ekopelancongan, agropelancongan, warisan, gastronomi, hospitaliti dan tarikan rekreasi.
Pengunjung turut menikmati pelbagai promosi eksklusif, pakej pelancongan serta pengalaman interaktif yang mempamerkan kepelbagaian produk dan tarikan terbaik di Negeri Selangor.

Sasar Sembilan Juta Pelancong
Ketika berucap pada majlis pelancaran, YB Dato’ Ng Suee Lim, EXCO Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Selangor, berkata STF memainkan peranan penting dalam memperkukuhkan promosi pelancongan negeri.
“Selangor Travel Fair merupakan platform penting untuk memperkukuh promosi pelancongan, mempamerkan kepelbagaian pengalaman yang tersedia di Selangor serta memperkukuhkan lagi kedudukan negeri ini sebagai destinasi paling ramai dikunjungi di Malaysia. Penganjuran ini mencerminkan komitmen berterusan kami ke arah mencapai sasaran sembilan juta pelancong sempena Tahun Melawat Selangor 2026,” katanya.

Tourism Selangor Rai Jubli Perak
Penganjuran tahun ini turut menjadi lebih bermakna apabila Tourism Selangor meraikan Sambutan Jubli Perak 25 Tahun, menandakan suku abad usaha memacu pembangunan industri pelancongan negeri.
Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Puan Chua Yee Ling, berkata tema “Silver in Motion” melambangkan perjalanan organisasi dalam membangunkan ekosistem pelancongan yang mampan dan berdaya saing.
“Sepanjang 25 tahun lalu, Tourism Selangor sentiasa bekerjasama rapat dengan pemain industri dan rakan strategik untuk membangunkan produk pelancongan, menganjurkan acara berimpak tinggi serta mempromosikan keunikan Selangor. Ketika kami meraikan pencapaian ini, fokus kami kekal untuk membentuk masa depan pelancongan Selangor dan menyampaikan pengalaman yang bermakna kepada pelawat domestik dan antarabangsa,” katanya.

Pelbagai Aktiviti Tarik Ribuan Pengunjung
Sepanjang dua hari penganjuran, pengunjung disajikan dengan pelbagai aktiviti termasuk persembahan kebudayaan, muzik tradisional, bengkel kreatif, sesi videografi, pemeriksaan kesihatan percuma menerusi segmen pelancongan perubatan, podcast secara langsung dan pelbagai promosi pelancongan.
Acara itu turut dimeriahkan dengan persembahan artis tempatan seperti Wani Kayrie, Mohsein Kush, Puteri Haffira (Ella Junior), Mamat Exists dan Kumpulan Bob Sentuhan.
Antara tarikan utama ialah pelancaran buku Selangor Sketch-Stop, hasil kolaborasi Tourism Selangor bersama ilustrator tempatan Ann Jaafar, Baihaqi Ismail dan Ichie Imran.

Pelancongan Terus Jadi Pemacu Ekonomi
Tourism Selangor turut merakamkan penghargaan kepada semua rakan strategik termasuk Farm Fresh, AVIS Budget Malaysia, FAMSY, Tourism Malaysia Wilayah Tengah, Perbadanan Adat Melayu dan Warisan Negeri Selangor (PADAT), Media Selangor, Batik Air dan Sinemalis Studio yang membantu menjayakan penganjuran tahun ini.
Dalam perkembangan sama, sektor pelancongan terus memainkan peranan penting terhadap ekonomi negeri apabila Selangor merekodkan 36.4 juta pelawat domestik sepanjang 2025, sekali gus mengekalkan kedudukannya sebagai negeri paling ramai dikunjungi di Malaysia untuk tahun kelima berturut-turut sejak 2021.
Pada tahun yang sama, Selangor mencatatkan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) RM460.1 bilion, menyumbang 26.5 peratus kepada ekonomi negara, dengan sektor pelancongan menjadi antara pemacu utama pertumbuhan sektor perkhidmatan.
Lagu Tema Baharu Perkukuh Promosi
STF 2026 turut menyaksikan pelancaran rasmi lagu tema dan video muzik “Surprising Selangor Kan Ada”, sebagai sebahagian daripada usaha Tourism Selangor memperkukuhkan promosi pelancongan negeri melalui pendekatan kreatif.
Video muzik itu mengetengahkan perjalanan 25 tahun Tourism Selangor dalam membangunkan industri pelancongan negeri serta meraikan semangat kebersamaan dan dedikasi warga kerjanya.
Orang ramai boleh menonton video muzik tersebut menerusi saluran YouTube rasmi Tourism Selangor.


GIPHY App Key not set. Please check settings