in ,

PGL The Musical Kembali Selepas 17 Tahun, Gabung Nostalgia Dengan Sentuhan Baharu

Selepas 17 tahun sejak pementasan penuh terakhir pada 2009, Puteri Gunung Ledang The Musical (PGLM) kembali menemui penonton dengan sebuah produksi yang menggabungkan elemen nostalgia dan pembaharuan teknologi, tanpa mengetepikan kekuatan asalnya sebagai sebuah teater muzikal.

Pementasan terbitan Enfiniti Productions itu berlangsung di The Grand Theatre, Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway Square, dari 31 Oktober hingga 15 November 2026.

Di bawah arahan Puan Sri Tiara Jacquelina, PGLM 2026 membawa semula kisah legenda percintaan Puteri Gunung Ledang dan Hang Tuah dengan pendekatan yang lebih segar menerusi gabungan lakonan, nyanyian, muzik, tarian serta visual pentas.

Sambutan terhadap kemunculan semula karya ini juga cukup luar biasa apabila sebanyak 23,000 tiket dilaporkan habis terjual dalam tempoh dua jam selepas jualan dibuka. Angka itu memperlihatkan betapa kuatnya tarikan naskhah berkenaan dalam kalangan peminat teater tempatan.

html

BUZZ RINGKAS

SIAPA
Puan Sri Tiara Jacquelina dan barisan pelakon PGL The Musical 2026
APA
Pementasan semula Puteri Gunung Ledang The Musical
BILA
31 Oktober hingga 15 November 2026
DI MANA
The Grand Theatre, Jeffrey Cheah Performing Arts Centre (JCPAC), Sunway Square
MENGAPA
Mengembalikan karya muzikal legenda Melayu yang dinantikan peminat sejak pementasan penuh terakhir pada 2009.
BAGAIMANA
Menggabungkan skrip dan lagu asal dengan susunan muzik, rekaan pentas, busana serta teknologi yang diperbaharui, selain menampilkan barisan pelakon dan ensembel seramai 50 orang.

Naskhah Lama, Pengalaman Lebih Segar

Perkara pertama yang menarik perhatian ialah bagaimana PGLM berjaya mengekalkan identiti karya asal meskipun dipersembahkan di lokasi baharu dengan penggunaan teknologi pentas yang lebih moden.

Skrip dan lagu asal masih dikekalkan, manakala susunan muzik diberikan nafas baharu oleh Saiful Ridzuan atau Duan daripada kumpulan Seven Collar T-Shirt.

Pendekatan ini membolehkan penonton menikmati karya yang sudah dikenali, tetapi dalam suasana persembahan yang lebih dinamik. Lagu-lagu yang dipersembahkan juga bukan sekadar menjadi hiburan, sebaliknya memainkan peranan penting dalam menyampaikan emosi dan menghubungkan perjalanan setiap babak.

Penggunaan teknologi seperti unjuran visual dan sistem bunyi imersif turut membantu membentuk suasana mengikut latar cerita. Namun, kelebihan produksi ini bukan semata-mata terletak pada kecanggihan teknikal, sebaliknya pada keupayaannya menyokong penceritaan.

Seperti yang ditegaskan Tiara, pembaharuan yang dibawa kali ini bertujuan memberikan pengalaman berbeza kepada penonton.

“Visi saya mahu memberi sesuatu yang lebih segar dan ubah beberapa perkara ditambah dengan bantuan teknologi. Itulah kelainan PGLM selepas 20 tahun,” katanya.

Aisha Retno Dan Mila Mohsin, Dua Interpretasi Seorang Puteri

Antara perkara yang paling menarik dalam PGLM 2026 ialah pendekatan dua pelakon berbeza dalam menghidupkan watak Gusti Puteri Retno Dumilah, iaitu Aisha Retno dan Mila Mohsin.

Kedua-duanya mempunyai latar seni dan kekuatan tersendiri, sekali gus memberikan warna berbeza kepada watak utama tersebut.

Aisha yang lebih dikenali sebagai penyanyi membuktikan kemampuan untuk keluar daripada zon selesanya. Selain vokal yang menjadi kelebihan, beliau turut memperlihatkan kesungguhan dalam menyampaikan dialog serta menggunakan ekspresi dan gerak tubuh untuk menggambarkan emosi watak.

Mila pula membawa pendekatan tersendiri yang tidak hanya bergantung pada legasi ibunya, Tiara, yang pernah menghidupkan watak sama dalam pementasan terdahulu.

Sebaliknya, Mila membina Gusti Puteri melalui interpretasi sendiri, termasuk meneliti latar budaya dan pemikiran watak tersebut. Penglibatannya dalam latihan serta kajian budaya Jawa di Solo, Indonesia, turut memperlihatkan usaha untuk memahami karakter itu dengan lebih mendalam.

Menariknya, kedua-dua pelakon tidak melihat perkongsian watak sebagai satu persaingan. Sebaliknya, pendekatan berbeza yang dibawa masing-masing memberikan peluang kepada penonton untuk mengenali sisi lain seorang Puteri Gunung Ledang.

Aqasha Beri Dimensi Baharu Kepada Hang Tuah

Jika Gusti Puteri menjadi nadi kepada kisah ini, Hang Tuah pula merupakan watak yang membawa konflik antara cinta dan tanggungjawab.

Aqasha dilihat sesuai menggalas peranan tersebut menerusi gabungan pengalaman lakonan dan kekuatan vokalnya.

Menariknya, penglibatan Aqasha dalam PGLM sebenarnya bermula sejak pementasan asal pada 2006 apabila beliau pernah menjadi pelakon gantian untuk watak Hang Tuah sebelum akhirnya diberikan peluang membawa watak utama itu dalam versi 2026.

Pengalaman selama dua dekad tersebut memberikan sudut pandang berbeza terhadap karakter yang dibawanya.

Hang Tuah yang dipersembahkan bukan hanya seorang pahlawan yang gagah dan setia kepada pemerintah, tetapi juga manusia yang berdepan pertentangan antara kehendak peribadi dengan amanah yang perlu dipikul.

Konflik dalaman itu menjadikan watak Hang Tuah lebih berlapis dan memberikan kesan emosi kepada perjalanan cerita.

Bayan Dan Gusti Adipati Tidak Sekadar Watak Sampingan

Watak Bayan yang dikongsi Mimifly dan Nadia Aqilah turut menjadi antara elemen penting dalam pementasan ini.

Kedua-duanya memberikan pendekatan berbeza terhadap watak pendamping setia Gusti Puteri, dengan Mimifly memanfaatkan kekuatan vokalnya sebagai penyanyi, manakala Nadia menggabungkan pengalaman lakonan dan nyanyian.

Yusof Hashim yang membawa watak Gusti Adipati Handaya Ningrat pula berjaya menampilkan karakter seorang pemerintah menerusi penyampaian dialog yang tegas, ekspresi wajah serta gerak tubuh yang meyakinkan.

Kehadiran watak-watak ini membantu melengkapkan hubungan dan konflik yang berlaku dalam penceritaan, sekali gus memastikan perhatian penonton tidak hanya tertumpu kepada pasangan utama.

Legenda Yang Masih Mempunyai Tempat Di Hati Penonton

Secara keseluruhan, PGLM 2026 berjaya menggabungkan elemen klasik dan moden dalam sebuah produksi yang mengekalkan nilai asalnya.

Kekuatan barisan pelakon, komitmen ensembel, susunan muzik yang diperbaharui serta penggunaan teknologi memberikan pengalaman berbeza kepada penonton, tanpa menghilangkan inti pati kisah cinta, kesetiaan dan pengorbanan yang menjadi tunjang penceritaan.

Kejayaan menjual 23,000 tiket dalam tempoh dua jam juga menunjukkan bahawa karya muzikal tempatan masih mempunyai permintaan yang besar apabila ditawarkan dengan kualiti produksi dan penceritaan yang meyakinkan.

Lebih menarik, PGLM turut dijadualkan dibawa ke Esplanade, Singapura menerusi Pesta Raya – Malay Festival of Arts pada April 2027, sekali gus membuka peluang kepada penonton luar negara untuk menyaksikan karya muzikal legenda Melayu ini.

Kembalinya PGLM bukan sekadar menghidupkan semula sebuah pementasan popular, tetapi membuktikan bahawa sesebuah karya mampu terus relevan apabila diberikan ruang untuk berkembang tanpa melupakan identiti asalnya.

Ditulis oleh Cema Cempaka

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

Singgah Kampus Tour 2026 Bawa 15 Artis Tempatan Jelajah Tujuh Universiti