Pelakon Aila Azizul tidak dapat menahan sebak apabila mendedikasikan kejayaannya meraih trofi Pelakon Wanita Harapan pada Festival Filem Malaysia ke-35 (FFM35) kepada arwah bapanya yang meninggal dunia akibat kanser lidah pada September 2023.
Aila yang memenangi anugerah menerusi filem Malam Terlarang menyifatkan bapanya sebagai individu paling penting dalam perjalanan seninya kerana sentiasa memberikan sokongan sejak dia masih kecil.
Menurutnya, arwah bukan sahaja menjadi penyokong nombor satu, malah banyak membantu dengan menghantarnya ke sesi latihan serta kelas lakonan.
BUZZ RINGKAS
SIAPA: Aila Azizul
APA: Memenangi trofi Pelakon Wanita Harapan FFM35 menerusi filem Malam Terlarang.
BILA: Malam kemuncak FFM35.
DI MANA: Istana Budaya, Kuala Lumpur.
MENGAPA: Mendedikasikan kejayaan kepada arwah bapanya yang sentiasa menyokong perjalanan seni sejak kecil.
BAGAIMANA: Aila berkongsi kenangan dan pengorbanan arwah bapanya ketika ditemui media selepas majlis anugerah.
“Dia (bapa) adalah penyokong nombor satu saya. Arwah akan sentiasa menjadi nombor satu. Sejak kecil lagi, dia memang menyokong saya.
“Arwah meninggal dunia pada September 2023 manakala saya mendapat watak dalam filem ini pada 2024.
“Saya tahu dia sangat bangga dengan saya. Sejak dahulu, arwahlah yang membawa saya ke latihan dan kelas lakonan. Kejayaan ini untuk dia.
“Dia selalu panggil saya ‘Aila girl’. Setiap kali selepas latihan atau kelas, arwah bertanya bagaimana semuanya berjalan dan menunggu saya pulang untuk bertanya khabar,” katanya.
Aila berkongsi perkara itu ketika ditemui media pada malam kemuncak FFM35 yang berlangsung di Istana Budaya.
Tidak Sangka Menang Menerusi Filem Sulung
Dalam pada itu, pelakon berkenaan mengakui tidak pernah menjangkakan dirinya mampu membawa pulang trofi berkenaan, lebih-lebih lagi Malam Terlarang merupakan filem sulungnya.
Malah, dia turut terkejut apabila namanya diumumkan sebagai pemenang sehingga tangannya menggeletar ketika berada di pentas.
“Sejujurnya, saat mula diumumkan nama, tangan saya menggeletar kerana memang tidak sangka akan menang. Ini filem pertama saya dan saya tidak menjangka dapat pencalonan.
“Jadi, bawa pulang trofi ini adalah satu penghormatan terbesar. Saya sebenarnya bermula dengan teater dan sejak kecil sudah berjinak-jinak dalam dunia lakonan.
“Matlamat saya memang mahu mencuba lakonan drama televisyen (TV) dan filem. Malah, peluang mendapat watak dalam Malam Terlarang juga sesuatu yang tidak pernah saya sangka,” katanya.
Peralihan Dari Teater Ke Filem Jadi Cabaran
Berkongsi pengalaman menjayakan filem tersebut, Aila berkata cabaran utama yang perlu dihadapinya adalah menyesuaikan pendekatan lakonan daripada teater kepada layar perak.
Jelasnya, lakonan teater memerlukan ekspresi dan reaksi yang lebih besar bagi memastikan penyampaian dapat dirasai penonton, berbeza dengan filem yang menuntut lakonan lebih bersahaja dan terkawal.
“Cabaran besar bagi saya adalah peralihan daripada teater kepada filem. Dalam teater, reaksi dan ekspresi perlu lebih besar serta kuat.
“Namun, dalam filem, kita perlu lebih bersahaja, mengawal ekspresi dan menyampaikan sesuatu dengan penggunaan kata-kata paling minimum,” katanya.
Kemenangan itu menyaksikan Aila menewaskan empat calon lain iaitu Samara Kenzo menerusi filem Indera, Faye An Ying Fei (Circus of Life), Yy Aleyqa (Denu) dan Dina Allysha (Mak #SalamDariSyurga).
Malam Terlarang Arahan Allahyarham Labu
Untuk rekod, filem Malam Terlarang diarahkan Allahyarham Nurhanisham Muhammad atau lebih dikenali sebagai Labu.
Selain Aila Azizul, filem berkenaan turut dibintangi Zul Ariffin, Datin Sofia Jane, Shasha Abedul, Haneesya Hanee dan Sabri Yunus.



GIPHY App Key not set. Please check settings