Peserta Big Stage X Rocketfuel, Ranisha mengakui kini memikul tanggungjawab yang lebih besar apabila menjadi satu-satunya peserta wanita yang masih bertahan dalam pertandingan selepas penyingkiran Sufie Rose dan Sabrina.
Menurut Ranisha, situasi itu bukan sahaja memberi kelebihan kerana perhatian kini lebih tertumpu kepadanya, malah hadir bersama tekanan yang besar untuk terus memberikan persembahan terbaik setiap minggu.
Ranisha mengakui teguran Hael Husaini mengenai penampilan membantunya memperbaiki persembahan.
TINGGAL SEORANG
Ranisha kini menjadi satu-satunya peserta wanita yang masih bertanding.
PIKUL HARAPAN
Dia mahu membawa semangat ‘girl power’ setiap minggu.
TERUS BUKTIKAN DIRI
Ranisha mahu penonton mengenali identiti sebenar dirinya sebagai penyanyi.

Mahu Bawa Semangat ‘Girl Power’
“Bila saya seorang saja perempuan tinggal dalam Big Stage ni, memang rasa sunyi. Tapi saya juga rasa sedikit tekanan sebab saya kena bawa ‘girl power’ setiap minggu supaya orang ingat masih ada wakil wanita dalam pertandingan ini,” katanya.
Ranisha berkata dia mahu membanggakan peserta wanita yang pernah bertanding di pentas Big Stage X Rocketfuel dan berharap mampu melangkah sehingga ke pentas akhir.

Teguran Hael Buka Mata
Dalam masa sama, Ranisha mengakui teguran juri, Hael Husaini mengenai penampilannya pada minggu lalu membuka matanya untuk memberi lebih perhatian terhadap aspek persembahan.
“Bagi saya komen Hael betul. Bila kita menyanyi di atas pentas, kita kena titik beratkan semua aspek termasuk pemakaian. Saya ambil teguran itu dan cuba upgrade diri untuk minggu ini,” katanya.
Menurut Ranisha, setiap konsep persembahan termasuk pemilihan busana dan idea pentas turut dirancang olehnya sendiri.

Bukan Saiz Yang Tentukan Kejayaan
Ranisha turut tersentuh dengan kata-kata semangat daripada Hael Husaini dan Aisha Retno yang menggalakkannya untuk terus menjadi diri sendiri.
Katanya, dia percaya penampilan fizikal bukan penentu kejayaan seseorang dalam industri muzik.
“It’s not about size. Industri sekarang dah semakin terbuka. Saya cuma perlu jadi diri sendiri dan terus hiburkan penonton,” katanya.
Tambah Ranisha, selepas sekian lama mencari identiti sebagai penyanyi, dia kini lebih yakin dengan dirinya dan hanya perlu terus memperkukuhkan kelebihan yang dimiliki.

Mahu Buktikan Wanita Juga Mampu
Walaupun mengakui status sebagai satu-satunya peserta wanita memberi sedikit kelebihan kerana perhatian penonton lebih tertumpu kepadanya, Ranisha melihatnya sebagai amanah yang perlu digalas dengan sebaik mungkin.
“Ya, memang ada advantage sebab orang akan fokus dekat saya. Tapi dalam masa sama, itu juga satu tekanan sebab saya kena pastikan orang ingat saya setiap minggu. Insya-Allah saya takkan kecewakan semua harapan,” katanya.
Ranisha kini bertekad untuk terus memberikan persembahan terbaik demi membuktikan bahawa peserta wanita juga mampu memberi saingan sengit di pentas Big Stage X Rocketfuel.



GIPHY App Key not set. Please check settings