in ,

“Opinions Are Opinions” – Aisha Retno Jawab Kritikan Busana PGL

Penyanyi dan pelakon Aisha Retno memilih untuk menerima secara terbuka kecaman terhadap busana produksi Puteri Gunung Ledang yang diperagakannya ketika acara Kuala Lumpur Fashion Week (KLFW) baru-baru ini.

Penampilan Aisha bersama penerbit teater muzikal Puteri Gunung Ledang, Puan Sri Tiara Jacquelina dan anaknya, Mila Mohsin itu mendapat perhatian apabila sebahagian netizen mempersoalkan reka bentuk busana yang dianggap terlalu seksi.

BUZZ RINGKAS

DIKECAM DI KLFW
Busana produksi Puteri Gunung Ledang yang diperagakan Aisha di KLFW menerima kritikan netizen.

HORMAT PANDANGAN
Aisha menganggap setiap pendapat sebagai sesuatu yang perlu dihormati.

ATAS NAMA SENI
Menurut Aisha, busana tersebut merupakan sebahagian daripada konsep dunia teater muzikal Puteri Gunung Ledang.

AMBIL YANG BAIK
Aisha memilih mengambil teguran yang membina dan mengetepikan komen yang kurang baik.

Hormat Setiap Pandangan

Mengulas mengenai perkara tersebut, Aisha berkata dia tidak melihat kritikan yang diterima sebagai sesuatu yang perlu diperdebatkan kerana setiap individu mempunyai hak untuk memberikan pandangan.

“Pendapat adalah pendapat. Semua pendapat itu sah dan apabila kita berada dalam dunia industri seni ini, sudah tentu kita perlu menjangkakan perkara sebegini,” katanya.

Menurut Aisha, kehidupan sebagai seorang artis sememangnya membuatkan pelbagai aspek dirinya diperhatikan, termasuk cara berpakaian, membawa diri serta berkomunikasi.

“Daripada segi fesyen, bagaimana kita membawa diri, cara kita bercakap, semuanya diperhatikan. Itu adalah salah satu risiko apabila kita ingin menjadi seseorang artis ataupun anak seni,” katanya.

“Ambil Yang Baik, Buang Yang Keruh”

Aisha berkata, dia memilih untuk mengambil perkara positif daripada kritikan yang diberikan dan tidak mahu perkara tersebut menjadi satu perdebatan.

“Aisha ambil yang baik saja, buang yang keruh. Kita hormat pendapat masing-masing secara baik,” katanya.

Dalam masa sama, Aisha melihat perhatian yang diberikan terhadap busana tersebut sebagai satu peluang untuk masyarakat mengenali lebih dekat dunia teater muzikal, khususnya produksi Puteri Gunung Ledang.

Busana Produksi PGL Sudah Lama Begitu

Menjelaskan mengenai busana yang diperagakan ketika KLFW itu, Aisha berkata dia sebenarnya sudah bertanyakan mengenai aspek pemakaian sejak menyertai uji bakat untuk Puteri Gunung Ledang The Musical.

Menurutnya, pemakaian tersebut merupakan sebahagian daripada konsep dunia teater muzikal yang menjadi asas kepada produksi berkenaan.

“Daripada segi saya menyertai uji bakat pun, kami sudah bertanya tentang etika pemakaian, bagaimana pemakaian untuk Puteri Gunung Ledang. Kita mengikut daripada dunia teater muzikal,” katanya.

Aisha turut menjelaskan bahawa reka bentuk busana tersebut bukan sesuatu yang baharu kerana identiti pemakaian produksi Puteri Gunung Ledang sudah digunakan sejak sekian lama.

“PGL The Musical memang asasnya pakaiannya begitu,” katanya.

Akan Pantau Dan Perbaiki Jika Perlu

Bagaimanapun, Aisha berkata pihak produksi tetap mengambil kira pandangan yang disampaikan masyarakat dan akan melihat perkara yang boleh diperbaiki dari semasa ke semasa.

“Insya-Allah kami akan sentiasa pantau satu per satu yang mana yang baik dan kita tengok bagaimana untuk berada di tengah-tengah antara seni dan juga kata-kata kalian yang pendapatnya cukup sah,” katanya.

Aisha pada masa sama mengakui dunia teater muzikal merupakan satu dimensi baharu buat dirinya dan dia tidak mahu membuat kesimpulan terlalu awal mengenai perkara yang berada di luar ruang pengalamannya.

“Dunia teater muzikal ini adalah satu dimensi baharu juga bagi Aisyah. Jadi Aisyah tak boleh nak cakap banyak,” katanya.

Aisha dijadual membintangi Puteri Gunung Ledang The Musical dan berharap orang ramai terus memberikan perhatian terhadap perkembangan produksi berkenaan.

Ditulis oleh Cema Cempaka

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

Tinggal Enam! Qilo Dan Aliff Kimiey Tersingkir Di Separuh Akhir