in ,

“Itu Bukan Tugas Kami!” – Aisha Retno

Juri Big Stage X Rocketfuel, Aisha Retno akhirnya menjawab persoalan yang sering dibangkitkan netizen mengenai mengapa barisan juri tidak turun padang memberi tunjuk ajar kepada peserta ketika sesi rehearsal sebelum pertandingan berlangsung.

Menurut Aisha, tugas juri hanya bermula pada malam pertandingan dan mereka sengaja tidak memasuki sesi latihan bagi memastikan proses penilaian kekal adil kepada semua peserta.

BUZZ RINGKAS
JAWAB PERSOALAN NETIZEN
Aisha menjelaskan mengapa juri tidak hadir ketika sesi rehearsal peserta.

JAGA KEADILAN
Menurutnya, juri hanya menilai persembahan pada malam pertandingan supaya penghakiman kekal adil.

ADA CIKGU KHAS
Semua latihan peserta dikendalikan oleh tenaga pengajar yang dilantik pihak produksi.

DEMONSTRASI BUKAN AJARAN
Tunjuk cara ketika ulasan dibuat bagi membantu peserta memahami teguran dengan lebih jelas.

Bukan Tugas Juri Masuk Rehearsal

Aisha berkata sekiranya juri mengikuti latihan peserta dari awal, mereka akan mengetahui keseluruhan proses persediaan sehingga boleh mempengaruhi penilaian ketika persembahan sebenar.

“Kita sebagai juri tugas kita hanyalah menjurikan apa yang berlaku pada malam itu. Bagi saya, tak adil kalau kami pergi tengok mereka berlatih kerana sudah tentu jangkaan kami akan berubah,” katanya.

Peserta Sudah Ada Tenaga Pengajar

Menurut Aisha, setiap peserta sebenarnya dibimbing oleh tenaga pengajar yang telah dilantik oleh pihak produksi sepanjang minggu.

Katanya, setiap individu mempunyai skop tugas masing-masing dan peranan itu perlu dihormati.

“Tugas itu ada pada cikgu-cikgu yang sudah ditugaskan oleh pihak Astro. Mereka mengajar peserta sepanjang minggu, manakala tugas kami hanyalah pada hari Ahad,” katanya.

Demonstrasi Di Pentas Untuk Mudahkan Peserta Faham

Mengulas mengenai tindakan juri yang kadangkala membuat demonstrasi atau menunjukkan cara menyanyi ketika sesi komen berlangsung, Aisha berkata ia bukan bertujuan mengajar semula peserta.

Sebaliknya, demonstrasi itu dibuat supaya peserta lebih mudah memahami teguran yang diberikan.

“Kadang-kadang kalau sekadar nasihat, masuk telinga kanan keluar telinga kiri. Sebab itu kami buat demonstrasi supaya mereka lebih faham,” katanya.

Terima Teguran Penonton

Dalam masa sama, Aisha mengakui ada penonton berasakan demonstrasi tersebut memakan masa siaran secara langsung.

Bagaimanapun, dia menerima pandangan itu dengan hati terbuka dan berkata barisan juri akan cuba memperkemaskan penyampaian pada masa akan datang.

“Mungkin kami akan percepatkan sedikit selepas ini. Apa yang kami lakukan semuanya untuk membantu peserta menjadi lebih baik,” katanya.

Aisha berharap penonton memahami setiap komen dan demonstrasi yang diberikan bukan bertujuan mencari kesalahan peserta, sebaliknya sebagai pemangkin agar mereka terus berkembang sepanjang pertandingan.

Ditulis oleh Cema Cempaka

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

“Saya Rasa Dah Buat Yang Terbaik…” – Rieffa Akur Tersingkir

Siapa Raja Ayam Sebenar? Ayam Lejen III Kembali!