Menjelang Anugerah Juara Lagu ke-40 (AJL40), nama Aisha Retno menjadi perhatian apabila segelintir netizen mendakwa penyanyi itu terlalu mengejar tawaran kerja sehingga sanggup membuat persembahan di Latihan Pestapora dan AJL pada hari yang sama.
Namun bagi penyanyi lagu Tak Adil itu, menerima banyak tawaran bukanlah satu bentuk ketamakan, sebaliknya satu rezeki yang perlu dihargai selagi dirinya masih mampu memberikan komitmen sepenuhnya.
Aisha Retno.
APA
Menjawab dakwaan tamak menerima banyak tawaran kerja.
BILA
Menjelang AJL40 dan Latihan PestaPora 2026.
DI MANA
Sidang media.
MENGAPA
Netizen mempersoalkan jadual kerjanya yang padat.
BAGAIMANA
Aisha menjelaskan semua jadual telah dirancang lebih awal bersama pasukannya.

“Tamak Bukan Sebab Ambil Banyak Job”
Aisha yang juga juri Big Stage Rocketfuel berkata, menerima banyak tawaran kerja tidak sepatutnya disamakan dengan sikap tamak.
Sebaliknya, baginya seseorang hanya boleh dianggap tamak apabila mengambil hak orang lain atau menerima sesuatu pekerjaan sedangkan mereka sendiri tahu tidak mampu melaksanakannya.
“Bagi Aisha, rezeki ada di mana-mana. Selagi kita mampu, kita galas.
“Tamak bagi Aisha apabila kita mencuri job orang lain atau caras job orang lain.
“Dan tamak juga apabila kita tahu kita tak mampu buat, tetapi tetap nak ambil juga,” katanya.
Tambahnya lagi, kesibukan merupakan perkara biasa dalam kehidupan seorang anak seni dan menjadi impian ramai penggiat industri.
“Busy is good. Busy is life sebagai anak seni,” katanya.

“Orang Nak Kata Tamak, Biarlah”
Walaupun menyedari ada pihak yang masih mempertikaikan keputusannya menerima banyak tawaran, Aisha memilih untuk tidak terlalu memikirkan pandangan tersebut.
Baginya, apa yang lebih penting adalah memastikan setiap persembahan yang dijanjikan dapat dilaksanakan sebaik mungkin.
“Orang nak kata Aisha tamak pun, let it be.
“Hujung-hujung nanti kita juga yang naik atas pentas dan buat persembahan.
“Orang nak kata kita terlebih job atau kurang job, biarkan mereka bercakap. Yang penting kita tahu apa yang kita buat,” katanya.

Jadual Padat Bukan Dibuat Secara Suka-Suka
Mengulas kebimbangan orang ramai terhadap kesihatan fizikal dan mentalnya, Aisha mengakui dia menghargai setiap individu yang mengambil berat mengenai keadaan dirinya.
Menurut Aisha, keputusan menerima tawaran membuat persembahan di Latihan Pestapora dan AJL pada hari yang sama bukan dibuat secara terburu-buru, sebaliknya melalui perancangan rapi bersama pasukan pengurusannya.
“Terima kasih kepada semua yang risau tentang kesihatan Aisha, sama ada dari segi mental atau fizikal. Aisha sangat hargai sebab itu menunjukkan mereka ambil berat tentang perjalanan kerjaya Aisha sebagai seorang penyanyi,” katanya.
Tambah penyanyi berusia 25 tahun itu, perjalanan kerjayanya sepanjang tahun ini telah dirancang bersama pasukan yang besar bagi memastikan setiap komitmen dapat dilaksanakan dengan baik.
“Semua ini sudah dibincangkan dengan team Aisha. Kalau Aisha rasa tak mampu, dah lama Aisha tolak beberapa tawaran kerja,” katanya.
Menurut Aisha lagi, jadual Latihan Pestapora dan AJL, pemilihan lagu, tempoh perjalanan serta masa rehat antara kedua-dua acara juga telah diperincikan supaya dia berada dalam keadaan terbaik sebelum membuat persembahan.
Selain itu, dia kini lebih menitikberatkan aspek penjagaan kesihatan dengan mengamalkan pemakanan yang lebih sihat serta mengikuti kelas vokal setiap minggu walaupun sudah beberapa tahun berada dalam industri muzik.
“Saya masih ambil kelas vokal setiap minggu walaupun sudah beberapa tahun dalam industri. Saya juga mengikuti kelas lakonan untuk Puteri Gunung Ledang.
“Semua itu adalah persediaan supaya saya dapat memberikan persembahan terbaik dalam setiap peluang yang diberikan,” katanya.

Fokus Berikan Persembahan Terbaik
Selain bakal beraksi di AJL40 menerusi lagu Tak Adil, Aisha turut dijadualkan membuat persembahan di Latihan Pestapora pada hari yang sama.
Bagaimanapun, dia yakin segala persiapan yang dilakukan bersama pasukannya mampu memastikan kedua-dua persembahan berjalan lancar.
Aisha turut berharap orang ramai terus mendoakan kesihatannya agar dapat memberikan persembahan terbaik buat peminat di kedua-dua pentas tersebut.


GIPHY App Key not set. Please check settings