in

“Tak Perlu Begini Untuk Viral”, Fedtri Yahya Kecewa Lirik Lucah Tular

Screenshot

KUALA LUMPUR – Pengacara dan penulis lirik terkenal, Fedtri Yahya, tampil menyuarakan rasa kecewa terhadap trend penciptaan lagu masa kini yang dilihat semakin berani menampilkan unsur lucah dan makna tersirat tanpa batas.

Menurut Fedtri, walaupun beliau memahami setiap genre muzik mempunyai identiti tersendiri, kebebasan berkarya tidak seharusnya mengorbankan nilai adab dan sensitiviti masyarakat.

🎵 Isu Lirik Lagu Lucah
  • Fedtri Yahya luah rasa marah sebagai pengkarya seni
  • Lirik lucah dianggap melampaui batas adab masyarakat
  • Dangdut dahulu terkenal dengan lirik berlapik
  • Trend ‘viral’ dilihat punca pengkarya abaikan nilai
  • Lagu berunsur negatif bimbang pengaruhi generasi muda
  • Fedtri gesa sekatan sebagai langkah kesedaran
  • Ilham seni berkualiti lahir daripada jiwa & spiritual
  • Isu turut mendapat perhatian Menteri Agama

“Sebagai orang yang menulis dan mencintai seni, saya rasa marah. Marah kerana seni tidak perlu ditolak ke arah yang mengaibkan,” – Fedtri Yahya.

Fedtri menjelaskan bahawa genre dangdut, khususnya di Malaysia suatu ketika dahulu, terkenal dengan lirik berlapik dan penuh kiasan halus, bukan permainan makna dua yang keterlaluan.

“Dulu dangdut kita bercakap soal rindu, cinta dan kehidupan. Walaupun berkias, ia masih sopan. Sekarang, bila dengar lirik pun dah rasa segan,” ujarnya.

Beliau turut menyentuh situasi apabila lagu sebegini dipersembahkan di ruang awam atau acara keluarga, yang menurutnya boleh menimbulkan rasa tidak selesa kepada pendengar pelbagai lapisan usia.

Dalam nada tegas, Fedtri menyifatkan sebahagian pengkarya hari ini seolah-olah mengejar sensasi dan perhatian semata-mata demi populariti segera.

“Ada yang buat lagu untuk jadi bualan. Bila dikecam, harap orang faham dan maafkan. Tapi perkara begini tak sepatutnya dinormalisasikan,” jelasnya.

Tambahnya lagi, pengaruh lagu dari luar negara yang sarat elemen negatif turut memberi kesan terhadap landskap industri muzik tempatan jika tidak ditapis dengan bijak.

Fedtri berpandangan bahawa pihak berautoriti perlu memainkan peranan lebih aktif dalam mengawal kandungan seni yang bercanggah dengan nilai agama dan moral.

“Bukan untuk menghukum, tetapi sebagai peringatan. Sekatan boleh jadi ruang muhasabah supaya pengkarya kembali menghasilkan karya yang bermaruah,” katanya.

Beliau turut berkongsi pengalaman berbincang dengan tokoh besar industri seperti Datuk M. Nasir dan Habsah Hassan, yang menurutnya menekankan hubungan spiritual sebagai sumber ilham karya berkualiti.

“Ilham yang baik datang daripada jiwa yang jujur. Bila aliran ini jadi gelap, kita bimbang kesannya pada generasi muda yang mudah terpengaruh,” tambahnya.

Fedtri ditemui pada majlis tayangan perdana dan sidang media filem The Voice of Hind Rajab di Mid Valley Megamall, baru-baru ini.

Terdahulu, isu lirik lagu berunsur lucah turut mendapat perhatian serius Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), dengan menterinya, Dr Zulkifli Hasan, menegaskan bahawa karya seni wajar membawa mesej positif dan mendidik, bukan mencemarkan nilai masyarakat.

Ditulis oleh Ezza Azira

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

Andy Teh Dedah Status Sebenar Dengan Chacha Maembong, Akui Terbuka Soal Jodoh & Agama

“Jangan Terjebak Cinta Lokasi”, Pesan Nasha Aziz Kepada Zairi