Pelakon Andy Teh tampil mematahkan spekulasi hangat yang mendakwa dia sedang menjalin hubungan cinta dengan aktres popular, Chacha Maembong.
- Andy Teh nafikan hubungan cinta dengan Chacha Maembong
- Hubungan mereka hanya pada tahap perkenalan
- Andy terkejut apabila gosip mula tersebar
- Fokus utama kini adalah kerjaya lakonan
- Tidak mahu terburu-buru soal perhubungan
- Terbuka soal jodoh dengan wanita Muslim
- Menghormati tuntutan agama dan undang-undang
- Bakal muncul dalam filem aksi Black Ops
Menurut Andy, hubungan mereka tidak lebih daripada sekadar persahabatan yang masih berada di peringkat awal perkenalan.
Andy atau nama penuhnya Andy Teh Kim Hua berkata, dia sendiri terkejut apabila dimaklumkan mengenai gosip tersebut yang mula tular di media sosial dan portal hiburan.
“Sejujurnya saya baru tahu pasal gosip ini. Kami kawan sahaja, tak ada apa-apa yang lebih daripada itu,” – Andy Teh.
Andy berkata demikian ketika ditemui pada sidang media filem Black Ops, projek berskala besar yang bakal menemui penonton pada hujung tahun ini.
Mengulas lanjut, aktor berusia 40 tahun itu menjelaskan fokus utamanya kini adalah terhadap kerjaya lakonan, dan dia memilih untuk tidak terlalu terbuka berkongsi soal peribadi.
“Buat masa sekarang, masing-masing fokus kerja. Kami sepakat untuk jaga hal masing-masing dulu. Belum masanya nak dedahkan atau letakkan apa-apa status,” katanya.
Tambah Andy, dia percaya soal jodoh tidak perlu dipercepatkan dan segalanya harus berlaku secara semula jadi.
“Kalau ada jodoh, ia akan datang sendiri. Tapi sekarang ini memang kawan, masih fasa kenal,” ujarnya.
Dalam pada itu, Andy turut menjawab persoalan yang sering diajukan kepadanya berhubung kesediaan untuk memeluk Islam sekiranya ditakdirkan bertemu jodoh dengan wanita Melayu Muslim.
Menurut Andy, perkara tersebut bukan sesuatu yang asing dalam fikirannya, malah pernah dibincangkan dalam keluarga.
“Ibu bapa saya penganut Buddha yang kuat. Tapi ayah saya sendiri pernah bertanya, kalau satu hari saya bercinta dengan wanita Melayu, adakah saya sanggup masuk Islam,” katanya.
Andy mengakui dia memahami tuntutan undang-undang dan agama, serta tidak menolak kemungkinan tersebut jika itu adalah ketentuan hidupnya.
“Kalau jodoh saya dengan wanita Muslim, saya tiada masalah. Cuma buat masa sekarang, terlalu awal untuk buat keputusan besar,” tambahnya tenang.
Sebelum ini, sebuah portal hiburan melaporkan Andy didakwa sedang hangat bercinta dengan seorang pelakon wanita, sekali gus mencetuskan pelbagai reaksi dan spekulasi dalam kalangan peminat.
Dalam perkembangan lain, Andy bakal muncul menerusi filem aksi antarabangsa Black Ops, sebuah kolaborasi rentas negara melibatkan produksi tempatan dan Hong Kong, termasuk One Cool Films milik aktor tersohor Louis Koo.
Filem ini turut dibintangi barisan pelakon terkenal seperti Sharnaaz Ahmad, Aaron Aziz, Hisyam Hamid, Fauzi Nawawi, Elizabeth Tan dan MK K-Clique.
Black Ops mengisahkan seorang anggota pasukan khas yang dituduh membunuh isterinya serta kehilangan anak perempuan, lalu terpaksa menentang sistem sendiri demi membongkar konspirasi besar dan membersihkan namanya.



GIPHY App Key not set. Please check settings