in ,

Camar Poelang: Saat Semua Menuduh, Ayah Tetap Percaya

Sempena sambutan Hari Bapa tahun ini, Radio Televisyen Malaysia (RTM) tampil dengan sebuah naskhah istimewa berjudul “Camar Poelang” yang bakal menemui penonton menerusi slot Panggung RTM.

Drama terbitan Unit Drama TV RTM itu akan disiarkan pada 20 Jun 2026, jam 9 malam di TV1 serta boleh distrim menerusi RTMKlik.

Naskhah arahan Zairol Fahmee Khairuddin ini mengangkat tema kasih sayang, pengorbanan dan kekuatan seorang ayah yang sanggup melakukan apa sahaja demi anaknya.

BUZZ RINGKAS
SIAPA
Wan Raja, Faha Azhar dan Yaacob Aziz.

APA
Drama khas Hari Bapa “Camar Poelang”.

BILA
20 Jun 2026, jam 9 malam.

DI MANA
TV1 dan RTMKlik.

MENGAPA
Mengangkat kasih sayang serta pengorbanan seorang ayah terhadap anak OKU.

BAGAIMANA
Melalui kisah penuh emosi yang berlatarbelakangkan kehidupan masyarakat nelayan.

Dibarisi Pelakon Berpengalaman

“Camar Poelang” menampilkan Wan Raja sebagai Zahir, Faha Azhar sebagai Akil dan Ku Farisah sebagai Orked.

Turut membintangi drama ini ialah ArielGanu sebagai Abe Leh, Yaacob Aziz sebagai Pak Soh, Azizah Mahzan sebagai ibu Zahir dan Razzuan Rosli sebagai Halim.

Gabungan pelakon berpengalaman dan bakat baharu ini menjadi antara kekuatan utama drama yang sarat dengan emosi dan mesej kemanusiaan.

Kisah Tentang Kasih Sayang Yang Tidak Bersyarat

Berlatarbelakangkan kehidupan sebuah kampung nelayan di Terengganu, “Camar Poelang” membawa penonton menyelami sebuah kisah yang penuh dengan emosi, pengorbanan dan nilai kemanusiaan.

Drama ini memberi tumpuan kepada hubungan antara seorang bapa dan anak lelakinya yang merupakan Orang Kurang Upaya (OKU), yang terpaksa berdepan pelbagai cabaran dalam kehidupan seharian serta pandangan masyarakat sekeliling.

Di sebalik segala kekurangan yang dimiliki, kasih sayang antara mereka menjadi kekuatan untuk terus melangkah walaupun diuji dengan pelbagai dugaan yang tidak dijangka.

Dalam masa sama, kehadiran beberapa individu dalam kehidupan mereka membuka ruang kepada pelbagai konflik dan peristiwa yang akhirnya mengubah kehidupan sebuah komuniti kecil di kampung tersebut.

Melalui perjalanan penuh emosi ini, “Camar Poelang” mengajak penonton melihat dunia daripada perspektif yang berbeza tentang penerimaan, kepercayaan dan pengorbanan seorang ayah yang sanggup melakukan apa sahaja demi anaknya.

Simbolik Di Sebalik Tajuk

Menurut pengarahnya, pemilihan tajuk “Camar Poelang” mempunyai maksud yang cukup mendalam.

Burung camar yang hidup di lautan sanggup meredah ombak dan cuaca yang tidak menentu demi mencari rezeki sebelum akhirnya pulang ke tempat asalnya.

Simbolik tersebut menggambarkan perjalanan seorang ayah yang tidak pernah berhenti berjuang demi keluarga walaupun terpaksa berdepan pelbagai cabaran dan pengorbanan.

Malah, watak Pak Soh menjadi lambang kasih sayang seorang bapa yang sentiasa meletakkan kebahagiaan anak melebihi kepentingan dirinya sendiri.

Naskhah Istimewa Sempena Hari Bapa

Lebih daripada sekadar sebuah drama, “Camar Poelang” hadir sebagai penghargaan kepada insan bergelar ayah yang sering memikul tanggungjawab besar tanpa banyak bicara.

Dengan gabungan emosi, konflik kekeluargaan dan mesej yang dekat dengan masyarakat, drama ini menjanjikan sebuah pengalaman tontonan yang mampu menyentuh hati penonton pelbagai lapisan usia.

Jangan lepaskan peluang menyaksikan “Camar Poelang” pada 20 Jun 2026, jam 9 malam menerusi TV1 dan RTMKlik.

Ditulis oleh Cema Cempaka

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

Taylor Swift Sertai Toy Story?!

Dua Raja Lagu Galau Indonesia Bawa Rumah Hati Ke Kuala Lumpur