Konsert Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur semakin menghampiri tarikh penganjuran dan keterujaan peminat dilihat terus meningkat apabila jualan tiket kini dilaporkan telah mencecah 50 peratus.
Lebih menarik, pihak penganjur turut mengumumkan bahawa penyanyi terkenal tanah air, Marsha Milan bakal tampil sebagai artis jemputan khas pada malam yang bakal meraikan ulang tahun ke-30 perjalanan seni kumpulan legenda Indonesia itu.
Apa yang menjadikan pengumuman tersebut lebih istimewa ialah pemilihan Marsha dibuat sendiri oleh anggota Ungu yang melihat penyanyi itu memiliki kekuatan vokal serta penghayatan emosi yang mampu melengkapkan suasana konsert.
Ungu dan Marsha Milan.
APA
Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur.
BILA
5 September 2026.
DI MANA
Idea Live Arena, Kuala Lumpur.
MENGAPA
Meraikan 30 tahun perjalanan seni Ungu bersama peminat.
BAGAIMANA
Melalui persembahan nostalgia, kolaborasi istimewa dan pelbagai kejutan eksklusif.

Kenapa Marsha?
Menurut Ungu, mereka sudah lama mengikuti perkembangan seni Marsha dan percaya penyanyi tersebut mempunyai karakter tersendiri ketika menyampaikan lagu.
“Marsha mempunyai suara yang emosional dengan karakter yang kuat ketika menyampaikan lagu. Kami percaya beliau mampu membawa energi untuk malam ini.
“Kami benar-benar teruja untuk berkongsi pentas bersama Marsha di Kuala Lumpur dan tidak sabar untuk mencipta momen yang indah bersama peminat Malaysia,” kata Ungu.
Pemilihan tersebut sekali gus mencetuskan keterujaan peminat yang mahu menyaksikan kolaborasi istimewa antara dua nama besar dari Malaysia dan Indonesia itu.

Dari The Birth Hingga The Legacy
Selain himpunan lagu popular seperti Demi Waktu, Tercipta Untukku, Seperti Yang Dulu dan Cinta Dalam Hati, konsert ini akan membawa penonton menelusuri perjalanan seni Ungu menerusi tiga segmen utama.
Segmen The Birth bakal mengimbau era awal penubuhan kumpulan tersebut sebelum diteruskan dengan The Peak yang meraikan zaman kegemilangan mereka.
Perjalanan itu kemudiannya disempurnakan menerusi The Legacy yang menggambarkan pengaruh dan legasi Ungu selepas tiga dekad mewarnai industri muzik Nusantara.

Bukan Sekadar Konsert Nostalgia
Pengarah Konsert, Zairul Addry Helmy berkata sambutan yang diterima sejak pengumuman konsert dibuat sangat luar biasa.
“Apa yang boleh kami katakan, ini bukan sekadar sebuah konsert biasa tetapi sebuah malam yang meraikan muzik, kenangan dan hubungan istimewa antara Ungu dan peminat mereka di Malaysia,” katanya.
Menurut beliau, penglibatan Marsha Milan juga bakal memberi warna berbeza kepada keseluruhan pengalaman konsert dan menghasilkan kolaborasi yang kuat dari segi vokal serta emosi.

Pelbagai Kejutan Masih Menanti
Selain persembahan utama daripada Ungu dan Marsha Milan, beberapa lagi kejutan eksklusif sedang dirancang dan akan diumumkan dalam masa terdekat.
Pihak penganjur memberi bayangan bahawa masih terdapat beberapa elemen istimewa yang bakal melengkapkan sambutan tiga dekad perjalanan seni kumpulan tersebut.
Konsert Ungu 3 Dasawarsa: Special Night in Kuala Lumpur akan berlangsung pada 5 September 2026 di Idea Live Arena.



GIPHY App Key not set. Please check settings