Penyanyi terkenal Indonesia, Afgan, kembali ke akar muzik pop yang pernah mengangkat namanya menerusi single Kacamata.
Lagu ini menjadi karya pertama daripada album ketujuhnya yang telah dilancarkan berjudul Retrospektif. Selepas tujuh tahun tidak menghasilkan album berbahasa Indonesia, Retrospektif menjadi simbol kembalinya Afgan kepada identiti muzik asalnya. Berbeza dengan dua album terdahulu yang lebih banyak memuatkan lagu berbahasa Inggeris, album ini menampilkan nuansa pop Indonesia yang lebih matang dan segar.
Kacamata mengekalkan gaya pop yang sinonim dengan Afgan, namun disuntik dengan elemen R&B moden serta produksi muzik yang lebih kontemporari. Dari segi tema, lagu ini mengisahkan tentang seseorang yang sanggup mengubah diri demi cinta, tetapi akhirnya menyedari pengorbanan itu sia-sia kerana diberikan kepada insan yang salah. Ia menjadi peringatan tentang pentingnya mengenali diri, erti kehilangan, dan cinta yang tulus.
Menurut Afgan, Retrospektif dihasilkan sebagai perjalanan pulang kepada akar muzik yang membentuk dirinya di awal karier.
“Bagi saya, Kacamata sangat mewakili era itu. Selama 15 tahun berkarya, saya dikenali dengan imej berkaca mata dan lagu-lagu pop, jadi secara simbolik, single ini amat sesuai untuk membuka tirai album baharu saya,” katanya.
Dalam proses penghasilan lagu ini, Afgan bekerjasama dengan tiga pemuzik berbakat: Iqbal Siregar, Petra Sihombing dan Kamga Mohammed. Iqbal mencetuskan idea awal melalui melodi korus yang kemudiannya dikembangkan bersama hingga siap dalam masa dua jam. Petra bertindak sebagai penerbit dan komposer, manakala Kamga berperanan sebagai pengarah vokal serta komposer bersama. Proses rakaman vokal diselesaikan dalam setengah hari, sementara keseluruhan produksi termasuk mixing dan mastering siap dalam tempoh dua bulan.
Afgan mengakui teruja untuk memperkenalkan karya tersebut kepada para pendengar yang merindui warna muzik asalnya. Selain menandakan perjalanan karier muziknya, Kacamata turut membawa mesej mendalam tentang kehidupan dan kebergantungan kepada Tuhan.
“Jangan terlalu berharap pada manusia kerana hanya Tuhan yang kekal. Lagu ini mengingatkan kita agar tidak kehilangan diri sendiri ketika berdepan kekecewaan,” katanya.
Dengan irama ringan dan lirik yang mudah diingati, Kacamata memberi aura positif serta mengajak pendengar melihat sisi optimis dalam kehidupan.
Muzik video Kacamata diarahkan oleh Shadtoto Prasetio dengan konsep visual bergaya nostalgia 90-an yang digabungkan bersama elemen moden. Afgan turut bergandingan dengan pelakon Yuki Kato dalam video tersebut yang menggambarkan simbolisme cinta melalui permainan catur – perjalanan penuh strategi, langkah, dan pengorbanan.
Menariknya, lagu ini menonjolkan permainan gitar sebagai elemen utama, berbeza daripada kebanyakan karya Afgan sebelum ini yang lebih berteraskan piano dan orkestra.
Single Kacamata telah dilancarkan di semua platform penstriman digital pada 10 Oktober 2025, manakala album penuh Retrospektif akan menemui peminat pada November 2025.
GIPHY App Key not set. Please check settings