Aroma kopi bakal ‘menyergap’ ruang udara di The Curve, Mutiara Damansara apabila Selangor Coffee Festival 2025 (SELCOFF 2025) berlangsung dari 17 hingga 19 Oktober, bermula jam 10 pagi hingga 10 malam setiap hari.
Dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor melalui Tourism Selangor, festival ini merupakan penganjuran kopi terbesar pernah dianjurkan oleh kerajaan negeri, sebagai langkah memperkasa industri kopi tempatan dan memperkukuh pelancongan gaya hidup Selangor.
Selangor Coffee Festival 2025 (SELCOFF) bakal berlangsung 17–19 Oktober di The Curve, Damansara. Dianjurkan oleh Kerajaan Negeri Selangor dan Tourism Selangor, festival ini menampilkan lebih 30 jenama kopi, pertandingan barista peringkat ASEAN, bengkel interaktif serta persembahan artis popular tempatan.

Festival Kopi Anjuran Terbesar Kerajaan Negeri
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Tourism Selangor, Cik Chua Yee Ling, penganjuran SELCOFF 2025 adalah sebahagian inisiatif hasil peruntukan RM1 juta yang diumumkan oleh YAB Dato’ Seri Amirudin Shari, Menteri Besar Selangor dalam Belanjawan Negeri 2025 bagi memperkasa industri kopi tempatan.
“Inisiatif ini bukan sekadar meraikan kopi sebagai minuman, tetapi sebagai simbol kreativiti, komuniti dan gaya hidup yang mencerminkan keunikan Selangor,” ujar Cik Chua.
Lebih daripada 30 pemain industri kopi akan mengambil bahagian, termasuk pengusaha dari sembilan daerah di Selangor serta penyertaan antarabangsa dari Indonesia, Vietnam, Singapura, Thailand dan Filipina.
“Setiap daerah di Selangor ada ceritanya sendiri, dan melalui SELCOFF, kita raikan setiap aroma, rasa dan pengalaman itu dalam satu platform yang menyatukan semua penggemar kopi,” tambahnya lagi.
Pertandingan & Aktiviti Antarabangsa
Antara pengisian utama festival ialah ASEAN Barista Championships, yang bakal mempertemukan barista terbaik Asia Tenggara di bawah satu bumbung. Selain itu, SelCoff Latte Art Throwdown dan SelCoff Aeropress Challenge turut dijangka menarik penyertaan besar daripada komuniti barista tempatan dan antarabangsa.
Turut diadakan ialah bengkel penyediaan kopi (brewing workshop), forum industri, serta sesi rasa kopi (coffee tasting) bagi memberi peluang kepada pengunjung untuk mendalami seni dan sains di sebalik secawan kopi yang sempurna.
Persembahan & Aktiviti Gaya Hidup
Festival ini juga tidak hanya tertumpu kepada kopi, tetapi turut menawarkan hiburan dan gaya hidup menarik sepanjang tiga hari. Pengunjung akan dihiburkan oleh persembahan artis terkenal seperti Aizat Amdan, Bunga Isme, 6ixth Sense, Tam Spider dan Kartika (Lokal Underground) setiap malam.
Bagi pengunjung yang menggemari aktiviti santai, ruang gelanggang pickleball percuma turut disediakan untuk mencipta suasana interaktif dan mesra keluarga.
“Kami mahu SELCOFF bukan sekadar acara minum kopi, tetapi pengalaman gaya hidup yang menyatukan komuniti – dari barista profesional hingga keluarga yang datang sekadar untuk bersantai,” jelas Cik Chua.

Sokongan Tahun Melawat Selangor 2025
Penganjuran ini turut menyokong kempen Tahun Melawat Selangor 2025 (Visit Selangor Year 2025) di bawah tema “Selangor Kan Ada”, yang memberi tumpuan kepada pelancongan gaya hidup, gastronomi, serta acara bertaraf antarabangsa.
“Apabila kita bercakap tentang pelancongan gaya hidup, kita bercakap tentang pengalaman. Dan pengalaman secawan kopi yang diseduh dengan kasih sayang di Selangor adalah antara yang terbaik di rantau ini,” katanya mengakhiri ucapan.
Dengan jangkaan kehadiran melebihi 30,000 pengunjung, SELCOFF 2025 dijangka menjadi acara penting dalam kalendar pelancongan negeri, mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai hab kopi dan destinasi gaya hidup utama di Malaysia dan Asia Tenggara.
📍 The Curve, Mutiara Damansara
📅 17 – 19 Oktober 2025
🕒 10 pagi – 10 malam




GIPHY App Key not set. Please check settings