Kidd Santhe terus mencipta sejarah baharu apabila melancarkan single terbaharu berjudul Naa Vera Level, sebuah kolaborasi antarabangsa bersama Raavanaa Ram dari Chennai.
Lagu tersebut merupakan single kedua daripada album yang dinanti-nantikan, Mr. Crorepati, sekali gus menjadi antara karya paling berani dalam perjalanan seni Kidd Santhe setakat ini.
Diterbitkan di bawah Kidd Next Door Productions dan Sony Music Entertainment Malaysia, projek ini turut menerima sokongan pengedaran antarabangsa daripada Sony Music Entertainment India South.
Pencapaian itu meletakkan Kidd Santhe sebagai antara segelintir artis Malaysia yang berjaya menerima sokongan pengedaran global daripada gergasi muzik antarabangsa tersebut.
Kidd Santhe & Raavanaa Ram.
APA
Pelancaran single “Naa Vera Level”.
BILA
Mei 2026.
DI MANA
Semua platform digital seluruh dunia.
MENGAPA
Membawa hip-hop Tamil Malaysia ke pentas antarabangsa.
BAGAIMANA
Melalui kolaborasi rentas sempadan bersama artis dari Chennai.

“Saya Di Tahap Berbeza”
Membawa maksud “Saya Di Tahap Berbeza”, Naa Vera Level hadir sebagai deklarasi keyakinan dan kebangkitan identiti buat Kidd Santhe.
“‘Naa Vera Level’ bukan sekadar lagu, tetapi satu kenyataan tentang siapa saya hari ini sebagai seorang artis,” kata Kidd Santhe.
“Saya mahu buktikan bahawa kita juga mampu membawa identiti kita ke tahap global tanpa perlu mengubah siapa jati diri kita. Ini bukan sekadar lagu, ini adalah diri saya yang sebenar dan paling jujur,” katanya.

Pertemuan Malaysia Dan Chennai
Single ini menyatukan dua dunia hip-hop Tamil menerusi kolaborasi antara Kidd Santhe dari Malaysia dan Raavanaa Ram dari Chennai.
Raavanaa Ram sebelum ini mula dikenali selepas muncul sebagai naib juara program realiti popular Single Pasanga yang disiarkan di Zee Tamil.
Menurut Kidd Santhe, kolaborasi tersebut membawa makna lebih besar daripada sekadar muzik.
“Bila Malaysia dan Chennai bertemu dalam satu lagu, ia bukan sekadar kolaborasi,” katanya.
“Ia pertembungan budaya, sejarah dan jiwa jalanan yang sebenar. Saya bangga dapat membawa semangat ini keluar dari sempadan kita,” katanya lagi.

Eksperimen Pertama Dalam Genre Tamil Kuthu
Menerusi Naa Vera Level, Kidd Santhe turut memperkenalkan karya pertamanya dalam genre Tamil Kuthu.
Beliau bertindak sebagai komposer dan penerbit sepenuhnya untuk lagu tersebut yang menggabungkan melodi bertenaga bersama rap santai Raavanaa Ram.
Lagu ini turut menampilkan pelbagai instrumen tradisional India seperti udukai, thavil, jaldra, tuttari, salangai, tabla, urumee dan tappu yang memberikan identiti budaya yang kuat.
Gabungan elemen tradisional dan moden itu menghasilkan karya yang terasa seperti pesta jalanan sebelum berkembang menjadi pengalaman sinematik yang penuh tenaga.

Projek Terbesar Dalam Karier Kidd Santhe
Dengan kos produksi, muzik video dan pemasaran melebihi RM100,000, Naa Vera Level menjadi antara projek terbesar pernah dihasilkan Kidd Santhe.
Lebih penting, ia turut membuka pintu kepada kemunculan antarabangsa pertama beliau di bawah sokongan Sony Music Entertainment India South.
Perkembangan itu dijangka membantu memperluaskan lagi pengaruh hip-hop Tamil Malaysia ke pasaran serantau dan global.

Muzik Video Berskala Sinematik
Muzik video rasmi lagu ini diarahkan oleh Parthiban Ravi dan dirakam sepenuhnya di Chennai, India.
Mengangkat konsep perlumbaan autorickshaw jalanan, video tersebut menampilkan lebih 250 tenaga produksi serta penggunaan kamera Sony Venice.
Penggambaran yang berlangsung selama 28 jam tanpa henti itu turut melibatkan aksi stunt, letupan, kesan visual serta penggunaan teknologi AI bagi menghasilkan pengalaman visual yang lebih dinamik.
Autorickshaw yang menjadi fokus utama video tersebut turut diubah suai khas menggunakan komponen pelbagai jenis kenderaan bagi menghasilkan jentera perlumbaan unik yang sarat karakter.

Penghormatan Kepada Kehidupan Jalanan
Di sebalik visual penuh aksi, autorickshaw turut dijadikan simbol kehidupan masyarakat pekerja dan komuniti bandar di India.
Menerusi pendekatan tersebut, Naa Vera Level bukan sekadar sebuah lagu, tetapi penghormatan kepada budaya jalanan dan kisah kehidupan yang jarang diberikan perhatian.
Single Naa Vera Level kini boleh didengari di semua platform penstriman digital utama seluruh dunia.



GIPHY App Key not set. Please check settings