Selepas sedekad tanpa album studio penuh, Maher Zain akhirnya kembali dengan projek terbaharu berjudul Back To You yang bakal dilancarkan secara global menerusi Awakening Music.
Album yang mengandungi 16 buah lagu itu menjadi antara karya paling peribadi pernah dihasilkan Maher Zain sepanjang perjalanan seninya, menggabungkan elemen refleksi spiritual, keikhlasan, harapan dan hubungan manusia dengan Tuhan.
Menerusi album ini, Maher turut memperlihatkan evolusi muziknya dengan gabungan penulisan lagu dalam Bahasa Arab dan Bahasa Inggeris serta pengaruh ritma Afrika dan Afrika Utara.

“Album ini dinamakan Back To You kerana pada dasarnya ia tentang kembali kepada Tuhan, kepada keikhlasan, kepada tujuan hidup, dan kepada perkara yang benar-benar penting,” kata Maher Zain.
“Sepanjang beberapa tahun kebelakangan ini, saya berkembang dari sudut peribadi dan spiritual, dan projek ini mencerminkan perjalanan tersebut. Saya mahu muziknya terasa jujur, penuh renungan dan relevan, terutamanya ketika Ramadan apabila hati lebih terbuka dan mencari makna,” katanya.
Maher Zain.
APA
Pelancaran album studio “Back To You”.
BILA
Awal April 2026.
DI MANA
Semua platform digital seluruh dunia.
MENGAPA
Menandakan album studio penuh pertama selepas 10 tahun.
BAGAIMANA
Dengan pelancaran lagu secara berfasa sepanjang Ramadan.
Album Dibangunkan Di Pelbagai Negara
Menariknya, proses pembangunan album ini melibatkan beberapa siri kem penulisan lagu antarabangsa yang berlangsung di Maghribi, Turki, Sweden dan Indonesia.
Projek tersebut turut menghimpunkan ramai bakat kreatif dari dunia Islam serta kolaborator antarabangsa termasuk Harris J dan rakan kolaborasi lama Maher Zain, Bara Kherigi.
Pendekatan kreatif tersebut membantu membentuk identiti album yang lebih luas dari sudut bunyi muzik tetapi masih mengekalkan mesej spiritual yang dekat dengan pendengar.

Pelancaran Berfasa Sepanjang Ramadan
Berbeza dengan kebanyakan pelancaran album moden, Back To You tidak akan diterbitkan sepenuhnya dalam satu hari.
Sebaliknya, Maher Zain memilih pendekatan pelancaran berfasa sepanjang Ramadan dengan sebuah lagu baharu akan dilancarkan setiap hari Khamis bermula awal Februari.
Pendekatan itu disusun bagi membolehkan pendengar menghayati setiap lagu sebagai satu perjalanan emosi dan spiritual sepanjang bulan suci tersebut.
“Daripada tergesa-gesa, kami membentuk Back To You sebagai satu perjalanan yang berkembang minggu demi minggu sepanjang Ramadan,” kata Bara Kherigi, Pengarah Urusan Awakening Music.
“Ia memberi ruang, makna dan penghormatan kepada setiap lagu supaya pendengar benar-benar dapat menghayatinya,” katanya.

Sarat Dengan Tema Kerohanian Dan Refleksi Diri
Antara tema utama yang diketengahkan menerusi album ini termasuk kebergantungan kepada Tuhan ketika berdepan ketidakpastian hidup, kecintaan terhadap Nabi Muhammad SAW serta pencarian petunjuk dan ketenangan jiwa.
Keseluruhan album ini direka sebagai pengalaman mendengar yang lebih mendalam dan reflektif, khususnya sepanjang Ramadan.
Maher Zain turut menyifatkan Back To You sebagai projek yang paling dekat dengan dirinya dari sudut emosi dan spiritual.

Album Penuh Pertama Selepas Sedekad
Pelancaran Back To You juga menjadi detik penting dalam karier Maher Zain apabila ia merupakan album studio penuh pertamanya dalam tempoh 10 tahun.
Sebelum ini, Maher terus mencipta impak besar menerusi lagu-lagu seperti Rahmatun Lil’Alameen dan Qalbi Fil Madinah yang mendapat jutaan pendengar di seluruh dunia.
Dengan Back To You, Maher Zain terus mengukuhkan kedudukannya sebagai antara suara paling berpengaruh dalam muzik berinspirasikan keimanan masa kini.
Album penuh tersebut dijangka dilancarkan pada awal April 2026 di semua platform penstriman digital seluruh dunia.



GIPHY App Key not set. Please check settings