in ,

Dari Trolak Ke Prague, Orkestra Tiupan Angin MRSM FELDA Melangkah ke Pentas Dunia

Seramai 53 pelajar dari Tingkatan 2 hingga 5 di Maktab Rendah Sains MARA FELDA (MARESMAF), yang dikenali sebagai MAWO (MRSM FELDA Wind Orchestra), bakal mengharumkan nama Malaysia apabila mewakili negara dalam pertandingan bertaraf dunia, International Festival of Wind Orchestra pada 20 dan 21 Jun 2025 di Prague, Republik Czech.

Mereka disertai 39 warga peneroka FELDA, menjadikan keseluruhan delegasi seramai 92 orang.

MAWO telah lama diiktiraf sebagai kumpulan orkestra sekolah menengah yang cemerlang, menggabungkan semangat dedikasi, bakat, dan kerja berpasukan. Penyertaan ini menjadi bukti kejayaan FELDA dalam membentuk generasi muda yang berpotensi tinggi serta memperkasa komuniti peneroka melalui pendekatan seni muzik dan pendidikan. Kejayaan ini juga membuka ruang kepada para pelajar untuk berinteraksi dengan komuniti antarabangsa dan mempelajari budaya muzik negara lain.

Untuk meraikan dan memberi sokongan kepada pasukan orkestra ini, FELDA bersama Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Kementerian Komunikasi akan menganjurkan sebuah konsert khas bertajuk “Desaku Mendunia” pada 27 dan 28 Mei 2025 di Auditorium Seri Angkasa, Angkasapuri.

Bhg. Dato’ Sri Ahmad Shabery Cheek, Pengerusi FELDA

Konsert ini turut menjadi platform pra-pelancaran bagi Mega Karnival 3 Dimensi yang menghimpunkan tiga acara utama iaitu Hari Peneroka FELDA (HPF), Karnival Usahawan Desa (KUD) dan Showcase Satu Daerah Satu Industri (SDSI). Acara ini bakal disempurnakan oleh YAB Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah.

Datuk Mokhzani Ismail, Pengarah Muzik Orkestra RTM

Konsert Desaku Mendunia akan dimeriahkan dengan persembahan artis-artis terkenal tanah air seperti Dato’ Jamal Abdillah, Dayang Nurfaizah, Yabang Khalifah, dan kumpulan Zeppo Youngster. Selain itu, konsert ini turut menjadi salah satu inisiatif bagi mengumpul dana bagi menyokong perjalanan pasukan MAWO ke Prague.

FELDA menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk bersama-sama memberikan sokongan kepada anak-anak FELDA yang kini bersedia membawa nama Malaysia ke persada dunia. Sesungguhnya, Desaku Mendunia bukan sekadar sebuah tema, tetapi juga simbol kepada kejayaan generasi peneroka yang mampu bersinar di pentas antarabangsa.

Latar Belakang International Festival of Wind Orchestra

International Festival of Wind Orchestra merupakan acara tahunan yang diiktiraf di peringkat global, menghimpunkan orkestra tiupan angin dari seluruh dunia. Festival ini bukan sahaja menjadi medan pertandingan yang berprestij, malah turut menjadi platform pertukaran budaya muzik dan kerjasama antarabangsa.

Dengan penyertaan daripada 11 negara termasuk Republik Czech, Croatia, Iceland, Itali, Latvia, Hungary, Jerman, Poland, Austria dan Switzerland, festival ini menjadi pentas penting untuk para pemuzik muda mengasah bakat mereka, menjalin persahabatan, dan mengangkat martabat muzik sebagai alat perpaduan sejagat.

Ditulis oleh The Buzzer/Editor

Kadang-kadang lelaki. Kadang-kadang perempuan. Mengumpul berita dari serata ceruk alam maya atau melaporkan secara eksklusif.

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

Ulasan Konsert: Ella USA 30 Tahun – Sebuah Malam Rock yang Tidak Akan Dilupakan

Nas-T Berkawan Dengan Pesakit Mental, Pakai Seluar Dalam Di Kepala Semua Demi Keluang Man