Filem animasi aksi tempatan, Ejen Ali The Movie 2 (EATM2), terus mencatat pencapaian memberangsangkan apabila berjaya meraih kutipan sebanyak RM15.3 juta hanya dalam tempoh empat hari tayangan.

Kejayaan ini dicapai hasil sambutan luar biasa daripada penonton, dengan lebih 1 juta orang telah hadir ke pawagam sejak tayangan bermula pada 22 Mei lalu.
EATM2 juga mencatat sejarah sebagai pembukaan tayangan filem animasi tempatan terbesar setakat ini, apabila ditayangkan serentak di 161 pawagam di Malaysia dan Brunei. Dengan musim cuti sekolah yang bakal tiba pada 29 Mei, permintaan tiket dijangka terus meningkat. Malah, beberapa pawagam telah menambah sesi tayangan bagi memenuhi permintaan tinggi daripada penonton.

Pengarah EATM2 merangkap Ketua Pegawai Eksekutif WAU Animation, Usamah Zaid Yasin, berkata bahawa sokongan daripada peminat sejak sesi Fans Screening sehingga ke tayangan rasmi amat memberangsangkan. “Kami sangat berterima kasih kepada semua penonton yang telah memberikan sokongan. Maklum balas positif ini amat bermakna buat kami dan menjadi pembakar semangat untuk terus menghasilkan karya Ejen Ali yang akan datang,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif, Rangkaian Televisyen Media Prima dan Primeworks Studios, Nini Yusof, turut menggalakkan orang ramai untuk terus menyokong filem ini, terutama menjelang cuti sekolah. “Kami menyeru semua untuk membawa keluarga dan anak-anak menonton Ejen Ali The Movie 2, yang bukan sahaja menghiburkan tetapi juga menyampaikan mesej penting. Pada masa yang sama, kami berharap agar penonton tidak mendedahkan sebarang spoiler bagi memastikan pengalaman menonton yang lebih baik untuk semua,” jelas beliau.

Orang ramai digalakkan untuk mendapatkan tiket lebih awal bagi mengelakkan kekecewaan dan menjadi sebahagian daripada fenomena Ejen Ali yang sedang berlangsung di pawagam seluruh negara.
Untuk mendapatkan kemas kini terkini, kandungan eksklusif dan video di sebalik tabir, orang ramai boleh mengikuti saluran YouTube rasmi Ejen Ali serta akaun media sosial Primeworks Studios Film.



GIPHY App Key not set. Please check settings