Kolaborasi unik antara komik terkenal Under 18 dan filem aksi komedi tempatan Klepet telah dilancarkan secara rasmi di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2025, yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia (WTC), Kuala Lumpur.

Kerjasama antara penerbit filem Klepet, Respected Citizen, dan Kadokawa Gempak Starz ini menghasilkan set edisi terhad ‘Exclusive Box’ Under 18 x Klepet yang mengandungi komik eksklusif, hoodie, pelekat koleksi, dan lanyard khas. Sebanyak 5,000 unit telah dikeluarkan, dan set ini dijual pada harga promosi RM99 semasa PBAKL, berbanding harga asal RM120.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Kadokawa Gempak Starz, Chris Yew, ini merupakan kali pertama syarikat tersebut bekerjasama dengan filem berbahasa Melayu, selepas sebelum ini pernah menghasilkan komik untuk filem berbahasa Cina terbitan Astro. Beliau menyifatkan kolaborasi ini sebagai satu penghormatan dan berharap lebih banyak kerjasama seumpama ini dapat direalisasikan pada masa akan datang.

Komik edisi khas ini dihasilkan oleh pelukis terkenal, Zint Lu, dan berfungsi sebagai prekuel kepada jalan cerita utama filem Klepet. Meskipun kedua-duanya membawa naratif berbeza, komik dan filem ini menampilkan watak yang sama, seperti Fox dan Jimi.
Penerbit filem Klepet, Aeril Zafrel, menyatakan bahawa kolaborasi ini dijangka mampu menambah tarikan terhadap filem yang bakal ditayangkan tahun ini. Beliau menekankan bahawa gabungan antara dua cabang seni, iaitu filem dan komik, berpotensi untuk mencapai khalayak yang lebih meluas.
Filem Klepet, yang diarahkan oleh Indra Putra (Sanji), mengisahkan tiga sahabat karib – Pali, Jani, dan Wadi—yang sering menghabiskan masa dalam komuniti jalanan. Kehidupan mereka berubah secara drastik selepas bertemu dengan seorang wanita Ukraine bernama Lola yang sedang melarikan diri daripada sindiket penipuan antarabangsa. Pertemuan itu membawa mereka dalam satu pengembaraan yang sarat dengan aksi, humor, dan konspirasi tak terjangka, menggambarkan pelbagai sisi kehidupan masyarakat masa kini.
Turut hadir semasa pelancaran ialah Chris Yew; Zint Lu selaku pelukis komik; pengarah filem Klepet, Indra Putra; serta pelakon utama Nadhir Nasar dan Aedy Ashraf .


Bagi peminat yang terlepas mendapatkan set edisi terhad ini semasa PBAKL, maklumat lanjut mengenai penjualan kotak eksklusif berkenaan boleh didapati melalui platform media sosial rasmi Kadokawa Gempak Starz.
Sebagai tambahan, semasa pelancaran kolaborasi ini, diumumkan bahawa komik Under 18 karya Zint Lu bakal diadaptasi menjadi filem aksi nyata yang dijadualkan tayangannya pada tahun 2026.



GIPHY App Key not set. Please check settings