KUALA LUMPUR: Beberapa laluan di sekitar ibu negara akan dilencongkan secara berperingkat bagi memberi laluan kepada acara perbarisan Hari Anggota Bomba Sedunia 2019, Sabtu ini.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Kuala Lumpur, Asisten Komisioner Zulkefly Yahya, berkata lencongan akan bermula seawal jam 6 pagi sehingga acara terbabit selesai.

Katanya, laluan yang akan dilencongkan adalah Jalan Travers-Jalan Damansara (berhampiran Muzium Negara; Jalan Mahameru-Jalan Damansara (Carcosa); Jalan Mahameru-Jalan Damansara dekat susur Muzium Negara dan Bulatan Hishamuddin Jalan Lembah (Masjid Negara).

“Lencongan turut membabitkan Jalan Perdana-Jalan Lembah; Jalan Kinabalu-Bulatan Hishamuddin (Dayabumi); Jalan Kinabalu-Jalan Hishamuddin berhampiran susur Bukit Aman; Jalan Lembah-Jalan Cenderasari; Leboh Pasar Besar-Jalan Hang Kasturi; Leboh Ampang-Jalan Tun Perak dan Jalan Dang Wangi-Jalan Tunku Abdul Rahman.

“Selain itu, Jalan Kuching-Bulatan Dato Onn; Jalan Kinabalu-Bulatan Dato Onn; Jalan Tunku Abdul Rahman- Jalan Raja(Dataran Merdeka); Jalan Hishamuddin-Jalan Raja (Dataran Merdeka); Jalan Parlimen- Bulatan Dato Onn dan Bulatan Dato Onn-Jalan Raja berhampiran Kelab Diraja Selangor,” katanya dalam satu surat hebahan yang diedarkan kepada media.

Beliau berkata, lencongan awal sudah pun dibuat sejak Isnin lalu bermula jam 8 malam di Jalan Raja berhadapan Dataran Merdeka bagi memberi laluan kepada kerja-kerja persiapan logistik dan teknikal untuk acara itu.

Manakala, raptai pula diadakan hari ini dan esok bermula jam 6 pagi hingga 12 tengah hari.

Sehubungan itu, beliau menasihati pengguna memberikan kerjasama dan keutamaan kepada peserta perbarisan dan kenderaan petugas dengan mengelak daripada melalui jalan-jalan terbabit, selain memastikan kelancaran sepanjang acara itu berlangsung.

Tinggalkan Pendapat Anda Untuk Semua Dengari