SEMPORNA – Seekor anak penyu hijau menetas dengan dua kepala di Pulau Mabul.

Fenomena aneh itu berlaku di pusat pembiakaan penyu iaitu Mabul Turtle Hatchery di bawah pengurusan SJ SEAS.

Pengerusi SJ SEAS Mohd Khairuddin Riman berkata, penemuan itu mengejutkan ramai pihak terutamanya mereka yang terbabit dalam program pemuliharaan penyu.

“Kami sudah melepaskan lebih 13,000 anak-anak penyu daripada pusat pembiakan ini dan tidak pernah melihat fenomena itu sebelum ini.

“Warden Kehormat Hidupan Liar (HWWs) dari Jabatan Hidupan Liar Sabah turut teruja selain sibuk kerana turut menerima dua kumpulan anak penyu yang baru menetas semalam dan menemui sebuah lagi sarang penyu,” katanya.

Pakar Biologi Marin dan pengurus Pemuliharaan SJ SEAS David McCann berkata, penemuan itu sememangnya menarik.

“Kedua kepala anak penyu itu bernafas secara sendiri dan memberi reaksi yang berbeza. Kepala kanan seolah-olah mengawal sirip depan sebelah kanan, manakala kepala kiri mengawal sebelah kiri.”

“Kedua kepala berupaya mengawal pergerakan secara teratur untuk bergerak dan berenang,” katanya lagi.

FOTO-Anak penyu hijau yang baru menetas berkepala dua.

Penyu itu berkemungkinan tidak dapat bertahan di luar kerana cengkerangnya tidak berkembang atau tertutup sepenuhnya.

Pemerhatian daripada pakar biologi di tapak kajian turut menunjukkan apabila berada di laut dalam, satu daripada kepala berkenaan tidak mampu keluar dari air dan bernafas dengan selesa.

“Anak penyu yang menetas ini perlu di simpan dalam air cetek bagi membolehkan ia bernafas dengan mudah,” katanya.

Pengarah Hidupan Liar Negeri Augustine Tuuga pula berkata, anak penyu itu akan diletak di bawah pemerhatian pakar biologi dan HWWs di pusat berkenaan.

Penyu hijau dan penyu karah dilindungi oleh undang-undang di Sabah dan diletak di bawah Jadual 1, Enakmen Pemuliharaan Hidupan Liar 1997.

Tinggalkan Pendapat Anda Untuk Semua Dengari