PETALING JAYA, 1 Januari 2019 – Program berita paling tinggi tontonannya, Buletin Utama serta semua slot berita TV3 termasuk Nightline berwajah baharu bagi tahun 2019.
Bertemakan ‘Merakyatkan Berita’, buletin TV3 mengembalikan format berita dari orang awam untuk orang awam menerusi liputan khas, di semua platform siaran -televisyen dan media sosial.
Pembaharuan termasuk dari segi kandungan, logo, muzik montaj, rekaan studio serta visual latar belakang baharu. Antara kandungan menarik ialah segmen ‘Aduan Rakyat’ yang popular suatu ketika dahulu, kembali ke Buletin Utama (BU).

“Program berita harus melaksanakan peranannya untuk menyampaikan maklumat, mendidik dan menghibur. Wartawan penyiaran harus merasai denyut nadi rakyat dan menyampaikan berita yang memberi kesan kepada kehidupan masyarakat.
“Oleh itu, kami kembalikan Aduan Rakyat, khas untuk orang ramai yang ingin mengajukan aduan mereka ke perhatian pihak berkuasa melalui platform tv atau saluran Youtube, Facebook atau Twitter kami. Selain itu, segmen Apa Khabar YB akan memberi peluang kepada rakyat mengenali lebih dekat pemimpin kerajaan yang baharu,” – Datuk Manja Ismail.
Orang ramai juga boleh mengemukakan aduan menerusi e-mel aduanrakyat3.0@tv3.com.my. Isu yang akan dipaparkan termasuk berkaitan kemudahan awam dan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).
TV3 juga menampilkan beberapa wajah baharu sebagai pembaca berita tetap dalam slot Buletin Utama, Buletin Pagi, dan Nightline. Antara wajah baharu ialah Nik Munirah, Fatin Hamimah, Ramzan Mohd Saufi, dan Naquia Basharudin.

Detik Niaga pula akan menumpukan kepada laporan kejayaan usahawan tempatan serta produk unik yang dihasilkan usahawan kecil dan sederhana.
Buletin TV3 diterajui oleh empat Penerbit Eksekutif iaitu Badrul Hisham, Mohd Khairizal, Noorzati Mohd Arish dan Mior Abdul Malek Raiyani.
GIPHY App Key not set. Please check settings