Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2026 kembali dengan skala lebih besar apabila sebanyak 16 kategori bakal dipertandingkan, termasuk tujuh kategori baharu yang membuka lebih banyak ruang untuk selebriti dan karya menjadi pilihan peminat.
Mengangkat tema “Power”, AMT 2026 bakal berlangsung pada 18 Oktober 2026, jam 9 malam, dan disiarkan secara langsung menerusi TV3 dan Tonton.
Anugerah Melodi Terhangat (AMT) 2026.
APA
Edisi terbaharu AMT dengan 16 kategori anugerah termasuk tujuh kategori baharu.
BILA
18 Oktober 2026, jam 9 malam.
DI MANA
Disiarkan secara langsung menerusi TV3 dan Tonton.
MENGAPA
Meraikan selebriti dan karya yang mencuri perhatian menerusi populariti serta pengaruh mereka.
BAGAIMANA
Pemenang ditentukan menerusi kuasa undian peminat yang dibuka selama enam minggu bermula 3 September 2026.
Tujuh kategori baharu, lebih banyak nama jadi perhatian
Penambahan tujuh kategori baharu menjadi antara perkara paling menarik untuk edisi AMT kali ini.
Kategori berkenaan ialah Lagu Terhangat, Drama Sangat Terhangat, Direktor & Filem Terhangat, Keluarga Selebriti Terhangat, Selebriti Fit Terhangat, Selebriti Chemistry Terhangat dan Selebriti Mandarin Terhangat.
Sembilan kategori yang dikekalkan pula ialah Fresh Rising Star Terhangat Darlie, Selebriti Maskulin Terhangat, Selebriti Feminin Terhangat, Selebriti Muzik Terhangat, Selebriti Couple Goals Terhangat, Selebriti Ikon Inspirasi Terhangat CUCKOO, Selebriti Viral Terhangat, Selebriti Stailo Terhangat serta Tonton Original Terhangat.
Keseluruhan kategori itu memperlihatkan bagaimana AMT terus memberi perhatian kepada pelbagai cabang populariti dalam dunia hiburan semasa, daripada muzik dan lakonan hinggalah gaya, hubungan serta pengaruh digital.







Kali ini peminat pegang kuasa
Selari dengan tema “Power”, AMT 2026 memberi penekanan kepada tiga elemen utama iaitu “Star Power”, “Fan Power” dan “Melodi’s Power”.
Paling penting buat peminat, kuasa menentukan pemenang akan berada di tangan mereka menerusi undian digital yang dibuka selama enam minggu, bermula 3 September hingga 8 Oktober 2026.
Setiap akaun berdaftar Tonton menerima lima undian, manakala pelanggan pelan Tonton selama tiga bulan menerima 2,500 undian dan pelanggan pelan 12 bulan pula menerima 10,000 undian.
Dengan jumlah kategori yang lebih banyak, persaingan kali ini dijangka turut membuka ruang kepada lebih ramai nama untuk mengumpul sokongan dan mengukuhkan kedudukan masing-masing di mata peminat.







Pengumuman calon sudah bermula
Senarai kategori serta calon AMT 2026 telah diperkenalkan menerusi acara digital “Malam Start Menekan!”, yang disiarkan secara langsung di TikTok Melodi Terhangat dan TV3 Malaysia.
Peminat kini boleh melihat barisan calon yang bakal bersaing dalam kesemua 16 kategori sebelum membuat pilihan masing-masing apabila tempoh undian bermula.
Jadi, selain populariti dan pencapaian sepanjang tahun, sokongan peminat bakal menjadi antara faktor penting dalam menentukan siapakah yang benar-benar layak membawa pulang gelaran “Terhangat”.

AMT bersambung ke pentas CUCKOOTOPIA
Kemeriahan AMT 2026 tidak berakhir selepas malam anugerah apabila sebuah konsert khas, CUCKOOTOPIA – Konsert Penghargaan Ulang Tahun Ke-12 Dihangatkan Oleh AMT 2026, bakal berlangsung pada 24 Oktober 2026 di Stadium Merdeka, Kuala Lumpur.
Konsert berkenaan dianjurkan bersempena ulang tahun ke-12 CUCKOO dan akan menghimpunkan barisan artis tempatan serta antarabangsa.
Antara nama yang bakal membuat penampilan ialah Lee Junho, yang juga merupakan Duta Global CUCKOO, selain Trevor Kuo, Phei Yong, Jaclyn Victor, Faizal Tahir, Ella, Mimifly, ALPHA, 3P, Jeryl Lee, Umairah, Odda, Emily dan Janice Yoong.
Turut menyertai barisan persembahan ialah 15 peserta daripada program realiti 8TV, Youthopia.

Lebih daripada sekadar malam anugerah
AMT 2026 mendapat sokongan CUCKOO sebagai Penaja Terhangat, Darlie sebagai Penaja Bersama, Mentos sebagai Rakan Penaja dan Grab sebagai Rakan E-Hailing.
Edisi kali ini turut menyaksikan 8TV tampil sebagai Rakan Media, manakala Hot FM menjadi Rakan Radio dan XTRA serta OhBulan! sebagai Rakan Digital.
Dengan tujuh kategori baharu serta kuasa peminat yang semakin besar menerusi sistem undian, AMT 2026 bakal menjadi satu lagi pentas untuk mengukur siapa yang paling mendapat perhatian dalam landskap hiburan tempatan.


GIPHY App Key not set. Please check settings