KUALA LUMPUR, 6 Sept – Perkhidmatan tren Al Mashaaer Al Mugaddasah Metro Southern Line (MMMSL) di Makkah akan memulakan operasi menyediakan perkhidmatan rel kepada jemaah haji mulai Jumaat ini, selepas berjaya menjalankan simulasi 24 jam sehari sejak 3 Ogos lepas.
Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) dalam kenyataan hari ini berkata operasi MMMSL sepanjang 18.1 kilometer itu akan meliputi sembilan stesen yang terletak di kawasan ibadat rukun haji iaitu tiga di Arafah, tiga di Muzdalifah dan tiga di Mina.
“Pergerakan tren adalah berdasarkan kepada pergerakan jemaah, yang mana akan berhimpun di Arafah untuk berwukuf pada 9 Zulhijah sebelum bergerak ke Muzdalifah pada malam yang sama dan seterusnya ke Mina pada keesokan hari.
“Dari malam 10 hingga 13 Zulhijah, para jemaah akan berulang ke Mina sama ada berjalan terus dari khemah mereka di sekitar Mina atau menaiki bas ke Arafah 3 dan meneruskan perjalanan dengan tren,” kata kenyataan itu.
Sementara itu, menurut Ketua Pusat Kawalan Operasi (OCC) MMMSL Mohd Affandi Raduan, simulasi operasi tanpa henti yang melibatkan kesemua 15 set tren 12 gerabak telah ditamatkan dengan jayanya pada 6 petang, 5 Sept.
“Di tengah-tengah OCC ini adalah ruang kerja untuk kawalan informasi yang pengumuman dibuat secara berkala dan mengikut keperluan dalam tiga bahasa iaitu Inggeris, Arab dan Urdu,” katanya.
Ketika hari-hari waktu puncak, jumlah penumpang akan mencapai 350,000 sehari sekali gus menjadikan perkhidmatan MMMSL sebagai operasi tren yang paling mencabar dalam industri rel antarabangsa.
Prasarana yang mengendalikan perkhidamatan rel di Lembah Klang telah diamanahkan untuk membangunkan perkhidmatan rel di Makkah melalui anak syarikatnya Prasarana Integrated Management and Engineering Sdn Bhd (PRIME).
GIPHY App Key not set. Please check settings