in ,

Faizal Tahir Himpunkan ‘Rakyat Jelata’ Di Unifi Arena

Selepas dua dekad mewarnai industri muzik tempatan dengan karya yang sarat mesej, satira dan inspirasi, Faizal Tahir bakal meraikan perjalanan seninya menerusi konsert berskala besar, Faizal Tahir: Suara Rakyat.

Konsert anjuran bersama Hitman Solutions dan Faithful Music itu akan berlangsung pada 3 Oktober 2026 di Unifi Arena, Bukit Jalil dan menjadi simbol penghargaan terhadap perjalanan seni seorang karyawan yang telah memberi impak besar kepada industri hiburan tanah air.

Lebih daripada sekadar persembahan muzik, Suara Rakyat digambarkan sebagai refleksi kepada identiti dan karya-karya Faizal Tahir yang sentiasa dekat dengan kehidupan masyarakat.

BUZZ RINGKAS
SIAPA
Faizal Tahir bersama Hitman Solutions dan Faithful Music.

APA
Konsert Faizal Tahir: Suara Rakyat.

BILA
3 Oktober 2026.

DI MANA
Unifi Arena, Bukit Jalil.

MENGAPA
Meraikan dua dekad perjalanan seni Faizal Tahir.

BAGAIMANA
Melalui persembahan yang menggabungkan karya ikonik, penceritaan dan emosi sepanjang 20 tahun kariernya.

Meraikan Dua Dekad Legasi FT

Faizal Tahir atau juga dikenali sebagai FT merupakan antara figura muzik yang berjaya membina identiti tersendiri menerusi karya-karya yang bukan sahaja menghiburkan, tetapi turut membawa mesej dan nilai kepada masyarakat.

Sepanjang 20 tahun kariernya, beliau telah menghasilkan pelbagai lagu yang menjadi fenomena selain mencipta karya buat ramai penyanyi tempatan.

Konsert ini bakal menjadi platform untuk meraikan perjalanan tersebut bersama peminat yang setia mengikuti jatuh bangun kariernya sejak kemunculan menerusi program realiti One In A Million pada tahun 2006.

Bukan Sekadar Konsert

Pengarah Urusan dan Pengasas Hitman Group, Rohit Rampal menyifatkan Faizal Tahir sebagai seorang karyawan seni yang meninggalkan impak besar menerusi karya-karya berkualiti sepanjang dua dekad.

“Faizal Tahir telah memberi sumbangan dan meninggalkan impak yang cukup besar dalam sejarah industri muzik selama dua dekad menjadi karyawan seni.

“Konsert ini akan menjadi yang paling ikonik dan istimewa dipersembahkan sebagai tanda apresiasi bukan hanya kepada FT tetapi juga kepada peminat yang bersama merayakan jatuh bangun beliau selama ini,” katanya.

Menurut Rohit, apa yang bakal disaksikan pada malam tersebut bukan sekadar sebuah konsert, tetapi momen besar yang merangkum perjalanan 20 tahun Faizal Tahir bersama peminatnya.

Tentang Kebersamaan Dengan Peminat

Bagi Faizal sendiri, Suara Rakyat bukan sekadar meraikan dirinya sebagai seorang penyanyi, tetapi meraikan hubungan yang terjalin antara dirinya dan peminat selama ini.

“Selama 20 tahun dalam industri dan menekuni karier ini, sesuatu yang sentiasa membuat saya hidup dan bergerak adalah sokongan peminat.

“Maka setelah agak lama tidak berinteraksi dengan peminat, saya mahu menjadikan Faizal Tahir: Suara Rakyat sebagai momen untuk kami menikmati karya yang telah dihasilkan, pernah meninggalkan kesan lalu mencipta memori baharu bersama-sama.

“Ini bukan tentang saya tetapi tentang kebersamaan kami. Tentang suara kami bersama,” katanya.

Dari Mahakarya Cinta Hingga Jati Diri

Pada malam tersebut, peminat akan dihidangkan dengan himpunan lagu-lagu popular Faizal Tahir bermula dari era Mahakarya Cinta sehinggalah karya terbaharu daripada album Jati Diri yang dilancarkan tahun lalu.

Konsert ini turut menjanjikan elemen penceritaan dan emosi yang menjadi sebahagian daripada identiti karya-karya FT sepanjang perjalanan seninya.

Tiket Mula Dijual 9 Jun

Pra-jualan artis untuk Konsert Faizal Tahir: Suara Rakyat akan bermula pada 9 Jun 2026 jam 12 tengah hari.

Jualan umum pula akan dibuka pada 10 Jun 2026 jam 3 petang menerusi laman web rasmi Hitman Live.

Semua pembelian tiket boleh dibuat secara eksklusif melalui www.hitmanlive.com

Ditulis oleh Cema Cempaka

Tinggalkan Balasan

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *

GIPHY App Key not set. Please check settings

RM20 Juta Dah Dalam Tangan, Mampukah Colony Pecah Rekod Lebih Besar Minggu Depan?