Pelakon dan penyanyi, Bella Astillah kini sah bergelar isteri kepada Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, 34, selepas pasangan itu disatukan menerusi akad nikah dengan sekali lafaz kira-kira pukul 10.40 pagi.
Majlis pernikahan yang berlangsung di Presint Merdeka 118, Kuala Lumpur itu menyaksikan Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri, bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), menikahkan pasangan berkenaan.
Acara berkenaan turut disiarkan secara langsung menerusi sebuah stesen televisyen berbayar, membolehkan orang ramai mengikuti detik bersejarah pasangan tersebut.
Kira-kira 255 tetamu terdiri daripada ahli keluarga, rakan selebriti dan kenalan rapat hadir meraikan penyatuan mereka.

BUZZ RINGKAS
SIAPA: Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Bella Astillah
APA: Selamat disatukan sebagai suami isteri
BILA: Kira-kira pukul 10.40 pagi
DI MANA: Presint Merdeka 118, Kuala Lumpur
MAS KAHWIN: RM500
HANTARAN: Tujuh dulang daripada pihak lelaki dan sembilan dulang daripada pihak perempuan

Mas Kahwin RM500, Hantaran Berbalas 7 Dan 9 Dulang
Bagi melengkapkan pernikahan itu, Syed Saddiq menyerahkan mas kahwin berjumlah RM500 kepada Bella.
Pihak pengantin lelaki turut menyediakan tujuh dulang hantaran, manakala keluarga pengantin perempuan membalas dengan sembilan dulang.
Kedua-dua mempelai tampil sedondon dalam persalinan bertemakan Arab dan putih, selari dengan konsep majlis yang turut menyaksikan tetamu mengenakan pakaian mengikut tema berkenaan.
Antara tetamu yang hadir ialah Khairy Jamaluddin, bekas Perdana Menteri kelapan Tan Sri Muhyiddin Yassin, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Datuk Seri Ismail Sabri.

Dari Pertunangan Kepada Alam Perkahwinan
Pernikahan ini menyusul selepas Bella dan Syed Saddiq mengikat tali pertunangan pada 28 Mac lalu.
Sebelum ini, ahli politik berkenaan pernah memberikan bayangan bahawa dirinya bakal menamatkan zaman bujang sebelum penghujung tahun selepas memperoleh restu daripada kedua-dua ibu bapanya.
Kini, pasangan itu melangkah ke fasa baharu dalam hubungan mereka selepas disatukan sebagai suami isteri.

Lembaran Baharu Buat Bella Astillah
Bagi Bella, atau nama penuhnya Dayang Nabellah Awang Astillah, perkahwinan bersama Syed Saddiq merupakan lembaran baharu dalam kehidupan peribadinya.
Beliau sebelum ini pernah mendirikan rumah tangga bersama pelakon dan penyanyi Aliff Aziz pada September 2016.
Perkahwinan tersebut berakhir dengan perceraian pada 16 Mei 2019 sebelum mereka kembali rujuk. Bagaimanapun, pasangan itu akhirnya berpisah buat kali kedua pada 13 Jun 2024.
Hasil perkahwinan terdahulu, Bella dan Aliff dikurniakan dua cahaya mata, Mohamed Ayden Adrean, 9, dan Ara Adreanna, 6.
Pernikahan bersama Syed Saddiq kini membuka babak baharu buat Bella, yang memulakan kehidupan berumah tangga sekali lagi selepas melalui pengalaman perkahwinan terdahulu.


GIPHY App Key not set. Please check settings